Thursday 23 January 2014

Bai’ al-mu’atah( بيع المعاطاة ) ; Jual Beli Tanpa Akad

Pengenalan
Lafaz akad berasal daripada lafaz arab [1]al-‘aqd yang bererti perikatan, perjanjian dan permuafakatan (al-ittifaq). Dari sudut istilah fiqh, akad didefinisikan dengan pertalian ijab dan qabul yang sesuai dengan kehendak syariat. Manakala akad dalam urusan jual beli pula adalah  ikatan  kata antara si penjual dengan si pembeli. Umpamanya: Aku jual barangku kepadamu dengan harga sekian, kata si penjual. Aku beli barangmu dengan harga sekian, sahut si pembeli. Perkataan penjual dinamakan ijab dan perkataan pembeli dinamakan kabul.
            Jual beli belum dapat dikatakan sah, sebelum ijab kabul dilakukan. Sebab ijab kabul itu menunjukkan rela atau sukanya kedua belah pihak. Pada dasrnya ijab kabul itu harus dilakukan dengan lisan. Tetapi, kalau tidak mungkin kerana bisu atau jauh barang yang dibeli dan penjualnya jauh pula, maka bolehlah dengan perantaraan surat menyurat yang mengandungi erti ijab kabul itu. Sabda Rasulullah s.a.w:
عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: لا يفترقنَّ اثنان إلا عن تراض.
Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi s.a.w Baginda bersabda, “Belum lah boleh dua orang yang berjual beli berpisahan sebelum mereka redha meredhai”.
(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Dalil daripada Al-Quran pula ialah firman Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 28:
 
Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumNya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.


Kerelaan itu sebenarnya tidak dapat dilihat, sebab berhubungan dengan hati. Oleh sebab itu, wajiblah dihubungkan dengan sebab zahir yang menunjukkan keredhaan itu, iaitu sighah (ijab qabul).

Pandangan ulama berkenaan ijab qabul
Menurut fatwa ulama Syafiiyah, wajib melafazkan ijab dan qabul pada jual beli yang kecil-kecil. [2]Tetapi Al-Nawawi dan kebanyakan ulama mutaakhirin daripada kalangan ulama Syafiiyah mereka berpendirian boleh jika tidak dilafazkan akad pada barang yang tidak begitu tinggi harganya seperti gula-gula, tepung sekampit dan sebagainya.


Nama-nama lain bagi a’kad jenis ini
Terdapat dua istilah yang biasa digunakan oleh ulama bagi merujuk kepada  jual beli tanpa akad iaitu:
i.        [3]Bai’ al-mu’atah( بيع المعاطاة )
Pembelian dengan cara saling beri memberi. Penjual memberi barang manakala pembeli memberi wang. Secara ‘urufnya semua orang mengerti bahawa kewujudan perasaan saling meredhai antara kedua pihak di dalam majlis.
ii.      Bai’ al-Murawadhah ( بيع المراوضة )
Pembelian dengan cara redha meredhai. Tidak perlu aqad. Penjual memang redha kepada pembeli dan begitu juga sebaliknya.

iii.    Al-Ta’aati (unjuk mengunjuk)
Perbuatan saling unjuk mengunjuk dikira saling meredhai. Penjual menghulur barang dalam masa yang sama pembeli menghulur wang. Perbuatan mereka dikira meredhai antara satu sama lain.

Ada masanya kadang-kadang kontrak tidak dilakukan dengan perkataan atau lafaz, tetapi dengan perbuatan dua pihak yang beraqad. Ini dinamakan oleh fiqh dengan mu’atah atau ta’ati atau murawadah., iaitu aqad dengan cara perbuatan tukar-menukar yang menunjukkan persetujuan atau kerelaan dua pihak tanpa mengeluarkan lafaz ijab dan qabul. Dalam kes jual beli, jika seseorang mendapati ada tanda harga di atas sesuatu barang seperti jam atau pun barang perhiasan, lalu ia membayar harga kepada penjual dan ia mengambil jam atau perhiasan itu tanpa ijab dan qabul, maka jual beli itu sah kerana perbuatan itu menyatakan persetujuan atau kerelaan pada pandangan [4]‘uruf atau adat manusia. Demikian juga aqad menjadi sah jika pembeli hanya membayar wang pendahuluan sebab ia merupakan sebahagian daripada harga.
Dalam kes sewa, jika seseorang menaiki kereta lalu dibayar harga tiket kepada tukang tiket tanpa berkata apa-apa, maka pada ‘uruf sah sewaan itu.
Sebagaimana kebiasaan adat kita di Malaysia, trankasi jual beli berlaku tanpa menyebut ijab qabul yang dinamakan oleh syara’ sebagai bai’ al-mu’atah. Rata-rata masyarakat terutama di bandar-bandar besar ataupun yang terdedah dengan urusan jual beli dengan orang bukan Islam amat jarang menyebut ijab qabul. Soalnya adakah jual beli sebegini sah di sisi syara’. Kadang-kadang ianya menimbulkan polimik di kalangan masyarakat disebabkan tahap pendidikan yang berbeza melibatkan golongan yang jahil berkenaan ilmu muamalat, belajar muamalat tetapi tidak meluas pandangannya (sempit) dan golongan yang mempunyai ilmu dan kepakaran. Adakah setiap urusan jual beli memerlukan ijab qabul walaupun membeli sebatang pen? Bagaimana pula jika kanak-kanak yang belum mengerti apa-apa membeli gula-gula? Tidak dinafikan jual beli tanpa akad sebegini berlaku di mana-mana sahaja di dalam semua peringkat masyarakat Malaysia.

Pendapat ulama mengenai transaksi ini

Ada tiga pandangan ulama berkenaan transaksi tanpa ijab dan qabul.
1.      Tidak harus dan tidak sah jual beli
2.      Harus pada sebahagian transaksi dan tidak harus pada sebahagian yang lain.
3.      Harus secara mutlak

1. Tidak harus dan tidak sah jual beli
Pandangan ini dikemukakan oleh Al-Imam Al-Syafie dan Al-Imam Al-Zahiri termasuk juga Syiah. Menurut mereka, bai’ mua’tah ini tidak sah kerana dalilnya tidak kuat untuk menyatakan aqad. Sebab kerelaan adalah suatu perkara yang tersembunyi. Tidak ada dalil yang dapat menyatakan demikian kecuali dengan lafaz. Lafaz ijab qabul merupakan dalil zahir yang  menunjukkan redha kedua-dua pihak atas urusan jual beli. Redha meredhai adalah urusan hati. Tanpa lafaz bagaimana hendak menunjukan redha jualbeli?Adapun dengan perbuatan sahaja ia boleh jadi bermakna lain yang tidak menyatakan kehendak aqad. Oleh itu aqad tidak sah dengan perbuatan atau unjuk mengunjuk itu. Apa yang mesti dan menjadi syarat ialah sesuatu aqad hendaklah dibuat dengan lafaz yang terang atau lafaz kinayah (tidak terang) ataupun dalam kes-kes tertentu dengan menggunakan isyarat yang dapat difahami ataupun dengan tulisan. Dalilnya ialah sabda Rasulullah
إنما البيع عن تراض
Sesungguhnya jual beli adalah (didasarkan atas) kerelaan”.


2. Harus pada sebahagian transaksi dan tidak harus pada sebahagian yang lain
Pendapat kedua adalah pertengahan. Pendapat ini dipegang oleh sebahagian Ulama Syafi’e dan sebahagian mazhab Hanafi. Oleh kerana pendapat mazhab yang sebelumnya keras, menentukan bentuk kontrak yang khusus dan tidak menerima prinsip tolak ansur dan mudah maka sebahagian daripada golongan ulama’ Syafie termasuk [5]Al-Nawawi, Al-Baghawi dan Al-Mutawalli, mengatakan sah jual beli dengan cara unjuk mengunjuk pada semua barang yang disediakan untuk jualan. Oleh kerana tidak sabit adanya syarat bahawa aqad mesti dibuat dengan lafaz sahaja maka boleh dirujuk kepada ‘uruf atau adat seperti lafaz mutlak yang lain.
Sebahagian  ulama’ Syafie seperti Ibnu Suraij dan Al-Ruyani mengkhususkan keharusan jual beli secara unjuk-mengunjuk kepada barang-barang yang kurang berharga iaitu sesuatu yang berlaku kebiasaan unjuk-mengunjuk padanya. Pendapat ini menegaskan Bai’ Mua’tah ini berlaku pada barang yang tidak mahal. Manakala pada barang yang mahal perlu kepada lafaz ijab qabul. Sebagai contoh kita perlu kepada Ijab qabul dalam jualan beli kenderaan, rumah ataupun barang-barang yang mahal.Tetapi pada barang-barang yang murah seperti pen, gula-gula tidak memerlukan  lafaz ijab qabul kerana benda yang biasa pada pandangan masyarakat.




3. Harus secara mutlak
Pendapat terakhir ialah pendapat jumhur fuqaha’ Hanafi, Maliki, Hanbali. Mereka berpendapat transaksi Mu’atah  ini harus sama ada pada barang yang mahal ataupun murah. Bagi Al-Imam Abu Hanifah dan Al-Imam Ahmad (pandangan terkemudian) serta ulama’-ulama’ di kalangan mereka, mereka mengatakan aqad yang berlaku secara unjuk mengunjuk adalah sah dalam perkara yang telah menjadi kebiasaan atau adat orang ramai. Tidak kira sama ada barang itu kurang nilai aeperti telur atau surat khabar atau roti ataupun barang yang berharga tinggi seperti rumah, tanah dan kereta. Sebab kebiasaan dan adat manusia adalah menjadi bukti atau dalil yang jelas adanya persetujuan atau kerelaan. Ini tidak kira sama ada pertukaran perbuatan itu berlaku daripada dua belah pihak atau daripada sebelah pihak dan satu pihak lagi menggunakan lafaz. Pendapat ini adalah pendapat yang asah yang difatwakan. Juga tidak kira dalam masalah jual beli, sewa, pinjam, hibah ataupun raj’ah. Walau bagaimanapun, syarat yang mesti dipenuhi ialah harga barang itu adalah diketahui dengan jelas. Jika harga tidak diketahui dengan jelas, aqad itu dikira fasid. Syarat lain, pihak yang beraqad janganlah menyatakan yang dia tidak bersetuju dengan aqad itu.
Al-Imam Malik dan asal pandangan Al-Imam Ahmad serta pendokong mazhab mereka menyatakan bahawa aqad secara perbuatan atau mua’tah adalah sah jika terdapat dalil yang nyata menunjukkan adanya kerelaan, tidak kira sama ada ia telah menjadi ‘uruf yang diamalkan atau tidak. Pendapat ini adalah lebih luas daripada pendapat yang terdahulu, dan juga lebih memberi kemudahan kepada manusia. Jadi setiap perbuatan yang menunjukkan jual beli atau sewa, syarikat, wakalah atau aqad lain selain perkahwinan adalah sah dilakukan secara demikian; kerana asas pegangan ialah ada sesuatu yang menunjuk kepada kehendak dua pihak yang beraqad, iaitu pembentukan aqad dan kerelaan beraqad adalah wujud. Perbuatan atau aqad seperti ini telah lama diamalkan iaitu sejak zaman Rasulullah lagi dan selepasnya. Tiada hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah yang hanya membataskan kontrak dengan ijab dan qabul sahaja. Begitu juga tidak ada hadis yang menafikan sahnya jual beli secara unjuk mengunjuk. Lagipun, orang ramai sentiasa berjual-beli di pasar-pasar dengan cara saling unjuk-mengunjuk pada setiap masa. Tidak ada siapa yang mengingkarinyaOleh yang demikian, berlaku ijma’ tentang itu. Qarinah (tanda) itu sudah menjadi dalil yang cukup tentang adanya kerelaan
Yang demikian  kerana lafaz adalah tidak penting. Yang penting  adalah redha meredhai di antara penjual dan pembeli itu. Allah menghalalkan jual beli dan tidak menjelaskan cara-caranya. Maka wajib menurut kepada uruf masyarakat setempat itu. Sebagai contoh di Malaysia yang terbiasa dengan amalan jual beli Mu’atah ini tanpa menyebut lafaz ijab qabul.

Sepintas Berkenaan ‘Uruf ; Sandaran Ulama Dalam Menentukan Jual Beli Tanpa Lafaz Ijab Dan Qabul Atau Bai’ Al-Mua’tah
'Uruf  ialah sesuatu yang dibiasai oleh manusia, samada betbentuk perbuatan atau perkataan. Para ulama telah menjadikan `urf sebagai salah satu asas dalam pembinaan hukum. Ini jelas dapat difahami dari kata-kata dan fatwa yang dikeluarkan oleh mereka. Ada di antara mereka yang berdalil dengan firman Allah yang bermaksud:
Terimalah apa Yang mudah Engkau lakukan, dan suruhlah Dengan perkara Yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang Yang jahil (yang degil Dengan kejahilannya).
Al-Aaraf: 199
Walaupun ‘urf tetap diambil kira, diberi pertimbangan dan sah pembinaan hukum ke atasnya, tetapi ia pada hakikatnya bukan merupakan dalil yang berasingan atau sumber hukum yang tersendiri bahkan ia dirujuk kepada dalil-dalil Syarak yang mutabar, kerana ‘urf tidak boleh mencipta hukum bersama Allah dan tidak ada siapa pun yang mempunyai autoriti mentasyri’ hukum melainkan Allah sahaja. Sesungguhnya apabila beberapa hukum Syariat mengambil kira ‘urf maka itu merupakan suatu keringanan dan rahmat dari Allah yang menurunkan Syariat dan Dialah sumber hukum yang sebenarnya, bukan ‘urf yang hukum datang selari dengannya.Apabila Allah mengizinkan kita membina hukum-hukum berdasarkan ‘urf maka keizinan Allah itulah sumbernya bukan ‘urf. Maka ‘urf dalam dua keadaan ini tidak lebih dari kaedah fiqhiyyah yang dapat diambil faedah darinya ketika pelaksanaan hukum-hukum tidak akan meningkat kepada tahap sumber atau dalil.
para ulama usul fiqh merumuskan kaedah-kaedah fiqh yang berkaitan dengan ‘urf, di antaranya adalah:
1.      Adat kebiasaan itu boleh menjadi hukum(al-adah al-muhakkamah)
2.      Tidak diingkari perubahan hukum disebabkan perubahan zaman dan tempat.
3.      Yang baik itu menjadi ‘urf, sebagaimana yang disyaratkan itu menjadi syarat.
4.      Yang ditetapkan melalui ‘urf sama dengan yang ditetapkan melalui nash (ayat dan atau hadits)

Para ulama usul fiqh juga sepakat bahwa hukum-hukum yang didasarkan kepada ‘urf boleh berubah sesuai dengan perubahan masyarakat pada zaman tertentu dan tempat tertentu.

‘Uruf terbahagi kepada beberapa bahagian. Yang akan dibincangkan di sini adalah bahagian yang bersangkutan dan relevan dengan perbincangan aqad jual beli tanpa lafaz iaitu Urf perbuatan atau amali.
‘Urf amali ialah perbuatan atau amalan yang sudah menjadi kebiasaan manusia. Perbuatan atau amalan tersebut sama ada dari segi kegiatan biasa atau kegiatan kemasyarakatan. Maksud kegiatan biasa adalah kegiatan yang bersangkutan dengan kehidupan biasa tanpa melibatkan akad dan hak seperti makan, minum, pakaian,dan sebagainya. Maksud kegiatan kemasyarakatan pula ialah kegiatan yang bersangkutan dengan akad dan hak seperti nikah, jual beli, rampasan, dan lain-lain.
Contoh ’urf amali ialah dari segi kegiatan biasa ialah kebiasaan masyarakat Malaysia menjadikan nasi sebagai makanan asasi. Contoh bagi ’urf amali dari segi urusan kemasyarakatan ialah kebiasaan penjual di sesetengah tempat menghantar barangan jualan yang berat ke kediaman pembeli dan kebiasaan masyarakat berjual beli tanpa lafaz ijab dan qabul.
Perbuatan yang menjadi kebiasaan di kalangan manusia seperti jual beli Mu’atah (معاطاة) (proses jual beli tanpa ijab dan qabul), penggunaan tandas awam tanpa ditetapkan tempoh masa dan jumlah air yang digunakan, istisna’ (استصناع) (tempahan membuat barangan seperti kasut, pakaian, dan sebagainya), hidangan makanan kepada tetamu merupakan keizinan untuk makan dan sebagainya.

Pendapat penulis mengenai kesan kewujudan transaksi seumpama ini di dalam kehidupan seharian

Jual beli merupakan ibadah di dalam kehidupan seorang muslim. Ia juga merupakan  keperluan seharian. Seseorang yang sempurna kehidupannya pasti tidak akan dapat lari daripada terlibat dalam urusan jual beli. Kaedah hukum fiqh terutama yang melibatkan  muamalah sesama manusia adalah luas dan terbuka kepada perbincangan. Namun ia tetap terikat dengan hukum-hukum asas seperti halal haram dan sebagainya. Sistem jual beli semakin kompleks. Kini, jual beli secara bersemuka hanya salah satu daripada berpuluh-puluh kaedah pembelian yang ada sekarang. Ada yang menggunakan internet untuk memesan barang, pesanan melalui pos, tidak kurang juga melalui sms (sistem pesanan ringkas) dan kad kredit. Belum lagi dikira pembelian di peti-peti jualan yang tidak ada penjual.
Jika kita masih terikat dengan hukum wajib melafaz akad jual beli antara penjual dan pembeli, mana mungkin transaksi dapat dijalankan. Sedangkan fiqh tidak menghalang jual beli sebegitu. Kerana tidak ada dalil yang mewajibkan lafaz ijab dan qabul. Hanya dimestikan ada saling redha-meredhai antara penjual dan pembeli. Andai kata kita dapat berlapang dada terhadap jual beli tanpa akad secara lisan, ia pasti memberi pengaruh kepada perkembangan ekonomi setempat. Namun, saya lebih setuju dengan pandangan kedua yang hanya mensyaratkan barangan bernilai sahaja wajib dilafaz ijab dan qabul. Kesannya dapat dibahagi kepada dua bahagian; positif dan negatif. Dikatakan positif kerana…

Urusan jual beli menjadi mudah
Kuasa beli masyarakat semakin bertambah. Kebiasaannya masyarakat akan membeli barangan dalam kuantiti yang banyak di pasaraya-pasaraya. Dengan jumlah pelanggan yang ramai dan barangan yang dibeli setiap orang adalah banyak, maka adalah sesuatu yang relevan dan dapat diterima jika kita mengguna pakai jual beli secara bai’ al-mu’atah. Ianya memudahkan selari dengan prinsip Islam iaitu memudahkan bukan menyusahkan. Semua orang tahu pihak penjual ingin menjual barang. Setiap barangan pula dilekatkan tanda harga. Pelanggan tahu dan membayar dengan harga yang ditawarkan. Jadi sudah wujud suasana saling redha-meredhai dan tidak ada paksaan daripada mana-mana pihak.

Ekonomi berkembang
Sejalan dengan perkembangan semasa, terdapat banyak transaksi moden sebagaimana telah dinyatakan di atas. Urusan-urusan pembelian terkini terutamanya yang menggunakan internet atau khidmat pesanan ringkas sememangnya tidak ada akad jual beli. Namun masing memang mengetahui mereka sedang melakukan urusan jual beli. Jika kita dapat berlapang dada tentang keharusan tidak perlu lafaz sighah cukup sekadar aktiviti fizikal yang menunjukkan redha antara dua pihak maka ia akan memudah dan merancakkan aktiviti ekonomi.

Walaubagaimana pun ada juga sudut negatifnya sebagaimana yang akan dihurai nanti:

Mudarat jangka panjang
Mudarat ini hanya akan berlaku jika ianya melibatkan jual beli barangan berharga seperti tanah, rumah, kenderaan dan sebagainya yang dianggap bernilai tinggi. Untuk urusan pembelian barangan berharga, penjual dan pembeli mesti menunjukkan kesungguhan dan kerelaan sepenuhnya ketika aqad. Asas kepada hujah ini adalah untuk mengelakkan perasaan tidak puas hati antara kedua belah pihak sehingga menimbulkan perasaan was-was terhadap keabsahan urusan jual beli. Sama ada sah atau fasid. Jika fasid maka jual beli tidak sah dan barangan yang dibeli belum lagi menjadi milik mutlak pembeli. Dicadangkan agar kedua-dua pihak melakukan aqad jual beli dengan lafaz yang sarih agar tidak timbul rasa tidak puas hati di kemudian hari. Perkara sedemikian (perasaan ragu) tidak akan berlaku pada pembelian barangan murah seperti pen. Apa sangatlah sebatang pen atau sekilo gandum atau segenggam gula-gula. Rasa tidak puas hati tidak akan berlaku pada jual beli barangan ini.

Kesimpulan
Jual beli tanpa akad atau bai’ al-mu’atah bukanlah sesuatu yang asing dalam perbincangan ilmu fiqh. Di antara pandangan yang tidak membenarkannya sama sekali dengan pandangan yang memberi kebenaran seluas-luasnya, kita wajar memilih jalan tengah yang diakui oleh kebanyakan ulama’-ulama’ mutakhirin daripada mazhab-mazhab fiqh yang muktabar iaitu mengharuskannya dalam perkara-perkara mudah dan kecil. Sebaliknya mewajibkan aqad pada perkara-perkara besar. Ilmu fiqh tidak seperti ilmu tauhid yang bersifat qat’ie. Ianya masih terbuka kepada perbincangan tetapi terikat dengan hukum-hukum dasar. Allah dan Rasulnya telah meletakkan dasar yang utuh. Maka ulama’-ulama ini menggali dan mengkaji hingga dapat diistinbat hukum.



[1] Al-mu’jam al-Arabi al-Asasi m/s 853
[2] Fiqh Syafii, jilid 2, m/s 9
[3] Dr. Wahbah al-Zuhaili, Fiqhul Islam Wa Adillatuhu, m/s 366
[4] Mohd. Saleh B Haji Ahmad (Haji). Al-Qawaid Al-Fiqhiah
[5] Al-Nawawi. Raudhatu Al-Tolibin. Juzuk 3 m/s 5

Kenali Dinar Emas Syifa'


Dinar Emas Syifa' dengan ketulenan 917...
direka khusus untuk pelaburan emas yang hebat dan menarik...
Dinar Emas Syifa' juga sesuai sebagai hadiah majlis perkahwinan, menjadi hantaran dan mas kahwin dalam majlis perkahwinan. Setiap produk Dinar Emas Syifa' GSR melalui ujian ketulenan (Assayer) untuk memastikan kualiti dan ketulenan dijamin. Setiap produk Dinar Emas Syifa' disertakan bersama sijil ketulenan bertandatangan basah yang dilengkapi dengan pelekat hologram keselamatan serta sampul yang amat menarik dan mempesonakan.

Harga: Rujuk harga semasa GSR di www.gsr2u.com.my/cikdin
Saiz : 22.90 mm (diameter) x 0.78 mm (tebal)
Berat : 4.25 gram
Ketulenan : emas 917

Tuesday 14 January 2014

Emas; harga spot, premium, harga pasaran dan kos upah





       “Eh… apasal harga emas kat surat khabor ni lagi murah dari kedai? RM126 je. Kat kedai RM150”. Rupa-rupanya brader tu tengah belek-belek bahagian saham komoditi. Begitulah sebahagian persoalan yang sampai ke telinga ini sekitar bulan Oktober 2013 yang lalu. Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan…. Harga murah yang dinyatakan tadi adalah harga spot emas. Harga spot merujuk kepada harga emas mentah dari lombong. Jadi… kalau tuan-tuan nak harga tu silalah pergi sendiri ke lombong-lonbong emas yang ada kat muka bumi ni.

       Oooo… begitu. Tapi apasal harga kat kedai lain? Memang le lain harganya. Macam jantung pisang la jugak. Masa ambik kat kampung lima posen je sebijik. Lepas tu jual kat pasar tani di bandar dengan harga seringgit sebiji. Mak ai… untung sekali ganda tu. 50% untungnya. Bila sampai kat kedai makan dan jadi ulam kira harga lain pulak. Sebijik jantung pisang dibelah empat. Satu bahagian dijual dengan harga lima posen. Jadi sebiji jantung pisang kat kedai makan besamaan dua ringgit berbanding harga asal di kampung dulu lima posen je.
       
       Lagi satu… bukan saja-saja je nak naik harga. Sebab ada kos-kos tertentu yang terpaksa ditanggung oleh peniaga. Hal yang sama juga berlaku pada emas. Emas dari lombong perlu melalui beberapa proses sebelum sampai ke kilang barang kemas seperti pengangkutan, minting, kos peleburan, buruh dan insuran. Proses-proses ini memerlukan kos tambahan. Kos ini dikenali sebagai premium. Kedai-kedai akan meletakkan harga masing-masing. Ada dua jenis harga emas di pasaran Malaysia iaitu harga yang ditetapkan oleh FGAM (Federal Of Goldsmith Of Malaysia) dan harga pekedai yang tidak bernaung di bawah FGAM. Sebagai contoh… di bulan Oktober 2013, harga spot emas ialah RM126 manakala harga pasaran emas tempatan ialah RM150. Maknanya, kos premium adalah sebanyak RM24 atau 16%. Lagi rendah premium… lagi untung.

       Tapi jangan harap anda akan dapat harga itu di kedai emas. Apasal?.... Haa baca lagi
Bagi setiap urusniaga pembelian produk emas, jumlah yang perlu dibayar pelanggan adalah harga emas ditambah dengan kos upah.

Tapi apakah itu KOS UPAH? Kenapa perlu ada KOS UPAH?
Ini jawapannya….

                                     KOS UPAH = UPAH TUKANG = KOS TUKANG

        Kos upah biasanya akan dikenakan kepada pelanggan bagi setiap produk emas yang dibeli. Kos upah adalah kos yang dibayar kepada tukang emas bagi membentuk dan membuat barang kemas. Ia ditentukan mengikut kepada rekabentuk dan kadar kerumitan produk tersebut. Semakin rumit reka bentuknya, semakin tinggi kos upah. Biasanya dalam kadar RM50 – RM500. Jangan pula anda terkejut jika ada kos upah yang lebih itu. Bukan mudah untuk membuat barang kemas yang berkualiti dan cantik. Reti ke buat sendiri?
Mari kita buat sedikit kiraan:

Andai kata anda ingin membeli Rantai Tangan Pasir 916 10 gram.
Soalan biasa yang anda akan tanya adalah “Berapa harga emas segram?”.
Katakan harga emas ketika itu adalah RM150/gram.
Harga yang anda sangka anda akan bayar adalah:
RM 150 x 10 gram = RM 1500 …… Tapi tunggu !! Jumlah tersebut belum ditambah kos upah.
Untuk rantai tangan seringkas ini, kadar upah mungkin menjangkau RM80.

Maka, jumlah yang anda perlu bayar adalah:
RM1500 + RM80 = RM1580
Maka, pastikan anda bertanyakan kos upah terlebih dahulu sebelum membayar emas yang anda beli. Lebih kecil kos upah, lebih cepat anda akan beroleh keuntungan dari nilai emas yang anda beli.
Semakin rumit semakin mahal upah 
       Fakta… barang kemas dibuat oleh tukang emas. Dikenakan kos upah. Okey benar. Tetapi bagaimana pula dengan tokey kedai emas? Bukan dia buat barang kemas pun. Kos upah di kedai emas adalah sekali ganda mungkin kurang atau lebih lagi daripada kos upah yang dikenakan oleh pengilang. Kalau kos upah RM80 maknanya kos upah dari kilang ialah sekitar RM40. Inilah cara atau rahsia peniaga-peniaga emas mengaut keuntungan. 
       
       Soalnya, di mana asas untuk mengenakan charge upah sedangkan itu bukan kos sebenar? Nanti ada yang akan kata itu adalah ‘uruf. Semua orang dah tau. Tetapi bagi saya secara peribadi… ianya belum lagi boleh disebut sebagai ‘uruf kerana sebahagian besar masyarakat masih ingat tokey emas buat barang kemas kat belakang atau kat rumah dia. Justeru, saya lebih suka menggunakan istilah premium berbanding upah. Harga premium saya ialah = kos upah + (service charge / pengangkutan / yuran profesional)