Showing posts with label Mistik vs syariat. Show all posts
Showing posts with label Mistik vs syariat. Show all posts

Tuesday, 17 February 2015

Antara Mukjizat, Karomah, Maunah dan Sihir

Mukjizat
Mukjizat adalah perkara luar biasa yang mencarik adat. Hanya berlaku kepada para rasul dan nabi-nabi. Dengan atau tanpa permohonan daripada mereka. Bertujuan menguatkan lagi dakwah mereka agar manusia yang belum beriman akan tertarik untuk beriman. Manakala yang telah beriman akan bertambah mantap imannya. Contoh, dah banyak dah.. google sendiri le

Karomah/Keramat
Karomah pula adalah perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada hamba-hambaNya yang soleh. Sebagai tanda di atas kemuliaan hamba tersebut. Tiada amalan khusus untuk menghadirkan karomah ini. Totally kurniaan Allah. Para wali itu hanya beramal sesuai dengan ilmu mereka. yang tidak lari daripada petunjuk Rasulullah. cuma yang agak berbeza dengan kita yang awam ini ialah.. amalan mereka melibatkan zahir dan batin. kalau zahirnya puasa... batinnya juga puasa. Kelebihan yang diberi tu pula kadang-kadang tidak disedari. paling biasa ialah doa yang amat cepat dimakbulkan. Antara contoh-contohnya adalah seperti berikut... saya rahsiakan nama-nama mereka supaya tidak bertembung dengan riwayat yang berbeza. cuma ambil manfaatnya saja

1. Ada sorang ulamak di pantai timur. Kampung dia dilanda banjir besar. Semua orang kampung dah selamat berpindah. Pastu baru sedar... menantu dan cucu-cucunya masih berada di seberang sungai. Semua orang kampung berkampung di tebing sungai sebelah sini.... melihat saja air yang makin naik menghampiri rumah menantu ulamak ni di seberang sungai. Takde sape berani tolong sebab air sangat laju. Jambatan pun dah banyak hanyut. Dalam keadaan genting begini... ulama tadi ternampak masih ada lagi jambatan yang belum dihanyutkan arus. Dah uzur dan senget. Tapi masih boleh dilalui. Dengan tawakkal... ulama ini meniti jambatan itu dengan hati-hati. akhirnya selamat sampai ke seberang sana dan membawa menantu dan cucu-cucunya balik ke seberang sini dengan selamat. Ngam-ngam je sampai seberang sini.... jambatan tu pun hanyut. Syukurlah semuanya selamat. Orang kampung terpegun. Bukan kerana keberanian ulama tu meniti jambatan usang. Tiada siapa pun yang nampak jambatan tu. Dan sememangnya tidak ada jambatan langsung. Mereka hanya melihat ulama itu BERJALAN DI ATAS AIR dengan tenang hingga akhirnya selamat. Walhal... pada ulama tu, dia rasakan hanya meniti di atas jambatan usang.

2. Di sebelah selatan tanahair... ulama ni berhijrah ke sini dari Sumatera. Al-kisah suatu hari ada orang kampung datang jemput dia untuk mendoakan orang sakit. Heran juga dia... apasal orang yang datang jemput dia berpayungkan daun pisang. Walhal hari sedang cerah dan tak le panas sangat. bila dihulur daun pisang dia menolak. Terus pergi rumah orang sakit. Bila sampai je.... terus orang kampung tercengang. Ngape TOK GURU TAK BASAH sedangkan hujan lebat selebatnya kat luar. Mamat yang pegi jemput tu pun dah kuyup satu badan. Tapi aneh. Sorang pun tak berani nak tanya. Tapi di sisi tok guru tu.... dia tau 'kat luar cuaca baik... tak hujan'.

3. Kisah ketiga berlaku di luar negara. Di Bukittinggi, Sumatera Barat. Ulama ni dikenali sebagai Haji Salim (takpe sebut nama sebab luar negara). Suatu hari... orang-orang bercerita yang Hj Salim ini boleh BERADA DI BANYAK TEMPAT DALAM SATU MASA. Hadir kenduri 2 tempat. Mengajar agama 2 tempat. Ada 4 tempat dalam masa yang sama. Pada pandangan orang biasa memang aneh. Tapi... hakikat sebenar yang berlaku kepada Haji Salim ialah... tidak ada apa-apa yang aneh. Oleh kerana beliau seorang yang taat dan sentiasa tunduk kepada perintah Allah.... maka tak heran la kalau Allah muliakan dia dengan menundukkan satu 'makhluk' Allah kepada dia. Makhluk yang dimaksudkan ini ialah 'MASA'. Allah tundukkan masa kepada dia. Pada dia.... mula-mula di pegi kenduri rumah A, pastu rumah B, pastu sambung mengajar di kampung A. Abih ngajor di kampung A, dia terus pegi ngajor di kampung B. Itulah susunan pergerakan Hj Salim. tapi di sisi orang kampung... mereka melihat seolah-olah tok guru ni berada di banyak tempat dalam satu masa.

Maunah
Maunah ialah pertolongan Allah kepada hamba-hambaNya dari kalangan orang biasa atas kehendakNya yang Maha Pengasih, Maha Berkuasa lagi Maha Berkehendak. Ianya boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Beberapa contoh yang sempat dikutip... yang tuan-tuan penah dengar.

1. Eksiden teruk. kereta hancur tapi tak cedera pun.
2. Treler terbalik. Bergolek-golek ke arah kita. Dia berenti ngam-ngam tinggal lagi seinci nak sentuh kereta kita.
3. Tertidur hingga terlepas bas express. naya beb... tetiba malam tu masuk berita. Bas yang septutnya kita naik terlibat dalam kemalangan. Terjun gaung. Semua penumpang terkorban.
4. Hidayah yang datang secara drastik kepada orang-orang bukan Islam yang mendorong mereka memeluk Islam. Seperti mimpi atau pengalaman pelik.


Sihir
Sihir ialah perkara-perkara luar biasa yang berlaku dengan bantuan jin atas izin daripada Allah. Ianya adalah kufur sebab melibatkan perkara-perkara syirik. Berkaitan sihir ini saya akan ceritakan lebih detail dalam pos-pos seterusnya insya Allah.

Saturday, 22 March 2014

Asal Usul SAKA Diwarisi

Selalu kita dengar ada orang yang diganggu saka hingga keluarga jadi porak peranda. kadang-kadang penyakit datang tak putus-putus. Berikut saya kongsikan pengalaman rohani seorang guru agama yang dipanggil Angah atau ustaz (Tok Awang Ngah) cucu kepada salah seorang ulama tersohor di Negeri Sembilan.... yang dikutip daripada salah sebuah novel yang mengungkap pengalaman beliau dalam siri Berkelahi Dengan Syaitan. Semoga tuan-tuan akan mendapat gambaran serba sedikit berkenaan saka yang diwarisi. Namun, jangan jadikan saka sebagai fokus yang membantutkan kehidupan anda. Percaya atau tidak.... itu terpulang kepada tuan-tuan.

SUMPAH PELESIT TURUN TEMURUN

SEHINGGA pukul 10 malam, Simah isteri Meon masih mengerang-ngerang sakit kepala. Pada mulanya saya menyangkakan dia pening kepala biasa saja, mungkin disebabkan hawa panas. Tetapi akhirnya Meon memberitahu Simah akan diserang sakit kepala setiap kali saya datang ke situ. Bagaimanapun sakit kepalanya itu akan beransur hilang bila saya meninggalkan rumahnya. Sebenarnya Simah memang selalu diserang sakit kepala, cuma sakitnya bertambah berat kalau saya datang menemui Meon. Setelah lima tahun berkahwin dengan Meon rumahtangga mereka tidak begitu tenteram. Simah sentiasa merasa tidak tenteram dengan sikap Meon.


Tetapi mengapa dia merasa tidak senang dengan Meon, dia sendiri tidak tahu. Mujurlah Meon dapat bersabar dengan perangai Simah. Kalaulah tidak bersabar memang sudah lama rumahtangga mereka runtuh. Meon dapat memikirkan tentulah ada masalah lain menyebabkan Simah berperangai benci saja melihat Meon. Bila hatinya senang SImah tetap menunjukkan kasih sayangnya terhadap Meon. Sebab itulah Meon dapat memahami bahawa Simah memang ada gangguan lain menyebabkan dia berperangai sentiasa benci saja melihat dia apabila tiba masa hatinya tidak tenang. Memang Meon berhajat untuk membawa isterinya menemui Ulung Bahar. Jadi, kedatangan saya ke rumah Meon pun, memang ada kaitannya dengan cadangan Meon untuk membawa Simah berubat kepada Ulung Bahar.
"Dah lama ke Simah sakit macam ni?" tanya saya bila Simah semakin kuat mengerang-ngerang sebaik saja saya masuk ke biliknya. "Sejak saya kahwin memang inilah sakit idapannya" ujar Meon lemah. "Sabar sungguh awak, Meon..." kata saya. Meon terdiam. Terkejut juga dia bila saya kata demikian. Pada anggapannya saya mengatakan sabar disebabkan dia boleh bertahan demikian lama dengan Simah. Saya dapat menangkap akan perasaan Meon bila saya memberitahu demikian tadi. Oleh itu cepat-cepat saya menyambung, "Maksudnya, kau tak bawa Simah berubat. Lama sangat kau bersabar membiarkan Simah macam ni..." jelas saya supaya Meon tidak terkeliru dengan kata-kata saya itu. "Inilah saya nak bawa jumpa Ulung Bahar nanti" keluh Meon memerhati isterinya mengerang-ngerang sakit kepala.
Simah isteri Meon ini berasal dari Air Tawar, Perak. Sejak berkahwin dengan Meon lima tahun dulu jarang mereka balik ke kampung Meon, di Temerloh. Lagi pun memang Meon tidak menyangka Simah mengidap penyakit demikian, sebab itulah dia tidak cepat-cepat membawa bertemu Ulung Bahar. Baru kebelakangan inilah Meon menyedari Simah sebenarnya sakit. Kadangkala bila sakit kepalanya menyerang dia akan memaki hamun Meon. Mula -mula dulu terkejut juga Meon sampai hampir-hampir dia menceraikan Simah. Apabila Simah pulih semula, dia sendiri tidak tahu apa yang telah dicakapkannya kepada Meon. Kebetulan saya berhajat mahu bertemu dengan Ulung Bahar, maka Meon bercadang membawa Simah berubat sekali dengan Ulung Bahar.

"Cubalah ustaz tengokkan dulu..." kata Meon semakin rusuh melihat isterinya mengerang-ngerang sakit kepala. "Sakit kepala lain ni Meon" jelas saya merasakan bulu roma saya meremang seram sejuk. "Kalau dia melawan tak terkawal dek kita. Cubalah kau telefon adik kau di Datuk Keramat suruh dia datang. Kalau ramai nanti panjang juga ikhtiar kita..." saya menyuruhnya menelefon adiknya Jamlus di Datuk Keramat. Saya tahu Meon mempunyai adik di Kuala Lumpur tinggal di Datuk Keramat. Sudah dua tiga kali kami bertemu di rumah Meon itu. Kalau ada saudara mara Meon tidak segan jugalah saya mahu mencuba mengetahui punca penyakitnya. Cepat-cepat Meon menelefon Jamlus adiknya. Di samping itu dia juga memanggil jirannya. Dalam keadaan demikian masing-masing kelam kabut juga melihat keadaan isteri Meon sambil menuduhnya mati pucuk kerana sudah lima tahun berkahwin masih belum mendapat anak.

Bagi Meon maki hamun demikian sudah perkara biasa kepadanya. Dia tidak tersinggung kalau Simah bercakap demikian. Tetapi bagi jiran-jiran yang baru datang menjengah terkejut juga dia mendengar kata-kata Simah itu. Tidak lama kemudian kira-kira jam 11.30 Jamlus datang bersama isterinya. Terkejut juga dia apabila Meon menelefon fasal Simah sakit. Tentulah sakit Simah berat menyebabkan abangnya menelefon dia suruh datang segera. "Kita bawa hospital aje..." kata Jamlus sebaik saja melihat kakak iparnya mengerang-ngerang kesakitan. "Boleh jadi migraine. Elok cepat kita bawa ke hospital" gesanya tidak sabar lagi melihat Simah menggelepar di atas katil. "Sabar dulu..." sahut Meon menahan kerusuhan hatinya. Jiran-jiran yang lain juga mendesak supaya Simah dibawa ke hospital memandangkan keadaannya menggelepar seperti ayam kena sembelih. Saya masih berfikir apakah cara yang harus dilakukan dengan keadaan yang demikian. Keadaan demikian begini bukanlah baru kali pertama saya tempuhi, sebab itu saya tidak tergopoh-gopoh sangat melihat keadaan Simah itu.

"Kak Simah ni kena migraine agaknya. Jangan sabar-sabar lagi, bawa aje ke hospital" desak Jamlus lagi. Tetapi Meon yakin Simah bukan dihinggapi sakit migraine. Kalaulah Simah kena sakit migraine masakan dia akan memaki hamunnya. Menuduh dirinya yang bukan-bukan. Sehingga Simah tergamak mengatakan dia mati pucuk kerana tidak mendapat seorang anak pun setelah lima tahun berkahwin. Mujurlah dia dapat menahan sabar apabila dituduh demikian. Memang dia sedar Simah sakit, tetapi tidak dapat mempastikan sakit sebenarnya. Setelah ada ura-ura saya mahu menemui Ulung Bahar, barulah dia bercadang mahu mencuba membawa Simah berubat pada Ulung Bahar.

"Ada dukun di sini yang boleh kita cuba?" saya bertanya pada Meon. Meon menggeleng kepala tidak tahu. Memang dia tidak tahu siapakah dukun di kawasan perumahan itu. Maklumlah masing-masing sibuk dengan tugas harian, kadang-kadang jiran sebelah rumah pun tidak kenal. Inikan pula mahu tahu mengenai siapa menjadi dukun di situ. "Kita cari di Sungai Pusu..." seorang jiran memberitahu. "Boleh juga kita panggil dukun tu" kata saya berpaling pada jiran yang memberitahu itu. "Saya tak tau rumahnya" sahut dia serba salah. "Tetapi saya dengar dia duduk di Sungai Pusu. Kalau kena penyakit macam ni, selalunya orang panggil dia" jelas jiran itu lagi. "Kalau tak tau rumah macam mana nak cari malam-malam ni..." keluh Jamlus pula. Kata-kata Jamlus itu benar juga. Sekiranya hari siang boleh juga bertanya pada siapa-siapa yang melintas di situ. Tetapi bila hari malam masakan mahu mengetuk rumah orang mencari dukun tersebut.

"Ah, Sungai Pusu tu bukannya besar sangat" seorang lagi jiran mencelah. "Mari kita ke sana, kita carilah sampai dapat..." ujarnya mengajak Jamlus mencari dukun berkenaan di Sungai Pusu. Setelah Jamlus dan jiran itu pergi, keadaan Simah masih juga tidak berubah. Dia menggelepar ke kiri ke kanan sambil mengerang sakit kepala. Jiran-jiran yang datang menziarah tadi tidak keruan dengan keadaan tersebut. "Sebelum dukun tu sampai, ustazlah cuba-cuba dulu..." Meon menepuk bahu saya. Saya tahu Meon memang ikhlas meminta saya mendoakan supaya isterinya sembuh. Dalam masa setahun dia mengenali saya, memang dia sudah mengagak mestilah ada sebab mengapa saya berhajat sangat mahu menemui Ulung Bahar. Selalu juga dia bila terasa sakit gigi mengusik-ngusik suruh saya ubatkan. Tetapi tidak pernah saya penuhi permintaannya. Kalau dia mendesak juga saya suruh dia ke klinik gigi.

Bagaimanapun Meon tidak pernah berkecil hati kalau saya bersikap demikian. Pernah juga dia meminta saya doakan  supaya tidak basah terkena hujan, saya beritahu dia doa supaya tidak basah terkena hujan pakailah payung. Semua ini adalah usik mengusik saja. Dia hanya mahu berolok-olok dengan saya, seperti juga dia pernah berolok-olok dengan Ulung Bahar. Tetapi kali ini saya sedar Meon bukanlah berolok-olok. Dia meminta dengan ikhlas. Saya menjadi serba salah dengan permintaan Meon, di samping keadaan Simah yang semakin membimbangkan. Dalam ingatan saya sudah tergambar mungkin ada benda lain yang mengganggu menyebabkan Simah cepat diserang penyakitnya apabila saya berada di rumah itu.

Hingga pukul 12.00 malam dukun dari Sungai Pusu yang dijemput oleh Jamlus masih belum datang. Jamlus juga tidak nampak muka hidung. Memandangkan keadaan Simah menggelepar-gelepar menahan sakit di kepalanya, saya pun meminta izin dari Meon untuk memegang kepala Simah. Kira-kira dua minit saya memegang kepalanya, tiba-tiba Simah bingkas bangun lalu meludah saya. "Kau yang tukang kacau, laknat!" bentak Simah macam mahu menerkam ke arah saya. "Buat apa kau datang selalu ke sini, kau nak nikah dengan aku ke?" dia ketawa mengilai. "Kau harus sabar Meon..." bisik saya perlahan. "Yang bercakap ni bukan Simah lagi, yang lain bercakap ni" kata saya menerangkan pada Meon. "Saya tahu ustaz" jelas Meon merapati saya. "Buatlah macam mana pun, memang saya tahu, fasal saya selalu ikut Ulung Bahar" ujarnya. Simah terus berdiri dengan tangannya mahu mencengkam leher saya. Cepat-cepat Meon memegang pinggangnya membawa rebah semula ke katil.

"Meon, kau jangan jadi bodoh!" Simah meronta-ronta mahu melepaskan diri dari Meon. "Inilah jantannya yang menggoda aku. Dia nak nikah dengan aku, tapi aku tak mau. Aku sayangkan kau Meon" dia merintih-rintih bagaikan merayu. "Siapa hendakkan kau, aku pun tak mau" bentak Meon. "Kau tak mahu pada aku?" mata Simah terjengil memerhati Meon. "Aku tak mau..!" sahut Meon keras. "Sekarang ceraikan aku..." Simah juga bersuara keras. "Berambuslah kau" kata Meon. "Lepaskan aku...!" Simah meronta-ronta sekuat tenaga. "Lepaskan aku, biar aku berambus" dia membentak-bentak sambil menumbuk dada Meon. "Kalau kau nak berambus, berambuslah" jerkah Meon semakin kuat memaut pinggang Simah. "Tapi, tinggalkan Simah tau!" katanya memahami apa sebenarnya berlaku di sebalik keadaan Simah demikian. "Kau gila, aku ni bukankah Simah" dia tertawa mengejek. "Aku tau kau setan!" bentak Meon.

Dari cara Meon bercakap itu memang saya tahu dia juga menyedari akan penyakit isterinya. Tetapi selama ini dia sengaja merahsiakan dari pengetahuan saya. Dia bimbang kalau saya mengetahuinya, nanti akan menyusahkan saya pula. Memang Meon tahu akan gangguan syaitan tersebut. Tetapi apakah jenis gangguannya tidaklah diketahui. "Sekejap lagi dukun Sungai Pusu datang, kau rasa nanti!" Meon cuba mengugut. "Ah, bapak dukun Sungai Pusu aku tak takut" balas Simah termengah-mengah mahu melepaskan diri dari Meon. Beberapa orang jiran wanita juga turut sama membantu memegangkan kakinya. "Dukun Sungai Pusu tu takut pada aku, takkan dia berani datang...!" dia tertawa macam menyindir Meon. "Diam...!" herdik saya merenung muka Simah. Ketika ini saya tidak nampak Simah lagi meronta-ronta di atas katil. Saya berada jauh dari rumah Meon di Gombak di sebuah bukit dekat Air Tawar di Perak. "Diam, kata aku. Sekarang kau datang ke sini, supaya aku bakar kau dengan Ayatul Kursi...!" saya terus membaca Ayatul Kursi sebanyak 17 kali.

Selesai saja saya membaca Ayatul Kursi wajah Simah bertukar menjadi seorang perempuan tua kurus dengan rambut menggerbang putih. Perempuan tua itu mengilai ketawa mengejek-ngejek saya. Dia merenung saya bagaikan mahu menerkam, tetapi tidak dapat mara. "Jangan nak sembunyi lagi!" suara saya semakin keras. "Ah, merepeklah kau. Jangan cuba nak goda aku..." perempuan tua itu terkekeh-kekeh ketawa. "Aku ni bini Meon, buat apa kau goda. Mentang-mentang Meon mati pucuk, kau fikir aku mudah tergoda dengan kau" dia cuba menyakitkan hati Meon yang mendengarnya. "Kau fikir Meon bodoh" sahut saya sambil memerhatikan gerak gerinya yang mencari tipu helah. "Kau dah tua, Meon tengok pun tak ada nafsu" saya pula menyakitkan hatinya. Dia menjadi marah bila saya katakan dirinya sudah tua. Dia tetap mengaku dirinya Simah, walaupun saya sudah melihat akan rupa asalnya. "Jangan kau nak berdusta!" saya membaca Ayat Yassin dan menghembuskan ke arahnya. Angin kencang bertiup menyebabkan dia melayang-layang tidak jejak ke bumi. "Aku tau kau perempuan tua simpan pelesit, tubuh kau kurus, rambut menggerbang putih macam pontianak, siapa pun tengok tak naik nafsu" kata saya lagi.

Dia bertambah marah bila saya sudah mengetahui dirinya yang sebenar. Pada sangkaannya saya hanya melihat Simah terbaring meronta-ronta menggelepar di atas katil. Barulah disedarinya saya sudah melihat dirinya yang sebenar dari kawasan hutan terbiar di sebuah bukit di kampung Simah. Bila diketahuinya dirinya sudah dapat dikesan, dia terpaksa menentang habis-habisan. Perempuan tua itu mengeluarkan botol kecil dari ikatan pinggangnya, lalu mengeluarkan seekor belalang. "Anak aku ini akan mengajar kau...!" gerutunya lalu melepaskan belalang tersebut. Seekor belalang sebesar pohon kelapa menerpa ke arah saya. Cepat-cepat saya melompat ke atas belalang tersebut. Saya menyebut Allahu Akhbar tiga kali menyebabkan belalang itu kembali menjadi kecil dan jatuh ke dalam genggaman saya. Perlahan-lahan saya memulas kepala belalang itu dengan membacakan Ayatul Kursi 33 kali. Ketika ini perempuan tua itu terjerit-jerit memegang tengkuknya menahan kesakitan. Dia terkial-kial merebahkan badan ke bumi mahu melawan balik. Apabila saya pulaskan kepala belalang itu sampai putus, tubuh perempuan itu bertukar menjadi belalang lalu terbang berligar-ligar di kepala saya mahu menyerang.

Bagaimanapun dia tidak dapat menghampiri saya. Kemudian saya membaca lanarjumannakum dari Surah Yassin menyebabkan dia terpelanting ke tanah. Berpuluh-puluh panah api datang menerjah ke tubuhnya. Dia menggeliat menahan panahan api itu, tetapi masih bertahan tidak mahu mengalah. Apabila tidak tahan dengan panahan api, belalang berkenaan berkepul-kepul menjadi asap hitam lalu membentuk satu lembaga manusia. Lama kelamaan dia menjelma di depan saya. Dia lelaki tua bertubuh kurus memakai pakaian serba hitam. Mukanya cengkung berkedut-kedut macam kulit gajah. "Aku sayang pada Simah ni..." ujar lelaki bertubuh kurus itu. "Aku nak nikah dengan dia, kenapa awak tak bagi?" suaranya lemah bagaikan meminta belas kesihan. "Simah mahukah pada awak?" tanya saya. "Ada masa dia mau, ada masa tak mau..." beritahunya perlahan berketar-ketar. "Apa fasal dia tak mau?" saya mengujinya. "Dia kata saya mati pucuk..." ujarnya serba salah. "Simah dah nikah dengan Meon" jerkah saya memberi amaran. "Kenapa awak ganggu dia lagi?" tanya saya keras sambil mengejeknya. "Saya cintakan dia" jelasnya menangis tersedu-sedu. "Buruk sangat rupa awak orang tua menangis..." sindir saya.

Dalam masa saya berkata-kata dengan lelaki tua itu, tiba-tiba perempuan tua bertubuh kurus itu menjelma semula. Dia terlalu marah kerana lelaki itu cuba berbaik-baik dengan saya. "Dia inilah yang selalu kacau kita...!" kata perempuan tua menjelirkan lidah kepada saya. Saya mendiamkan diri. Saya mahu lihat sejauh mana tindakan seterusnya dari mereka berdua. Tetapi mereka berdua tidak menyerang saya. Cuma perempuan tua itu saja menyindir untuk menyakitkan hati, sementara lelaki tua itu seolah-olah dalam ketakutan. "Dia nak pisahkan kita!" ujar perempuan tua itu lagi. "Kalau dia datang dekat, aku rasa tubuh aku terbakar. Sebab itu kita mesti jauhkan dia dari berkawan dengan Meon. Aku tak tau apa ilmu yang dia pakai" perempuan tua itu menangis teresak-esak sambil menggeliat-geliat seperti menanggung bahang kepanasan. Lelaki itu tetap mendiamkan diri. Dia mengusap-ngusap rambut yang menggerbang putih. Sekali sekala saya nampak muka perempuan tua itu berubah menjadi Simah. Tetapi apabila saya hembuskan ayat Hazihi jahannamullati kuntum tu 'adun, wajah tersebut tidak jadi bertukar.

Dari situ dapatlah saya fahamkan bahawa memanglah sukar mahu mengubati Simah, kerana gangguan yang datang itu bukanlah datangnya dari luar. Gangguan ini datang dari keluarganya turun temurun yang pernah menyimpan pelesit. Apabila pelesit itu sudah tidak bertuan, maka dia mencari keturunan tuannya sebagai sumpahan untuk mencari naungan. Simah yang tidak tahu apa-apa tidaklah mahu menerima kedatangan pelesit yang berasal dari datuk nenek moyangnya dulu. Inilah yang selalu mengganggu dia kerana dirinya sudah terpisah jauh dari pelesit tersebut, sedangkan pelesit berkenaan cuba mendekatkan dirinya. Sebab itulah pelesit berkenaan menjadi seperti orang yang diganggang oleh api bila berdekatan dengan orang-orang yang mengamalkan membaca Suratul Kursi setiap hari. Mungkin Simah sendiri tidak tahu tentang asal usul datuk nenek moyangnya dulu ada memelihara pelesit.

"Jauhkan dia dari sini" rayu perempuan tua itu kepada lelaki tua yang berdiri di sampingnya. Lelaki tua itu menghentakkan kakinya ke tanah tiga kali. Kemudian beribu-ribu belalang menerpa ke arah saya. Sebaik saja belalang-belalang itu mahu menerpa saya hembuskan Fatihah, menyebabkan semuanya gugur ke bumi seperti dibakar api. Terasa saya seakan-akan lemas akibat bau hangit belalang terbakar. Merah padam muka lelaki tersebut melihat semua belalangnya habis terbakar. Semua belalang yang jatuh itu tengkuknya terpatah dan keluarlah seulas nasi dan sehelai rambut dari tengkuk terpatah itu. "Aku datang mencari anak cucu aku..." lelaki tua itu bersuara keras. "Tak patut awak putuskan hubungan kasih sayang kami" katanya kesal dengan sikap saya menghalang tindakan dia. "Simah tak perlukan awak lagi" sahut saya membentak. "Dia perlukan Meon, biar Meon yang jaga dia. Awak tak perlu jaga dia" ujar saya memarahinya.

Ketika saya menyahut kata-katanya dia menyimbahkan air ke atas bangkai-bangkai belalang tadi. Sekaligus bangkai-bangkai terbakar itu menjadi kepulan asap hitam yang berjurai-jurai seperti rambut. Juraian rambut menyerkup ke kepala saya menyebabkan pandangan saya gelap tidak kelihatan apa-apa lagi. Namun saya tetap bertenang menghadapi tekanan-tekanan seperti ini. Semua yang saya hadapi itu adalah tipu daya syaitan belaka. Beberapa ketika saya terperangkap dalam juraian rambut itu, hingga  hampir-hampir meliliti seluruh tubuh saya. Lalu saya bacakan Surah Waddhuha sepuluh kali. Tiba-tiba juraian rambut itu melayang ditiup angin. Lelaki tua itu semakin marah kerana rambut yang menyerungkup ke kepala saya tadi diterbangkan angin. Itulah pertama kali serangannya sampai ke tubuh saya. Memang kesilapan telah saya lakukan membiarkan dia menyerang sambil melayani dia bercakap.

Tok Aji pernah mengingatkan saya supaya tidak melayani syaitan apabila berhadapan dengannya. Kalau menentang syaitan mestilah digempur sampai mereka kalah. Sekiranya kita melayaninya, sudah tentulah kita termasuk ke dalam perangkap tipu dayanya untuk melalaikan kita. Setelah teringatkan Tok Aji, saya pun menguatkan zikir saya. Saya membaca beberapa ayat yang diajarkan oleh Tok Aji. Ketika ini seluruh kawasan itu bergoncang kuat seperti gempa disambut oleh petir serta kilat. Orang tua lelaki dan perempuan itu berlari-lari mahu menyelamatkan diri. Batu-batu dari atas bukit juga gugur melayang menerjah ke arahnya. Mereka berdua menjadi panik dengan gempa yang datang secara tiba-tiba. Saya tetap berdiri di tengah-tengah gempa itu memerhatikan mereka berdua berlari ke hujung ke pangkal mencari tempat selamat. Tetapi ke mana saja mereka berlindung petir dan kilat menyambar. Mereka terpelanting apabila disambar kilat dan petir bertalu-talu. Termengah-mengah mereka mencari tempat perlindungan. Akhirnya mereka lesap di dalam kepulan asap di tengah-tengah dentuman petir serta kilat menyambar. Setelah mereka berdua hilang saya memberhentikan bacaan. Lama saya menunggu di situ, namun dia tidak muncul-muncul lagi.

Saya rasa buat sementara itu dia tidak akan datang lagi mengganggu. Bagaimanapun mereka tetap akan berusaha untuk meneruskan cita-citanya untuk bernaung kepada Simah. Hal inilah yang mahu saya beritahu pada Meon, supaya dia sendiri mesti mempunyai persediaan menghadapi kemungkinan tersebut. Setelah yakin mereka tidak akan mengganggu lagi, saya meninggalkan kawasan hutan di pinggir bukit itu, dan kembali berdiri di dalam diri. Apabila saya membuka mata, saya dapati Simah sudah pulih semula. Tetapi keadaannya masih letih lagi. Rupanya ketika saya menghadapi suasana sengit tadi, Jamlus dan rakan yang pergi menjemput dukun ke Sungai Pusu sudah balik. Mereka berdua hampa kerana dukun berkenaan sudah pun dijemput oleh orang di Damansara. Sehingga hampir pukul 2.00 pagi mereka menunggu, dukun itu tidak juga balik. Akhirnya terpaksalah mereka mengambil keputusan balik semula ke rumah Meon.

Jamlus bertanyakan kepada saya siapakah yang melakukan gangguan itu. Saya hanya tersenyum dengan soalan demikian. Selalunya begitulah pertanyaan yang diterima apabila menghadapi masalah demikian. Sepatutnya mereka bersyukur kerana dapat menjauhkan diri dari gangguan syaitan. Siapa yang membuat gangguan itu tidak harus difikirkan lagi. Apabila saya tanyakan kepada Simah, sama ada terdapat di kalangan keluarganya di masa lalu yang menjadi dukun atau bomoh, Simah memberitahu ayah kepada moyangnya dulu memang dukun terkenal. Tetapi selepas peringkat moyangnya, dia tidak lagi mahu menjadi dukun hinggalah sampai kepada beberapa keturunan seterusnya. "Saya sedar apa yang berlaku ke atas diri saya" ujar Simah dalam keletihan. "Tetapi saya tak dapat nak mengawal diri, macam ada kuasa lain yang mengawal saya.." jelasnya bila mengingatkan peristiwa sebentar tadi.

Memang saya akui cerita Simah itu. Memang mereka yang menerima gangguan ini sedar apa yang sedang berlaku. Tetapi mereka tidak dapat mengawal dirinya sama ada bercakap atau bertindak. Kejadian demikian memang aneh, tetapi itulah hakikat yang sebenarnya. Apabila saya menerangkan kepada Simah mengenai belalang pelesit, dia teringat aruah neneknya pernah memberitahu tentang keluarganya dari keturunan dulu memang memelihara pelesit. Semasa Tok Bani meninggal dunia dia tidak sempat menurunkan pelesit peliharaannya itu kepada anak cucunya. Maka pelesitnya itu sentiasalah mencari anak cucu Tok Bani untuk tempat bernaung. Apabila pelesit itu tidak dapat bernaung maka anak cucu Tok Bani pun menjadi mangsa. Adik nenek Simah itu pernah menjadi lumpuh dengan tidak bersebab. Penyakit lumpuhnya itulah yang membawa maut kepadanya. Selepas dia meninggal dunia akibat lumpuh, seorang lagi keluarganya mati muntah-muntah darah seperti termakan racun. Hingga sampailah kepada bapa saudara Simah bernama Jana, dengan tidak semena-mena diserang penyakit lemah tenaga batin hingga menyebabkan dia menjadi tidak siuman. Ketika mengubat Jana inilah Dukun Busu mendapat tahu tentang Tok Bani menyimpan pelesit. Dukun Busu mencari punca-punca Jana hilang tenaga batin hingga menjadikan dia tidak siuman. Dia mendapati pelesit Tok Bani yang sudah tidak bertuan itu mencari perlindungan kepada Jana. Disebabkan Jana tidak tahu bagaimana mahu memeliharanya, maka pelesit itu telah memakan tuan sendiri.

Tidak siapa pun tahu Tok Bani memelihara pelesit. Malah isterinya sendiri Yong Saenah tidak tahu mengenai pelesit yang dipelihara oleh Tok Bani. Setelah berkahwin dengan Yong Saenah dia mendapat dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Selepas itu Tok Bani jatuh memanjat pokok menyebabkan dia patah pinggang. Akibat dari kecederaan itulah Tok Bani hilang tenaga kelelakiannya. Bermula dari situlah keretakan rumahtangganya bermula, bila Yong Saenah mula bermain gila dengan anak muda. Tok Bani tidak boleh berbuat apa-apa, kerana kononnya Yong Saenah telah menggunakan bomoh untuk menundukkan Tok Bani. Walaupun Tok Bani tahu isterinya bermain gila dengan pemuda lain, dia tetap membisu saja.

Satu hari telah berlaku pertengkaran di antara Tok Bani dengan isterinya Yong Saenah, berpunca dari perbuatan Yong Saenah yang bermain gila itu. "Kau dah tak ada jantan, buat apa nak cemburu" kata Yong Saenah menyindir. "Kau dah mati pucuk, takkan boleh nak pandang alu sengkalan aje sepanjang masa..." ujar Yong Saenah mencabarnya. Kata-kata Yong Saenah itu benar-benar menghiris perasaan Tok Bani. Bagi mengubat hatinya yang luka, Tok Bani selalu membawa diri bila terdengar ada anak muda datang menemui Yong Saenah. Perasaan marahnya tetap membara setiap kali terpandangkan wajah pemuda yang bermain gila dengan Yong Saenah. Ada juga hatinya mahu bertindak, tetapi terpaksa dipendamkannya saja bila teringatkan kata-kata Yong Saenah itu.

Satu malam, sebaik saja Tok Bani terlihat anak muda yang bermain gila dengan isterinya masuk ke bilik, dia pun keluar merayau-rayau ke dalam kampung dengan tidak ada tujuan. Ketika sampai berhampiran dengan kawasan tanah perkuburan dia terdengar bunyi budak menangis. Terasalah belas kesihan di hati Tok Bani mendengar tangisan bayi yang sangat menusuk kalbu. Dia pun mencari arah bunyi tangisan bayi itu hingga sampai ke kawasan tanah perkuburan. Semakin di hampirinya semakin kuat bunyi tangisan bayi tadi. Tok Bani memberanikan hatinya untuk melihat siapakah yang menangis itu. Sebaik saja sampai di tempat bunyi bayi menangis itu Tok Bani melihat satu bungkusan di dalam kain putih terselit pada perdu pokok mengkudu. Dia memegang bungkusan itu, terasa lembik saja. Apabila hendak dibukanya bunyi tangisan itu menjadi kuat dan menggerunkan.

"Aku hanya nak menolong kau..." satu suara halus menegurnya. Bila diselidiki oleh Tok Bani ternyata bungkusan kain putih itulah yang berkata-kata dengannya. "Siapa kau?" tanya Tok Bani keheranan. "Aku pelesit" sahut suara itu. "Kau nak tolong aku?" dia merasa gembira bila ada orang yang sanggup menolong dia. "Iya, aku akan menolong kau..." pelesit itu memberi jaminan. Pelesit itu sanggup memulihkan semula tenaga batinnya, dan menghapuskan siapa saja yang telah menodai Yong Saenah dengan menghilangkan tenaga batin orang itu pula. Malah dia juga berjanji akan menjaga harta benda Tok Bani dari diganggu oleh pencuri dan sebagainya. Mendengarkan janji pelesit itu Tok Bani tidak berfikir panjang terus menerima saja pertolongan tersebut.

"Tetapi dengan syarat, kita sama-sama berteguhan janji" tegas pelesit itu selanjutnya. Tok Bani menerima juga syarat berteguhan janji itu. "Syaratnya kau jangan buang aku, dan bila sampai masanya hendaklah kau serahkan aku pada waris kau untuk menjaga aku..." kata pelesit itu lagi. Tidak ada bantahan apa-apa dari Tok Bani. Dia menerima saja syarat tersebut, kerana pada fikirannya syarat itu bukanlah susah sangat. "Setiap kali bulan mengambang kau datanglah ke sini, dan siramkan aku dengan darah ayam" pelesit itu mengingatkan dia. Itu juga diterima dengan senang hati oleh Tok Bani. Setelah berteguhan janji Tok Bani pun membuka bungkusan tersebut. Dilihatnya seorang bayi belum bersifat sedang memegang botol kecil. Bayi itu menyuruhnya mengambil botol seperti botol susu itu, dan di dalamnya ada seekor belalang. Tok Bani pun mengambil botol itu dibawa balik ke rumah. Disimpannya baik-baik botol berisi belalang tersebut.

Sejak itu siapa saja lelaki tidak berani lagi menggoda Yong Saenah. Siapa saja berani main gila dengan Yong Saenah alamatnya kena lemah tenaga batin seumur hidup. Puaslah mereka berubat ke mana-mana pun tidak akan dapat disembuhkan. Sementara itu Yong Saenah pula selepas itu sentiasa mahukan Tok Bani mendampinginya. Akhirnya dia sendiri tidak mampu lagi mahu melayani Tok Bani. Terpaksa pula Yong Saenah meminangkan ramai anak-anak gadis untuk menjadi isteri Tok Bani. Apabila Tok Bani meninggal dunia, botol berisi belalang itu dibuang oleh anak cucunya ke sungai, kerana pada sangkaan mereka belalang permainan Tok Bani saja. Itulah cerita yang dapat diketahui oleh Dukun Busu, ketika dia mengubat penyakit Jana. Bagaimanapun Jana tidak dapat diselamatkan juga. Dia meninggal dunia setelah menderita sekian lama. "Macam itulah cerita dari aruah nenek saya dulu" beritahu Simah termengah-mengah keletihan. "Insya Allah..." kata saya perlahan dan merasa simpati dengan keadaan yang dialami oleh keluarga Simah itu. "Sementara kita bertemu Ulung Bahar, kita cuba buat lagi macam tadi. Moga-moga dia lari dari awak, sebab ianya bukan penyakit tapi benda permainan turun temurun" ujar saya menjelaskan kepadanya. Wallahu a'lam.

Monday, 25 November 2013

Misteri Minyak Burung But But

Assalamu alaikum wbt...
Pekabo semua? sihat ke? kalau sakit... pegi la berubat. bercakap pasal berubat ni teringat pula pada sejenis minyak urut tradisi melayu yang cukup popular di kalangan bomoh patah dan pesakitnya. iaitu MINYAK BURUNG BUT BUT.
        
Kredit kepada Cikgu Mohammad Nor (Atok)

         Dikatakan amat mujarab sebagai ikhtiar zahir (hakikatnya Allah yang menyembuhkan) untuk menyembuhkan kecederaan patah. Memang sejak dijadikan burung but but ni, Allah dah programkan pengetahuan dalam bentuk ilham kepada burung ni tentang ramuan ubat patah untuk kegunaan sendiri. sama juga tentang ilham membuat sarang kepada burung tempua dan lebah. Begitu juga tempat bertelur kepada penyu, ikan linang dan salmon. Nampak kompleks bukan? Tetapi di sisi Allah amat mudah. boleh semak ayat kursi dan ayat kedua terakhir surah al Kahfi.
        
         Ada dua jenis minyak patah yang dihasilkan oleh pengamal perubatan tradisional.
1) Tidak mengikut petua - kurang mujarab... tapi lebih beretika
2) Mengikut petua - mujarab tapi kurang etika

 Jenis yang pertama

Burung butbut ditangkap. kemudian disembelih. kemudian dimasak atau dilayur untuk mendapatkan minyak. minyak tu pula dicampuar dengan lain-lain ramuan herba tradisional. akhirnya terhasillah minyak burung butbut yang banyak dijual di pasaran sekarang. Boleh la kalau nak beli.

Jenis kedua

1. Cari sarang burung butbut.. cari yang ada anak kecil.
2. Patahkan kaki anak-anaknya.
3. Bila si ibu tahu anaknya cedera patah kaki... maka dia pun terbang mencari ramuan ubat-ubat patah untuk anaknya.
4. Si ibu akan merawat anak-anaknya hingga sembuh (memang telah terbukti hasil pemerhatian orang-orang tua termasuk bapa penulis)
5. Ubat ada dalam sarang. Tapi tak tau kat mana. Sama ada pada anak atau ibu atau mana-mana tempat dalam sarang. Jadi... pembuat minyak akan serkup semua sekali. disembelih anak-anak dan ibu kemudian dimasak dengan sarang-sarangnya sekali dalam satu kuali
Itulah dia minyak burung butbut dengan cara penyediaan yang sebenar. kena booking dengan bomoh patah. takde jual di kedai.

p/s : Artikel ini hanyalah sebagai perkongsian  maklumat sahaja. saya percaya.. tuan-tuan takkan tergamak buat seperti mana yang dinyatakan. kesian kt menatang woiii

Monday, 7 October 2013

Pencerahan Alam Jin



Banyak betul cerita hantu semasa hari raya.. hampir 40 tajuk!!. jadi ramai la bebudak yang jadi penakut tak tentu pasal. Belum kira lagi yang percaya apa yang dipaparkan.. nanti jatuh syirik. macam mana boleh syirik? Sebeb ada elemen khurafat. Khurafat tu apa? Khurafat ialah perkara yang bertentangan dengan nas-nas agama. Contoh, Islam kata orang perempuan mati bersalin dikira syahid. Kepercayaan lama kata orang perempuan mati bersalin akan jadi pontianak (pontianak= POmpuaN maTI beraNAK). Nak percaya yang mana satu? Jika anda percaya yang khurafat, anda seolah-olah  mengatakan Allah dan Rasul telah berdusta. Sebab itu khurafat membawa kepada SYIRIK.

Allah mencipta dua jenis makhluk untuk diberi tanggungjawab beribadat dan memikul hukum hakam seterusnya menerima janji balasan syurga dan neraka. Makhluk-makhluk itu ialah manusia dan jin. Jika ada yg mengatakan ada makhluk ketiga, mereka dusta. Contoh "alien". kalau anda percaya kepada kewujudan alien, anda juga telah mengizinkan diri anda untuk diperbodohkan oleh pihak-pihak  yang menciptanya. Sekiranya ada yang mendakwa pernah melihatnya, itu hanyalah pesona jin.

JIN ialah makhluk Allah yang dicipta daripada api. Itu je. Penciptaannya tidak sebaik manusia. Jadi, berbanggalah jadi manusia. Jangan pula jadi jin. Di kalangan jin... ada sekor yang paling derhaka. Namanya IBLIS (sumber yg mengatakn nama asalnya adalah Azazil tidak boleh dipertanggungjwbkan).

IBLIS pula ialah musuh nyata manusia. sama ada Islam atau kafir. Amat dengki  kepada manusia. Sejak dulu sampai sekarang 24 jam sehari berusaha menyesatkan org Islam dan menjauhkan orang kafir dari hidayah (kecuali Ramadhan-kena rantai) kecuali orang-orang yang dipelihara oleh Allah.

SYAITAN merupakan tentera iblis yang paling degil dan sombong. Tiada yang Islam. Mereka bijak. Sebab tu mereka hanya guna hasutan yang amat halus. sape pun tak sedor. Contoh, syaitan akan hasut anda main bola sampai terlepas solat maghrib. Yang suka gaduh dan cari pasal pun termasuk la dlm kategori dihasut syaitan.

Member rapat syaitan ialah IFRIT; jin yang menjadi sebahagian daripada tentera Iblis. tugasnya menyesatkan manusia. Sama macam syaitan. Tetapi golongan ini tidak secerdik syaitan. Oleh itu cara hasutannya agak kasar. Seperti menjelma dalam yang rupa menakutkan supaya orang takut pergi surau. merasuk dan sebagainya. Walau pun begitu, mereka tidak boleh melakukannya sewenang-wenangnya sebagaimana yang digambarkan dalam cerita seram.

Monday, 30 September 2013

Pantang-larang dalam budaya melayu

Ingat masa kita kecik-kecik dulu? Bila kena sergah dengan orang tua, “Jangan duduk atas bantal nanti tumbuh bisul!” kita pun tak jadi duduk atas bantal. Takut tumbuh bisul. Itulah dia sebahagian daripada pantang-larang orang-orang tua yang diwarisi turun temurun. Taatnya kita. Ikut je. Tak Tanya banyak dah. Tapi… lain pula dengan bebudak sekarang. Pandai deme tanya. Kita yang nak jawab pun pening kepala. Sebab, kita pun tak penah Tanya orang tua kita. Berani tanya? Sudahnya kita pun main kelentong juga. Pantang larang orang-orang melayu dapat dibahagikan kepada beberapa jenis:
 i ) Kesihatan – penjagaan badan, kelancaran darah dan ibu-ibu lepas bersalin. 
ii) Adab dan tatasusila – susun atur barang-barang rumah, perkahwinan dan yang berkaitan dengannya. 
iii) Amalan kebatinan dan saka – perdukunan dan kependekaran 
     Tidak dinafikan bahawa semua pantang-larang yang diwarisi oleh orang-orang melayu ada sebab musababnya. Cuma yang ada kena mengena dengan amalan kebatinan dan sumpahan turun temurun yang jarang diberitahu sebab kepada anak cucu. Ianya bertujuan untuk menjaga keturunan agar tidak terjebak dengan sumpahan turun temurun. Saya Cuma nak bercerita jenis ketiga sebab ia melibatkan akidah. Yang pertama dan kedua tuan-tuan dah tau kot? 
    Mungkin tuan-tuan pernah dengar pantang orang tak boleh tengok cermin, tak boleh pegang keranda, tak boleh pijak beting pasir tengah sungai, tak boleh lalu bawah penyidai dan sebagainya. Ada juga pantang larang yang berkaitan keluarga sahaja seperti keluarga dan keturunan si anu tak boleh makan ikan sekian-sekian, tak boleh biar anak pijak belakang, tak boleh makan buah daripada pokok yang bertopang dan banyak lagi. Semuanya ada kaitan dengan ilmu-ilmu kebatinan yang diamalkan. Bila amal ilmu-ilmu kebatinan pastinya ada jampi serapah. Bila ilmu dah masin barulah menjadi. Nak kekalkan ilmu tu mesti jaga pantang. Kalau langgar pantang…. habih la… tak menjadi ilmu tu. Orang kata dah tak masin ilmunya. Sebenarnya, itu semua pesona iblis. Pandai la bagi nama elok-elok kat ilmu-ilmu ni macam perisai besi (kebal), sapu angin (bergerak pantas), halimunan (ghaib), telapak besi (bisa tangan). Semuanya menggunakan bantuan jin. Bila guna bantuan jin, satu je namanya iaitu SIHIR. 
      Pengamal sihir melakukan amalan syirik. Dosa besar. Nak bagi Nampak lembut sikit, pandai laa orang-orang kita bagi nama elok-elok kat jin-jin yang terlibat. Nama-nama macam ni selalu meniti di bibir bomoh-bomoh. Contoh, sheikh serban kuning, tok kuning, tok selebor, rijalul ghaib, akuan, khadam dan banyak lagi. Ilmu sihir yang dipelajari akan menjadi bila ada peranan jin di situ. Jin akan datang membantu bila serapah yang dibaca sudah sampai ke tahap syirik atau murtad macam sihir ilmu kebal. Antara jampinya ialah, “selimut aku selimut Allah..baju aku baju Allah..”. Atau pun si pelaku sihir telah menyempurnakan syarat-syarat yang mengundang dosa besar seperti sembelih kambing hitam dengan niat agar diterima oleh jin (bukan kerana Allah), menyediakan kepala anak sulung yang lahir hari Selasa (membunuh), menoda sejumlah wanita (orang minyak), membongkar kubur (minyak dagu) dan banyak lagi. Lagi besar dosa … lagi ramai jin datang tolong. 
       Pantang larang yang dikenakan adalah perkara-perkara yang tidak disukai oleh jin tadi. Bila kita langgar pantang, jin pendamping akan meninggalkan kita. Ilmu pun tak menjadi. Kalau jin pendamping tu dari jenis bunian, anda masih bernasib baik. Dia blah gitu je sebab merajuk. Kalau jenis ifrit, siap la ngko. Memang dia akan bertindak balas sampai anak cucu. Pantang larang itu sememangnya perangkap yang sengaja dipasang supaya pengamal sihir akan terjebak. Selalunya yang agak mustahil diamalkan seperti tak boleh beli barang kedai cina, tak boleh berkahwin dan banyak lagi. 
     Jadi… bila anda menerima amalan beserta pantang larang, beringatlah. Barangkali ada saka yang mengikut. Tulisan ini bukan bermaksud mengajar anda tentang ilmu sihir. Tetapi ia lebih kepada peringatan agar tidak terjebak. Ia mengancam aqidah. Wallahu a’lam.

Tuesday, 3 September 2013

Misteri Kelapa Gading



Pernah tengok pokok macam dalam gambar ni? Pernah kan? Memang cantik jika ditanam di halaman rumah. Inilah dia pokok kelapa gading. Tapi tahukah anda bahawa orang tua melarang kita menanam pokok kelapa gading ni di halaman rumah. Kata mereka, jika ada sesiapa yang menanam pokok ni di atas tanah yang dibina rumah, lama kelamaan tanah itu akan jadi kampung tinggal. Maknanya kosong la tanpa penghuni. Kira padang jarak padang tekukur gitu.
            Orang-orang yang mengamalkan rawatan spiritual Islam  ada pandangan sendiri tentang pokok ini. Bagi mereka, pokok ini adalah kesukaan jin. Jin-jin yng lalu berhampiran akan tertarik kepada pokok ini dan mereka akan singgah bermain.
            Jadi, pandangan siapa yang benar? Jawapannya ialah… kedua-duanya benar belaka. Maksudnya memang benar pokok kelapa gading ini menjadi tempat bermain jin-jin. Bila jin mula tinggl berhampirn rumah kita, mereka tidak hanya tinggal dan bermain di situ. Ada aktiviti sampingan yang akan mereka buat. Selalunya dia akan hasut  penghuni rumah supay bergaduh. Sebab itu kalau kita perhatikan… ada anak-anak yang baik tiba-tiba suka bergaduh dengan adik beradik lain. Dulu tak pernah ungkit pasal tanah. Tiba-tiba je nak berkira. Dengan mak ayah pun bergaduh. Laki bini lagi laa. Paling buruk dia akan sebarkan penyakit. Kerana penyakit dan bergaduh ni… lama-lama… sorang, sorang membawa diri. Akhirnya kampung itu akhirnya tidak berpenghuni.
            Ada orang bertanya, “mana tau bende gini?” Ringkas je jawapannya. Sama juga macam jin yang membocorkan rahsia ayat al Kursi kepada Abu Hurairah. Dari mereka juga sumber ini. Dan diperturunkan turun temurun. Memang sudah menjadi kebiasaan merawat pesakit, kalau terkena rasukan, perawat akan cuba berdialog dengan jin yang mengganggu. Jika didapati jin yang mengganggu itu kafir, maka ajaklah dia memeluk Islam. Bila dah Islam, tanyalah apa-apa yang berkaitan dengan alam mereka. Tetapi perlu diingat… bahawa setiap yang berlaku  itu adalah tertakluk kepada qada dan qadar Allah