Pengenalan
Lafaz
akad berasal daripada lafaz arab [1]al-‘aqd
yang bererti perikatan, perjanjian dan permuafakatan (al-ittifaq). Dari sudut
istilah fiqh, akad didefinisikan dengan pertalian ijab dan qabul yang sesuai
dengan kehendak syariat. Manakala akad dalam urusan jual beli pula adalah ikatan kata
antara si penjual dengan si pembeli. Umpamanya: Aku jual barangku kepadamu
dengan harga sekian, kata si penjual. Aku beli barangmu dengan harga sekian,
sahut si pembeli. Perkataan penjual dinamakan ijab dan perkataan pembeli
dinamakan kabul.
Jual beli belum dapat dikatakan sah,
sebelum ijab kabul dilakukan. Sebab ijab kabul itu menunjukkan rela atau
sukanya kedua belah pihak. Pada dasrnya ijab kabul itu harus dilakukan dengan
lisan. Tetapi, kalau tidak mungkin kerana bisu atau jauh barang yang dibeli dan
penjualnya jauh pula, maka bolehlah dengan perantaraan surat menyurat yang
mengandungi erti ijab kabul itu. Sabda Rasulullah s.a.w:
عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى
الله عليه وسلم قال: لا يفترقنَّ اثنان إلا عن تراض.
Dari
Abu Hurairah r.a dari Nabi s.a.w Baginda bersabda, “Belum lah boleh dua orang
yang berjual beli berpisahan sebelum mereka redha meredhai”.
(Riwayat
Abu Daud dan Tirmizi)
Dalil
daripada Al-Quran pula ialah firman Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 28:
Allah
(sentiasa) hendak meringankan (beban hukumNya) daripada kamu, kerana manusia
itu dijadikan berkeadaan lemah.
Kerelaan
itu sebenarnya tidak dapat dilihat, sebab berhubungan dengan hati. Oleh sebab
itu, wajiblah dihubungkan dengan sebab zahir yang menunjukkan keredhaan itu,
iaitu sighah (ijab qabul).
Pandangan
ulama berkenaan ijab qabul
Menurut
fatwa ulama Syafiiyah, wajib melafazkan ijab dan qabul pada jual beli yang
kecil-kecil. [2]Tetapi
Al-Nawawi dan kebanyakan ulama mutaakhirin daripada kalangan ulama Syafiiyah
mereka berpendirian boleh jika tidak dilafazkan akad pada barang yang tidak
begitu tinggi harganya seperti gula-gula, tepung sekampit dan sebagainya.
Nama-nama
lain bagi a’kad jenis ini
Terdapat
dua istilah yang biasa digunakan oleh ulama bagi merujuk kepada jual beli tanpa akad iaitu:
Pembelian
dengan cara saling beri memberi. Penjual memberi barang manakala pembeli
memberi wang. Secara ‘urufnya semua orang mengerti bahawa kewujudan perasaan
saling meredhai antara kedua pihak di dalam majlis.
ii. Bai’
al-Murawadhah (
بيع المراوضة )
Pembelian
dengan cara redha meredhai. Tidak perlu aqad. Penjual memang redha kepada
pembeli dan begitu juga sebaliknya.
iii. Al-Ta’aati
(unjuk mengunjuk)
Perbuatan
saling unjuk mengunjuk dikira saling meredhai. Penjual menghulur barang dalam
masa yang sama pembeli menghulur wang. Perbuatan mereka dikira meredhai antara
satu sama lain.
Ada masanya kadang-kadang kontrak tidak
dilakukan dengan perkataan atau lafaz, tetapi dengan perbuatan dua pihak yang
beraqad. Ini dinamakan oleh fiqh dengan mu’atah atau ta’ati atau murawadah.,
iaitu aqad dengan cara perbuatan tukar-menukar yang menunjukkan persetujuan
atau kerelaan dua pihak tanpa mengeluarkan lafaz ijab dan qabul. Dalam kes jual
beli, jika seseorang mendapati ada tanda harga di atas sesuatu barang seperti
jam atau pun barang perhiasan, lalu ia membayar harga kepada penjual dan ia
mengambil jam atau perhiasan itu tanpa ijab dan qabul, maka jual beli itu sah
kerana perbuatan itu menyatakan persetujuan atau kerelaan pada pandangan [4]‘uruf atau adat manusia. Demikian juga aqad menjadi
sah jika pembeli hanya membayar wang pendahuluan sebab ia merupakan sebahagian
daripada harga.
Dalam kes sewa, jika seseorang menaiki
kereta lalu dibayar harga tiket kepada tukang tiket tanpa berkata apa-apa, maka
pada ‘uruf sah sewaan itu.
Sebagaimana kebiasaan adat kita di
Malaysia, trankasi jual beli berlaku tanpa menyebut ijab qabul yang dinamakan
oleh syara’ sebagai bai’ al-mu’atah. Rata-rata masyarakat
terutama di bandar-bandar besar ataupun yang terdedah dengan urusan jual beli
dengan orang bukan Islam amat jarang menyebut ijab qabul. Soalnya adakah jual
beli sebegini sah di sisi syara’. Kadang-kadang ianya menimbulkan polimik di
kalangan masyarakat disebabkan tahap pendidikan yang berbeza melibatkan
golongan yang jahil berkenaan ilmu muamalat, belajar muamalat tetapi tidak
meluas pandangannya (sempit) dan golongan yang mempunyai ilmu dan kepakaran.
Adakah setiap urusan jual beli memerlukan ijab qabul walaupun membeli sebatang
pen? Bagaimana pula jika kanak-kanak yang belum mengerti apa-apa membeli
gula-gula? Tidak dinafikan jual beli tanpa akad sebegini berlaku di mana-mana
sahaja di dalam semua peringkat masyarakat Malaysia.
Pendapat ulama mengenai transaksi
ini
Ada
tiga pandangan ulama berkenaan transaksi tanpa ijab dan qabul.
1. Tidak
harus dan tidak sah jual beli
2. Harus
pada sebahagian transaksi dan tidak harus pada sebahagian yang lain.
3. Harus
secara mutlak
1.
Tidak harus dan tidak sah jual beli
Pandangan
ini dikemukakan oleh Al-Imam Al-Syafie dan Al-Imam Al-Zahiri termasuk juga
Syiah. Menurut mereka, bai’ mua’tah ini tidak sah kerana
dalilnya tidak kuat untuk menyatakan aqad. Sebab kerelaan adalah suatu perkara
yang tersembunyi. Tidak ada dalil yang dapat menyatakan demikian kecuali dengan
lafaz. Lafaz ijab qabul merupakan dalil zahir yang menunjukkan redha kedua-dua pihak atas urusan jual
beli. Redha meredhai adalah urusan hati. Tanpa lafaz bagaimana hendak menunjukan
redha jualbeli?Adapun dengan perbuatan sahaja ia boleh jadi bermakna lain yang
tidak menyatakan kehendak aqad. Oleh itu aqad tidak sah dengan perbuatan atau
unjuk mengunjuk itu. Apa yang mesti dan menjadi syarat ialah sesuatu aqad
hendaklah dibuat dengan lafaz yang terang atau lafaz kinayah (tidak terang)
ataupun dalam kes-kes tertentu dengan menggunakan isyarat yang dapat difahami
ataupun dengan tulisan. Dalilnya ialah sabda Rasulullah
إنما
البيع عن تراض
“Sesungguhnya
jual beli adalah (didasarkan atas) kerelaan”.
2.
Harus pada sebahagian transaksi dan tidak harus pada sebahagian yang lain
Pendapat kedua adalah pertengahan. Pendapat
ini dipegang oleh sebahagian Ulama Syafi’e dan sebahagian mazhab Hanafi. Oleh
kerana pendapat mazhab yang sebelumnya keras, menentukan bentuk kontrak yang
khusus dan tidak menerima prinsip tolak ansur dan mudah maka sebahagian
daripada golongan ulama’ Syafie termasuk [5]Al-Nawawi, Al-Baghawi dan Al-Mutawalli, mengatakan
sah jual beli dengan cara unjuk mengunjuk pada semua barang yang disediakan
untuk jualan. Oleh kerana tidak sabit adanya syarat bahawa aqad mesti dibuat
dengan lafaz sahaja maka boleh dirujuk kepada ‘uruf atau adat seperti lafaz
mutlak yang lain.
Sebahagian ulama’ Syafie seperti Ibnu Suraij dan
Al-Ruyani mengkhususkan keharusan jual beli secara unjuk-mengunjuk kepada
barang-barang yang kurang berharga iaitu sesuatu yang berlaku kebiasaan
unjuk-mengunjuk padanya. Pendapat ini menegaskan Bai’ Mua’tah ini berlaku pada
barang yang tidak mahal. Manakala pada barang yang mahal perlu kepada lafaz
ijab qabul. Sebagai contoh kita perlu kepada Ijab qabul dalam jualan beli
kenderaan, rumah ataupun barang-barang yang mahal.Tetapi pada barang-barang
yang murah seperti pen, gula-gula tidak memerlukan lafaz ijab qabul kerana benda yang biasa pada
pandangan masyarakat.
3.
Harus secara mutlak
Pendapat terakhir ialah pendapat jumhur fuqaha’
Hanafi, Maliki, Hanbali. Mereka berpendapat transaksi Mu’atah ini harus sama ada pada barang yang mahal ataupun
murah. Bagi Al-Imam Abu Hanifah dan Al-Imam Ahmad (pandangan terkemudian)
serta ulama’-ulama’ di kalangan mereka, mereka mengatakan aqad yang berlaku
secara unjuk mengunjuk adalah sah dalam perkara yang telah menjadi kebiasaan
atau adat orang ramai. Tidak kira sama ada barang itu kurang nilai aeperti
telur atau surat khabar atau roti ataupun barang yang berharga tinggi seperti
rumah, tanah dan kereta. Sebab kebiasaan dan adat manusia adalah menjadi bukti
atau dalil yang jelas adanya persetujuan atau kerelaan. Ini tidak kira sama ada
pertukaran perbuatan itu berlaku daripada dua belah pihak atau daripada sebelah
pihak dan satu pihak lagi menggunakan lafaz. Pendapat ini adalah pendapat yang asah
yang difatwakan. Juga tidak kira dalam masalah jual beli, sewa, pinjam,
hibah ataupun raj’ah. Walau bagaimanapun, syarat yang mesti dipenuhi ialah
harga barang itu adalah diketahui dengan jelas. Jika harga tidak diketahui
dengan jelas, aqad itu dikira fasid. Syarat lain, pihak yang beraqad janganlah
menyatakan yang dia tidak bersetuju dengan aqad itu.
Al-Imam Malik dan asal pandangan Al-Imam
Ahmad serta pendokong mazhab mereka menyatakan bahawa aqad secara perbuatan
atau mua’tah adalah sah jika terdapat dalil yang nyata menunjukkan adanya
kerelaan, tidak kira sama ada ia telah menjadi ‘uruf yang diamalkan atau tidak.
Pendapat ini adalah lebih luas daripada pendapat yang terdahulu, dan juga lebih
memberi kemudahan kepada manusia. Jadi setiap perbuatan yang menunjukkan jual
beli atau sewa, syarikat, wakalah atau aqad lain selain perkahwinan adalah sah
dilakukan secara demikian; kerana asas pegangan ialah ada sesuatu yang menunjuk
kepada kehendak dua pihak yang beraqad, iaitu pembentukan aqad dan kerelaan
beraqad adalah wujud. Perbuatan atau aqad seperti ini telah lama diamalkan
iaitu sejak zaman Rasulullah lagi dan selepasnya. Tiada hadis yang diriwayatkan
daripada Rasulullah yang hanya membataskan kontrak dengan ijab dan qabul
sahaja. Begitu juga tidak ada hadis yang menafikan sahnya jual beli secara
unjuk mengunjuk. Lagipun, orang ramai sentiasa berjual-beli di pasar-pasar
dengan cara saling unjuk-mengunjuk pada setiap masa. Tidak ada siapa yang
mengingkarinyaOleh yang demikian, berlaku ijma’ tentang itu. Qarinah (tanda)
itu sudah menjadi dalil yang cukup tentang adanya kerelaan
Yang demikian kerana lafaz adalah tidak penting. Yang
penting adalah redha meredhai di antara
penjual dan pembeli itu. Allah menghalalkan jual beli dan tidak menjelaskan
cara-caranya. Maka wajib menurut kepada uruf masyarakat setempat itu. Sebagai
contoh di Malaysia yang terbiasa dengan amalan jual beli Mu’atah ini tanpa
menyebut lafaz ijab qabul.
Sepintas
Berkenaan ‘Uruf ; Sandaran Ulama Dalam Menentukan Jual Beli Tanpa Lafaz Ijab
Dan Qabul Atau Bai’ Al-Mua’tah
'Uruf
ialah sesuatu yang dibiasai oleh
manusia, samada betbentuk perbuatan atau perkataan. Para ulama telah menjadikan
`urf sebagai salah satu asas dalam pembinaan hukum. Ini jelas dapat difahami
dari kata-kata dan fatwa yang dikeluarkan oleh mereka. Ada di antara mereka
yang berdalil dengan firman Allah yang bermaksud:
Terimalah
apa Yang mudah Engkau lakukan, dan suruhlah Dengan perkara Yang baik, serta
berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang Yang jahil (yang degil Dengan
kejahilannya).
Al-Aaraf:
199
Walaupun
‘urf tetap diambil kira, diberi pertimbangan dan sah pembinaan hukum ke
atasnya, tetapi ia pada hakikatnya bukan merupakan dalil yang berasingan atau
sumber hukum yang tersendiri bahkan ia dirujuk kepada dalil-dalil Syarak yang
mutabar, kerana ‘urf tidak boleh mencipta hukum bersama Allah dan tidak ada
siapa pun yang mempunyai autoriti mentasyri’ hukum melainkan Allah sahaja.
Sesungguhnya apabila beberapa hukum Syariat mengambil kira ‘urf maka itu
merupakan suatu keringanan dan rahmat dari Allah yang menurunkan Syariat dan
Dialah sumber hukum yang sebenarnya, bukan ‘urf yang hukum datang selari
dengannya.Apabila Allah mengizinkan kita membina hukum-hukum berdasarkan ‘urf
maka keizinan Allah itulah sumbernya bukan ‘urf. Maka ‘urf dalam dua keadaan
ini tidak lebih dari kaedah fiqhiyyah yang dapat diambil faedah darinya ketika
pelaksanaan hukum-hukum tidak akan meningkat kepada tahap sumber atau dalil.
para
ulama usul fiqh merumuskan kaedah-kaedah fiqh yang berkaitan dengan ‘urf, di
antaranya adalah:
1. Adat
kebiasaan itu boleh menjadi hukum(al-adah al-muhakkamah)
2. Tidak
diingkari perubahan hukum disebabkan perubahan zaman dan tempat.
3. Yang
baik itu menjadi ‘urf, sebagaimana yang disyaratkan itu menjadi syarat.
4. Yang
ditetapkan melalui ‘urf sama dengan yang ditetapkan melalui nash (ayat dan atau
hadits)
Para ulama usul fiqh juga sepakat bahwa hukum-hukum yang didasarkan kepada ‘urf boleh berubah sesuai dengan perubahan masyarakat pada zaman tertentu dan tempat tertentu.
‘Uruf
terbahagi kepada beberapa bahagian. Yang akan dibincangkan di sini adalah
bahagian yang bersangkutan dan relevan dengan perbincangan aqad jual beli tanpa
lafaz iaitu Urf perbuatan atau amali.
‘Urf
amali ialah perbuatan atau amalan yang sudah menjadi kebiasaan manusia.
Perbuatan atau amalan tersebut sama ada dari segi kegiatan biasa atau kegiatan
kemasyarakatan. Maksud kegiatan biasa adalah kegiatan yang bersangkutan dengan
kehidupan biasa tanpa melibatkan akad dan hak seperti makan, minum, pakaian,dan
sebagainya. Maksud kegiatan kemasyarakatan pula ialah kegiatan yang
bersangkutan dengan akad dan hak seperti nikah, jual beli, rampasan, dan
lain-lain.
Contoh
’urf amali ialah dari segi kegiatan biasa ialah kebiasaan masyarakat Malaysia
menjadikan nasi sebagai makanan asasi. Contoh bagi ’urf amali dari segi urusan
kemasyarakatan ialah kebiasaan penjual di sesetengah tempat menghantar barangan
jualan yang berat ke kediaman pembeli dan kebiasaan masyarakat berjual beli
tanpa lafaz ijab dan qabul.
Perbuatan
yang menjadi kebiasaan di kalangan manusia seperti jual beli Mu’atah (معاطاة)
(proses jual beli tanpa ijab dan qabul), penggunaan tandas awam tanpa
ditetapkan tempoh masa dan jumlah air yang digunakan, istisna’ (استصناع)
(tempahan membuat barangan seperti kasut, pakaian, dan sebagainya), hidangan
makanan kepada tetamu merupakan keizinan untuk makan dan sebagainya.
Pendapat
penulis mengenai kesan kewujudan transaksi seumpama ini di dalam kehidupan
seharian
Jual
beli merupakan ibadah di dalam kehidupan seorang muslim. Ia juga merupakan keperluan seharian. Seseorang yang sempurna
kehidupannya pasti tidak akan dapat lari daripada terlibat dalam urusan jual
beli. Kaedah hukum fiqh terutama yang melibatkan muamalah sesama manusia adalah luas dan
terbuka kepada perbincangan. Namun ia tetap terikat dengan hukum-hukum asas
seperti halal haram dan sebagainya. Sistem jual beli semakin kompleks. Kini,
jual beli secara bersemuka hanya salah satu daripada berpuluh-puluh kaedah
pembelian yang ada sekarang. Ada yang menggunakan internet untuk memesan
barang, pesanan melalui pos, tidak kurang juga melalui sms (sistem pesanan
ringkas) dan kad kredit. Belum lagi dikira pembelian di peti-peti jualan yang
tidak ada penjual.
Jika
kita masih terikat dengan hukum wajib melafaz akad jual beli antara penjual dan
pembeli, mana mungkin transaksi dapat dijalankan. Sedangkan fiqh tidak
menghalang jual beli sebegitu. Kerana tidak ada dalil yang mewajibkan lafaz
ijab dan qabul. Hanya dimestikan ada saling redha-meredhai antara penjual dan
pembeli. Andai kata kita dapat berlapang dada terhadap jual beli tanpa akad
secara lisan, ia pasti memberi pengaruh kepada perkembangan ekonomi setempat.
Namun, saya lebih setuju dengan pandangan kedua yang hanya mensyaratkan
barangan bernilai sahaja wajib dilafaz ijab dan qabul. Kesannya dapat dibahagi
kepada dua bahagian; positif dan negatif. Dikatakan positif kerana…
Urusan
jual beli menjadi mudah
Kuasa
beli masyarakat semakin bertambah. Kebiasaannya masyarakat akan membeli
barangan dalam kuantiti yang banyak di pasaraya-pasaraya. Dengan jumlah
pelanggan yang ramai dan barangan yang dibeli setiap orang adalah banyak, maka
adalah sesuatu yang relevan dan dapat diterima jika kita mengguna pakai jual
beli secara bai’ al-mu’atah. Ianya memudahkan selari dengan prinsip Islam iaitu
memudahkan bukan menyusahkan. Semua orang tahu pihak penjual ingin menjual
barang. Setiap barangan pula dilekatkan tanda harga. Pelanggan tahu dan
membayar dengan harga yang ditawarkan. Jadi sudah wujud suasana saling
redha-meredhai dan tidak ada paksaan daripada mana-mana pihak.
Ekonomi
berkembang
Sejalan
dengan perkembangan semasa, terdapat banyak transaksi moden sebagaimana telah
dinyatakan di atas. Urusan-urusan pembelian terkini terutamanya yang
menggunakan internet atau khidmat pesanan ringkas sememangnya tidak ada akad
jual beli. Namun masing memang mengetahui mereka sedang melakukan urusan jual
beli. Jika kita dapat berlapang dada tentang keharusan tidak perlu lafaz sighah
cukup sekadar aktiviti fizikal yang menunjukkan redha antara dua pihak maka ia
akan memudah dan merancakkan aktiviti ekonomi.
Walaubagaimana
pun ada juga sudut negatifnya sebagaimana yang akan dihurai nanti:
Mudarat
jangka panjang
Mudarat
ini hanya akan berlaku jika ianya melibatkan jual beli barangan berharga
seperti tanah, rumah, kenderaan dan sebagainya yang dianggap bernilai tinggi. Untuk
urusan pembelian barangan berharga, penjual dan pembeli mesti menunjukkan
kesungguhan dan kerelaan sepenuhnya ketika aqad. Asas kepada hujah ini adalah
untuk mengelakkan perasaan tidak puas hati antara kedua belah pihak sehingga
menimbulkan perasaan was-was terhadap keabsahan urusan jual beli. Sama ada sah
atau fasid. Jika fasid maka jual beli tidak sah dan barangan yang dibeli belum
lagi menjadi milik mutlak pembeli. Dicadangkan agar kedua-dua pihak melakukan
aqad jual beli dengan lafaz yang sarih agar tidak timbul rasa tidak puas hati
di kemudian hari. Perkara sedemikian (perasaan ragu) tidak akan berlaku
pada pembelian barangan murah seperti pen. Apa sangatlah sebatang pen atau
sekilo gandum atau segenggam gula-gula. Rasa tidak puas hati tidak akan berlaku
pada jual beli barangan ini.
Kesimpulan
Jual
beli tanpa akad atau bai’ al-mu’atah bukanlah sesuatu yang asing dalam
perbincangan ilmu fiqh. Di antara pandangan yang tidak membenarkannya sama
sekali dengan pandangan yang memberi kebenaran seluas-luasnya, kita wajar
memilih jalan tengah yang diakui oleh kebanyakan ulama’-ulama’ mutakhirin
daripada mazhab-mazhab fiqh yang muktabar iaitu mengharuskannya dalam
perkara-perkara mudah dan kecil. Sebaliknya mewajibkan aqad pada
perkara-perkara besar. Ilmu fiqh tidak seperti ilmu tauhid yang bersifat
qat’ie. Ianya masih terbuka kepada perbincangan tetapi terikat dengan
hukum-hukum dasar. Allah dan Rasulnya telah meletakkan dasar yang utuh. Maka
ulama’-ulama ini menggali dan mengkaji hingga dapat diistinbat hukum.