Showing posts with label Ibadah. Show all posts
Showing posts with label Ibadah. Show all posts

Sunday, 25 January 2015

BAHANA SKIM CEPAT KAYA MANIPULASI EMAS

Apa yang dah berlaku... pastinya dah berlaku. Tiada apa yang dapat dilakukan. 


Kepada teman-teman yang belum terkena atau nyaris-nyaris terkena... bersyukurlah. Kalian masih punya akal yang waras. Yang tak mudah tergoda dengan syoknye kaya cepat.


Kepada yang dah terkena...... sabarlah. Jangan dilayan perasaan tu. Bangkitlah kembali. Barangkali kalian akan lebih berjaya selepas ini.

Kepada yang sibuk nak baca yasin, jumpa bomoh dan sebagainya semata-mata nak minta agar pengelola dapat bala.... pikir dulu dosa pahalanya... kalian bukan mangsa. Tapi kalian sebenarnya kalah berperang. Kalah perang? Ya... kalah berperang. So, jangan nak salahkan sapa-sapa. Sebab Allah dah Isytihar Perang Terhadap Pemakan Riba

Surah Al-Baqarah ayat 279 "Maka jika kamu tidak melakukan (perintah tinggalkan riba itu)maka ketahuilah Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu ialah pokok asal harta kamu. Kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. 
Bagaimana skim ini terlibat riba? baca sini
Kalau kalian nak tahu sebab apa riba diharamkan? Sebab ianya mengandungi aspek-aspek penindasan. Sama ada disedari atau tidak. Kesannya amat dahsyat lagi mengerikan. Boleh tengok satu-satu di bawah ni.....











Wednesday, 15 October 2014

KUTU EMAS : ADAKAH RIBA?



Baru-baru ini teman menerima teguran daripada seorang teman yang menyangka teman ni terlibat dalam jual-beli emas secara tangguh menerusi program kutu. Maksudnya... teman terlibat la dengan riba al-nasiiah. iaitu penangguhan penyerahan salah satu saripada 2 jenis item ribawi. Pertama sekali saya ucapkan syukur ke hadrat ilahi kerana ada juga sahabat-sahabat yang prihatin yang tidak mahu melihat saudaranya berada di bibir jurang api neraka.
Cuma yang perlu teman jelaskan di sini ialah program yang dibuat hanya menggunapakai istilah kutu sekadar untuk memudahkan orang awam memahami konteks keseluruhan. Penjelasan lanjut dijelaskan di dalam group. Teman dedahkan di sini sebagai perkongsian kaedah jual beli yang diguna pakai :........

1. WADHIAH (jika ahli tidak mencukupi)
    - Ahli akan memberi wang sebagai amanah kepada teman sikit-sikit selama 2 atau 3 bulan (BUKAN    
       ambil deposit)
   - Wang itu bersifat wadhiah sepenuhnya mengikut syarat-syarat dalam mazhab Syafie
   - Teman tidak akan guna wang itu sebagai pendahuluan atau rolling pada perkara-perkara lain.
   - Cukup je duit... terus order.

2. AL-MURABAHAH (jika barang murah)
    - Teman beli dulu guna duit sendiri secara tunai.
    - Ahli akan beli daripada teman secara tunai ataupun pinjaman pihak ketiga.

3. PINJAMAN PIHAK KETIGA (macam kad kredit)
    - Ahli setuju untuk meminjamkan sejumlah wang kepada peserta bagi tujuan pembelian emas melalui wakil        syarikat.
    - Berlaku jual beli secara tunai.
    - Hutang atau pinjaman adalah dengan pihak ketiga.
    - Tidak berlaku situasi hutang dijanji hutang atau "aqridhni aqridhuka" atau "kalau ngko kasi pinjam sama          saya... nanti saya pinjamkan ngko duit". Sebab, semua peserta akan dapat emas pada bulan terakhir.
       Jadi, sape-sape pun boleh tinggalkan group bila-bila masa tanpa paksaan. cuma... kalau anda dah beri
       hutang kepada orang, anda berhak mendapat bayaran dan sebaliknya.
    - Tidak berlaku kutu yang salah di sisi undang-undang sebab peserta mendapat barang. bukannya wang  
       tunai.

Sekian.

Friday, 19 September 2014

Kepelbagaian Pandangan Ulama Tentang Jual Beli Emas; Adakah ianya khilaf?


Salah satu Riba yang melibatkan emas dan lain-lain barang ribawi ialah riba al-nasiiah dan al-yad. Iaitu penangguhan penyerahan salah satu item ribawi sama ada harga atau barang.
Berlaku khilaf di kalangan ulama fiqh. Sama ada di kalangan ulama silam atau sesama ulama kontemporari.

Pandangan Pertama
Mengharamkan secara mutlak sebagaimana yang tercatat dalam sirah. Gabenor Syam iaitu Muawiyah bin Abi Sufyan mengecualikan emas perhiasan daripada kategori barang ribawi. Bila Khalifah Umar bin Al-Khattab mengetahuinya... baginda meminta fatwa itu ditarik balik. Pandangan pihak yang menerima fatwa ini ialah emas adalah barang ribawi. Tak kira dalam apa bentuk sekali pun. Ini adalah pandangan khalifah Umar yang memang punya authority untuk mengeluarkan fatwa dan hukum. Pandangannya juga tidak dibantah oleh para sahabat nabi yang lain. Malah mereka mempertahankannya. Maka berlakulah ijmak sahabi.

Pandangan Kedua
Pandangan yang diguna pakai dan menjadi fatwa rasmi kerajaan Malaysia ialah .... hanya emas jongkong dan dinar yang mempunyai 'ilah ribawi kerana fungsinya sebagai matawang. Manakala barang-barang kemas terkeluar daripada 'ilah ini. di bawah tajuk perimeter syariah pelaburan emas. Baca di sini.

Asas kepada pandangan ini ialah pandangan Garbenor (Khalifah kemudiannya) Muawiyah yang memang lebih arif tentang selok-belok perniagaan. Dan juga pandangan Ibnu Taimiyyah dan muridnya Ibnu Al-Qayyim. Walaupun ada yang tidak bersetuju dengan perjalanan hidup Ibnu Taimiyyah, namun yang dilihat ialah kaedah beliau meng’istinbat’ hukum. Barang kemas dikira sebagai barang siap… komoditi yang diperdagangkan sama seperti kereta … motosikal dan sebagainya.

Begitu juga pandangan Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi. Menurut beliau… emas perhiasan terkeluar daripada item ribawi. Bukanlah kerana tiada riba padanya. Tapi kerana faktor ‘umum al-balw’ (maksiat yang sukar dihindar).

Pandangan pihak yang menerima fatwa ini ialah riba boleh berlaku jika melibatkan jual beli emas jongkong atau dinar sebab fungsinya sebagai  maawang. Sekiranya hanya melibatkan barang kemas... tidak berlaku riba.


Pandangan Ketiga
Riba hanya berlaku jika ianya melibatkan pertukaran emas dengan emas. Jika emas dengan kertas (wang fiat) tidak berlaku riba sebab kertas bukan barang ribawi. Golongan ini menerima wang fiat sebagai  'ilah laku ditukar dengan barangan je. Yang lain takde. Kalau dulu memang ya.... duit mewakili emas yang disimpan sebagai rizab. Tetapi selepas tahun 1971, wang kertas dipisahkan terus daripada emas. Ia diapungkan mengikut pasaran. Nilai yang ada padanya adalah nilai yang dipaksakan. Bukan nilai intrinsik. Kalau koyak atau hangus langsung tak laku. Duit Bhat atau Rupiah.... boleh ke buat beli emas di sini? Memang tak boleh. Wang Fiat setaraf dengan duit kulit siput pada masa dahulu. Penjelasan lanjut di sini.
Pihak yang berpegang dengan pandangan ini tidak menerima wang kertas sebagai item ribawi atau matawang yang dikiaskan kepada emas.

Setelah diteliti…. Hanya sedikit ulama yang berpandangan begini. Itupun atas kapasiti peribadi. Bukan atas pertubuhan yang bersifat akademik atau yang diberi authority mengeluarkan hukum.

Adab bila berlaku khilaf ialah kita berlapang dada dan cuba mencari pandangan dan hujah yang menghampiri sunnah.


Dengan rendah diri... penulis menghormati pandangan semua hujah-hujah di atas. Bukan calang-calang orang yang mengeluarkan pandangan tu. Namun, pandangan yang dipegang adalah sebagaimana yang ditetapkan oleh JAKIM. Tanpa mengurangkan penghormatan kepada tokoh-tokoh yang mempunyai pandangan berbeza. Sekian.

Thursday, 18 September 2014

Jualan Emas Secara Tangguh; Berlaku Riba Atau Tidak

Gambar hiasan


Emas adalah salah satu daripada 6 jenis barang ribawi. Nak tau lagi 5 sila google. Silap langkah boleh terjebak dgn riba al-buyu' (riba jual beli). selalu dengar riba al-duyun (riba hutang; hutang singgit, bayor singgit setengah). Riba al-buyu' ada 3 jenis ... 
1. Al-Fadl 

Boleh berlaku jika emas ditukar dengan emas. Salah satunya dilebihkan. Contoh; tukar 10g emas 999 dgn 11g emas 916. 


2. Al-Nasiiah
Berlaku jika
 emas ditukar dengan emas. Salah satunya ditangguhkan penyerahan. Contoh; 10g emas lama ditukar dengan 10g emas baru. Serah emas lama hari ini... esok baru ambil emas baru.

3. Riba Al-Yad
Berlaku bila 2 item ribawi yang tak sama jenis tapi sama kategori (matawang) ditukar/jual-beli. Salah satunya ditangguh penyerahannya. Contoh; tukar perak dengan emas. Bagi perak dulu. Emas ambil kemudian.

kalau beli guna duit kertas? Jadi riba ke? Memang jadi sebab duit kertas menerima hukum sama seperti emas dan perak. walaupun duit kertas lahir dengan riba.... namun penggunaannya amat meluas hingga ke tahap dharuri. Hingga sukar dihindar di samping tiada alternatif lain. Guna le dulu. Inilah dia keputusan Majlis Fiqh Sedunia termasuk mufti negara-negara Islam. .... pastikan hukum... baru buat. Bukan buat dulu pastu baru cari hukum. Terkial-kial selak kitab cari furu' yg membenarkan. Akhirnya terjumpalah bab khilaf. Khilaf pula bukannlah pada zat emas yang diperdagangkan sebab hukumnya dah jelas. Tapi khilaf pada status wang kertas. Kena tengok dulu ulama mana yang khilaf? Pihak mana yang menjadi jumhur (majoriti). Sape pula minoritinya? Adakah rujukannya authentic?

Teman tak mau jelaskan tentang selok belok disiplin keluar fatwa dan istinbat hukum, ilmu-ilmu alat untuk keluarkan hukum. juga istilah-istilah seperti masalih al-marsalah, al-istihsan dan sebagainya. Yang tu tuan-tuan kena bertalaqqi dengan alim ulama. FB bukan sumber ilmu... hanya maklumat. 

Pak Di (penasihat pelaburan) pernah mencabar pihak yang tidak menerima wang kertas sebagai matawang agar membakar wang kertas RM100 dan sekeping kertas A4. Boleh ke? Gamak ke bakor duit? Ater…. Udah dikatenye kertas je.

Untuk perbandingan mudah... teman nukilkan kembali beberapa perenggan daripada buku "RIBA dan isu kewangan semasa" tulisan Dr Zaharuddin bin Abd Rahman...

Kepada sesape yang masih mengatakan wang fiat bukan matawang sbb takde nilai kecuali nilai yang dipaksakan.... ingin saya kongsi 2 kisah yang berlaku ke atas 2 insan tersohor….

1. Saidina Umar. 
Suatu masa beliau ingin menjadikan kulit kerbau/lembu sebagai item pertukaran selain dinar dan dirham. Tapi dibatalkan niat beliau sebab takut rakyat yg meminjam kerbau/lembu akan terpalit dengan dosa riba. bermakna baginda mengiktiraf kulit yang dijadikan alat tukaran sebagai mata wang dan menerima hukum sama seperti emas dan perak.
Al-Jami’ fi usul al-riba Dr. Rafiq al-Masri

2. Imam Malik pernah berkata, “jika seluruh masyarakat menerima kulit sbg alat tukaran jual beli, nescaya aku akn halang mrk membeli emas dan perak menggunakan kulit secara tangguh".
Al-Mudawwanah


Justeru… wang kertas fiat adalah matawang yang menjadi item ribawi bersama emas dan perak. Urusniaga antara wang fiat dan emas melibatkan 2 jenis item ribawi yg berlainan jenis tapi sama kategori (matawang). Penangguhan penyerahan salah satunya adalah riba al-Yad. 

Jgn berperang dgn Allah dan Rasul-Nya

Saturday, 6 September 2014

Bagaimana Menambah Aset Anda Dengan Permainan KUTU Dinar Emas Syifa?

Pernahkah tuan-tuan main kutu? Hah.. kutu? Yee! kutu. Tapi bukan kutu yang dok atas kepala tu. Yang tu kutu lain. Orang Kedah cakap main KUT. Kat tempat teman deme sebut.. main "kutu". Alaa.. yang tiap-tiap bulan kumpul duit sorang sikit. Ada la sorang jadi tokey merangkap pengurus. Memang la sorang sikit. Tapi kalau yang main tu sepuluh orang. Bayor pulak sorang seratus ringgit. Bukan ke seribu jumlahnya? Mudah cakap ... pakat-pakat bagi hutang kat kawan dengan cara terhormat. Atau main-main simpan duit. Tak terasa sangat. Tapi akhirnya......
dapat le merasa duit banyak sekaligus.

Selalunya apa yang tuan-tuan buat dengan duit kutu tu? Buat belanja la... beli pakaian dan bermewah-mewah la sikit. Kalau nak simpan memang susah. Sebab duit di tangan. Mengapa tak guna duit tu untuk tambah aset? Beli tanah ke? Beli tanah memang tak mungkin. Gelak dek orang je kalau beli tanah guna duit kutu. Cukup ke? Jadi... mengapa tidak digunakan untuk membeli emas? Emas pun aset juga. Paling bagus... ianya aset mampu milik yang boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja. Amat berguna di kemudian hari kepada sape2 yang ada matlamat menyimpan emas.

Memperkenalkan cara memiliki emas sendiri dengan kaedah "KUTU EMAS DINAR". Tak susah. Cari je beberapa orang rakan yang dipercayai. 3 orang atau 5 atau 10 dan tetapkan tempoh bayaran. Sama ada 3 bulan, 5 bulan dan sebagainya. Sebagai contoh.... ikut step di bawah:

1. Jumlah pemain : 5 orang
2. Bilangan bulan : 5 bulan
3. Jumlah bayaran : dikira tiap-tiap bulan bergantung harga dinar semasa

a. Bulan pertama  : Harga dinar RM630. RM630 ÷ 5 orang = sorang kena bayar RM126 sahaja. Orang                                    pertama dapat dinar.

b. Bulan kedua     : Katakanlah harga dinar jatuh RM600. Jadi RM600 ÷ 5 orang = sorang kena bayar             RM120 sahaja. Orang kedua pula mendapat dinarnya.

Proses ini berterusan sehingga semua orang mendapat dinar masing-masing. Ulang lagi jika ingin menambah lagi aset tuan-tuan.

Apa hukumnya beli emas cara ni?

Emas adalah barang ribawi. Jadi... penyerahan emas mesti berlaku secara tunai dan tidak bertangguh. Nanti jadi riba nasi ah. Ianya tidak berlaku dalam urus niaga kita. Sebab yang terlibat adalah 3 pihak.

1. Anda
2. Penjual emas
3. Rakan-rakan sepermainan kutu

Anda beli emas daripada penjual emas secara tunai. Anda hanya berhutang dengan rakan-rakan dan bukan dengan penjual emas.

Wang yang diguna sebagai bayaran pada mulanya ia bersifat wadhi'ah (simpanan/titipan) dalam tangan penjual. Bila emas atau dinar sampai ke tangan pembeli.... barulah statusnya bertukar kepada bayaran. Akad jual beli berlaku ketika inilah.

Nak dinar? Hubungi 017-4661562


Friday, 5 September 2014

Mas Kahwin atau Mahar ; Lambang Kasih Sayang


Assalamualaikum wbt… Sedang mencari-cari kelainan di hari bahagia anda? Apakah mas kahwin atau mahar yang sesuai? Yang melambangkan cinta abadi anda? Mahu saya cadangkan yang terbaik? Ya… Dinar Syifa jawapannya. Dinar Emas Syifa keluaran GSR dengan ketulenan emas 917 pasti mengujakan. Sangat sesuai kepada pasangan bahagia yang bakal mendirikan rumahtangga untuk memilihnya sebagai mas kahwin. Pasti esklusif. Direka khas oleh GSR supaya menepati ciri-ciri pemberian atau hadiah kasih sayang sepanjang hayat.


Bukan sahaja esklusif, malah ia juga pilihan tepat dan terbaik bagi menggantikan duit kertas.

Mas kahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

" Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu mas kahwin mereka ". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 4 ) 


Ia juga boleh dianggap sebagai hadiah kepada isteri yang kini bakal menjadi pasangannya. Sekiranya wang hantaran telah diserahkan kepada pihak isteri, maka terpulang kepada isteri untuk membelanjakannya.


Foto; kredit kepada shahdinar.com


Pemberian mas kahwin atau mahar adalah lambang kesungguhan suami terhadap isteri. Selain itu ianya mencerminkan kasih sayang dan kesediaan suami hidup bersama isteri serta sanggup berkorban demi kesejahteraan rumah tangga dan keluarga. Ia juga merupakan penghormatan seorang suami terhadap isteri.
Dinar Emas Syifa…. Semakin lama disimpan.. semakin tinggi nilainya.

Saturday, 23 August 2014

The Power Of Giving; The More You Give... The More You Get






Kisah ni sebenarnya dah lama berlalu. Tersimpan kemas dalam lipatan memoriku. Rasanya dah tiba masa untuk diceritakan. bukan untuk riak... jauh sekali menunjuk-nunjuk. Hanya sebagai perkongsian untuk hati-hati yang ikhlas di luar sana. Semoga kita akan terus berlumba-lumba melakukan kebaikan sementara hayat masih dikandung badan. Ketahuilah... di antara sifat pemurah dan kedekut itu ada satu benteng yang cukup tebal yang dijana oleh syaitan dan nafsu. Sifat sayang harta, memilih penerima, takut miskin dan banyak lagi adalah pesona iblis dan syaitan. Hanya orang-orang yang berjaya melepasi benteng itu sahaja yang boleh merasa manisnya sedekah atau infaq.
 
Kisah 1
         Sekitar tahun 2006... aku tinggal di gombak bersama rakan-rakan sekuliah. Cuti belajar separuh gaji. Memang separuh pun. Tinggal RM700 je. Satu hari, aku ke KL. Masa balik naik bas Metro. tak ramai orang dalamnya. tetiba bas berhenti. Naik sorang budak. rasanya belasan tahun. duduk kat seat depan aku.Konduktor bas menghampirinya. Selamba je dia pusing belakang mintak duit kat aku. "Bang, mintak singgit... nak buat tambang. Saya takde duit". Aik? Aku tak cakap banyak. terus hulur singgit kat budak tu. Lepas dia bayar tambang, aku panggil dia duduk sebelah aku. dia akur (rupa-rupanya manusia ni kalau diberi duit akan dengar cakap orang yang beri duit). Tanya sikit sebanyak. Dia cakap dia ponteng sekolah sebab nak tolong mak berniaga. Aku pun ceramahlah kat dia.

       Sampai je di rumah sewa di Gombak, aku nampak ada sampul duit raya atas meja. selak-selak ada rm20 dalam tu. Member cakap persatuan (BEDSA) yang bagi. Hadiah dapat baby. Baby? baby aku masa tu dah setahun dah.

Kisah 2
         Jiran saya orang susah. Drebar lori tokey punye. Termasuk dalam kategori asnaf. Isteri lama dah tak kerje. Tak lama dulu isteri dia dapat duit kwsp.Tak le banyak.. keje kilang. Tapi rm13 000 dia beli tanah. Selebihnya dia WAQAF untuk beli sistem speaker mesjid. Complete set. Dia sendiri pasang. 
Nak jd citer... pastu dia mohon rumah zakat. Lulus dalam masa 2 bulan je. Dapat le rumah FREE. Puluh ribu jugak. Nampak macam pejabat zakat bagi. Hakikatnya.... tu semua HADIAH daripada Allah. Allahu akbar.


Kisah 3
         Dalam tahun 2007. Aku menjalani latihan amali selama 3 bulan di Taiping. Masih lagi gaji separuh. Suatu hari di bulan Ramadhan. Beberapa hari sebelum tamat amali. Ada orang buat jualan amal depan masjid. Jual beras untuk disedekahkan kepada ibu-ibu tunggal. Aku tak bawa duit. Lalu aku cakap kat abang tu, "Saya tak bawa duit. Boleh tunggu tak?". Dia kata boleh. Aku pun balik dan ambik sikit duit yang berbaki di rumah. Terus kembali ke masjid. Beli 2 kampit beras yang berharga RM25 dan disedekah kembali kepada ibu-ibu tunggal.
         Esoknya, waktu tengahari sebelum balik, bos panggil. Dipendekkan cerita dia hulur envelope kat aku. Kata dia, "Pihak Lembaga Pengelola telah bersetuju sebulat suara untuk memberi sedikit imbuhan kepada enta sebagai tanda terima kasih atas susah payah berulang alik ke sini dari rumah."
         Sampai rumah terus bukak envelope. Ada RM400!!!.... Alhamdulillah.

Kisah 4
         Kerana kebodohan dan ketidakprihatinan j/kuasa surau di ******g. Aku dapat dosa free hari tu. Mana taknya... sedang solat zohor di hari yang panas terik.. tetiba jaga surau datang tutup suis kipas betul-betul depan aku. Semua kipas dan kunci pintu. Aduss... lepas solat memang kena kaw-kaw punya orang tu.."awak tak nak panjang-panjangkan pahala orang-orang yang berwaqaf di sini ke?!" dan lain-lain.... terus dia nangis meraung-raung. Rupanya orang tak sempurna akal. Mengapa jawatankuasa surau yang sempurna akal tak nak pikul tanggungjawab dan amanah ni? Sekurang-kurangnyanya bagi kat orang pencen.. mengapa dipergunakan orang-orang mcm ni? Kesian dia... bukan tempat dia. Hormatilah dia. Aku mintak maaf dan bagi RM10 sebagai sumbangan untuknya... lama lepas tu... masih terdengar lagi sedu sedannya. Wahai Allah... ampuni daku.. kalian semua.. nilai dulu sebelum bertindak.
         Aku bagi RM10. Pastu balik semula ke tempat kenduri. Belum sempat masuk bawah khemah.... nombor cabutan bertuah aku naik. Dapat hamper. ... lebih RM20 tu...
          The Power Of Giving

Thursday, 23 January 2014

Bai’ al-mu’atah( بيع المعاطاة ) ; Jual Beli Tanpa Akad

Pengenalan
Lafaz akad berasal daripada lafaz arab [1]al-‘aqd yang bererti perikatan, perjanjian dan permuafakatan (al-ittifaq). Dari sudut istilah fiqh, akad didefinisikan dengan pertalian ijab dan qabul yang sesuai dengan kehendak syariat. Manakala akad dalam urusan jual beli pula adalah  ikatan  kata antara si penjual dengan si pembeli. Umpamanya: Aku jual barangku kepadamu dengan harga sekian, kata si penjual. Aku beli barangmu dengan harga sekian, sahut si pembeli. Perkataan penjual dinamakan ijab dan perkataan pembeli dinamakan kabul.
            Jual beli belum dapat dikatakan sah, sebelum ijab kabul dilakukan. Sebab ijab kabul itu menunjukkan rela atau sukanya kedua belah pihak. Pada dasrnya ijab kabul itu harus dilakukan dengan lisan. Tetapi, kalau tidak mungkin kerana bisu atau jauh barang yang dibeli dan penjualnya jauh pula, maka bolehlah dengan perantaraan surat menyurat yang mengandungi erti ijab kabul itu. Sabda Rasulullah s.a.w:
عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: لا يفترقنَّ اثنان إلا عن تراض.
Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi s.a.w Baginda bersabda, “Belum lah boleh dua orang yang berjual beli berpisahan sebelum mereka redha meredhai”.
(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Dalil daripada Al-Quran pula ialah firman Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 28:
 
Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumNya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.


Kerelaan itu sebenarnya tidak dapat dilihat, sebab berhubungan dengan hati. Oleh sebab itu, wajiblah dihubungkan dengan sebab zahir yang menunjukkan keredhaan itu, iaitu sighah (ijab qabul).

Pandangan ulama berkenaan ijab qabul
Menurut fatwa ulama Syafiiyah, wajib melafazkan ijab dan qabul pada jual beli yang kecil-kecil. [2]Tetapi Al-Nawawi dan kebanyakan ulama mutaakhirin daripada kalangan ulama Syafiiyah mereka berpendirian boleh jika tidak dilafazkan akad pada barang yang tidak begitu tinggi harganya seperti gula-gula, tepung sekampit dan sebagainya.


Nama-nama lain bagi a’kad jenis ini
Terdapat dua istilah yang biasa digunakan oleh ulama bagi merujuk kepada  jual beli tanpa akad iaitu:
i.        [3]Bai’ al-mu’atah( بيع المعاطاة )
Pembelian dengan cara saling beri memberi. Penjual memberi barang manakala pembeli memberi wang. Secara ‘urufnya semua orang mengerti bahawa kewujudan perasaan saling meredhai antara kedua pihak di dalam majlis.
ii.      Bai’ al-Murawadhah ( بيع المراوضة )
Pembelian dengan cara redha meredhai. Tidak perlu aqad. Penjual memang redha kepada pembeli dan begitu juga sebaliknya.

iii.    Al-Ta’aati (unjuk mengunjuk)
Perbuatan saling unjuk mengunjuk dikira saling meredhai. Penjual menghulur barang dalam masa yang sama pembeli menghulur wang. Perbuatan mereka dikira meredhai antara satu sama lain.

Ada masanya kadang-kadang kontrak tidak dilakukan dengan perkataan atau lafaz, tetapi dengan perbuatan dua pihak yang beraqad. Ini dinamakan oleh fiqh dengan mu’atah atau ta’ati atau murawadah., iaitu aqad dengan cara perbuatan tukar-menukar yang menunjukkan persetujuan atau kerelaan dua pihak tanpa mengeluarkan lafaz ijab dan qabul. Dalam kes jual beli, jika seseorang mendapati ada tanda harga di atas sesuatu barang seperti jam atau pun barang perhiasan, lalu ia membayar harga kepada penjual dan ia mengambil jam atau perhiasan itu tanpa ijab dan qabul, maka jual beli itu sah kerana perbuatan itu menyatakan persetujuan atau kerelaan pada pandangan [4]‘uruf atau adat manusia. Demikian juga aqad menjadi sah jika pembeli hanya membayar wang pendahuluan sebab ia merupakan sebahagian daripada harga.
Dalam kes sewa, jika seseorang menaiki kereta lalu dibayar harga tiket kepada tukang tiket tanpa berkata apa-apa, maka pada ‘uruf sah sewaan itu.
Sebagaimana kebiasaan adat kita di Malaysia, trankasi jual beli berlaku tanpa menyebut ijab qabul yang dinamakan oleh syara’ sebagai bai’ al-mu’atah. Rata-rata masyarakat terutama di bandar-bandar besar ataupun yang terdedah dengan urusan jual beli dengan orang bukan Islam amat jarang menyebut ijab qabul. Soalnya adakah jual beli sebegini sah di sisi syara’. Kadang-kadang ianya menimbulkan polimik di kalangan masyarakat disebabkan tahap pendidikan yang berbeza melibatkan golongan yang jahil berkenaan ilmu muamalat, belajar muamalat tetapi tidak meluas pandangannya (sempit) dan golongan yang mempunyai ilmu dan kepakaran. Adakah setiap urusan jual beli memerlukan ijab qabul walaupun membeli sebatang pen? Bagaimana pula jika kanak-kanak yang belum mengerti apa-apa membeli gula-gula? Tidak dinafikan jual beli tanpa akad sebegini berlaku di mana-mana sahaja di dalam semua peringkat masyarakat Malaysia.

Pendapat ulama mengenai transaksi ini

Ada tiga pandangan ulama berkenaan transaksi tanpa ijab dan qabul.
1.      Tidak harus dan tidak sah jual beli
2.      Harus pada sebahagian transaksi dan tidak harus pada sebahagian yang lain.
3.      Harus secara mutlak

1. Tidak harus dan tidak sah jual beli
Pandangan ini dikemukakan oleh Al-Imam Al-Syafie dan Al-Imam Al-Zahiri termasuk juga Syiah. Menurut mereka, bai’ mua’tah ini tidak sah kerana dalilnya tidak kuat untuk menyatakan aqad. Sebab kerelaan adalah suatu perkara yang tersembunyi. Tidak ada dalil yang dapat menyatakan demikian kecuali dengan lafaz. Lafaz ijab qabul merupakan dalil zahir yang  menunjukkan redha kedua-dua pihak atas urusan jual beli. Redha meredhai adalah urusan hati. Tanpa lafaz bagaimana hendak menunjukan redha jualbeli?Adapun dengan perbuatan sahaja ia boleh jadi bermakna lain yang tidak menyatakan kehendak aqad. Oleh itu aqad tidak sah dengan perbuatan atau unjuk mengunjuk itu. Apa yang mesti dan menjadi syarat ialah sesuatu aqad hendaklah dibuat dengan lafaz yang terang atau lafaz kinayah (tidak terang) ataupun dalam kes-kes tertentu dengan menggunakan isyarat yang dapat difahami ataupun dengan tulisan. Dalilnya ialah sabda Rasulullah
إنما البيع عن تراض
Sesungguhnya jual beli adalah (didasarkan atas) kerelaan”.


2. Harus pada sebahagian transaksi dan tidak harus pada sebahagian yang lain
Pendapat kedua adalah pertengahan. Pendapat ini dipegang oleh sebahagian Ulama Syafi’e dan sebahagian mazhab Hanafi. Oleh kerana pendapat mazhab yang sebelumnya keras, menentukan bentuk kontrak yang khusus dan tidak menerima prinsip tolak ansur dan mudah maka sebahagian daripada golongan ulama’ Syafie termasuk [5]Al-Nawawi, Al-Baghawi dan Al-Mutawalli, mengatakan sah jual beli dengan cara unjuk mengunjuk pada semua barang yang disediakan untuk jualan. Oleh kerana tidak sabit adanya syarat bahawa aqad mesti dibuat dengan lafaz sahaja maka boleh dirujuk kepada ‘uruf atau adat seperti lafaz mutlak yang lain.
Sebahagian  ulama’ Syafie seperti Ibnu Suraij dan Al-Ruyani mengkhususkan keharusan jual beli secara unjuk-mengunjuk kepada barang-barang yang kurang berharga iaitu sesuatu yang berlaku kebiasaan unjuk-mengunjuk padanya. Pendapat ini menegaskan Bai’ Mua’tah ini berlaku pada barang yang tidak mahal. Manakala pada barang yang mahal perlu kepada lafaz ijab qabul. Sebagai contoh kita perlu kepada Ijab qabul dalam jualan beli kenderaan, rumah ataupun barang-barang yang mahal.Tetapi pada barang-barang yang murah seperti pen, gula-gula tidak memerlukan  lafaz ijab qabul kerana benda yang biasa pada pandangan masyarakat.




3. Harus secara mutlak
Pendapat terakhir ialah pendapat jumhur fuqaha’ Hanafi, Maliki, Hanbali. Mereka berpendapat transaksi Mu’atah  ini harus sama ada pada barang yang mahal ataupun murah. Bagi Al-Imam Abu Hanifah dan Al-Imam Ahmad (pandangan terkemudian) serta ulama’-ulama’ di kalangan mereka, mereka mengatakan aqad yang berlaku secara unjuk mengunjuk adalah sah dalam perkara yang telah menjadi kebiasaan atau adat orang ramai. Tidak kira sama ada barang itu kurang nilai aeperti telur atau surat khabar atau roti ataupun barang yang berharga tinggi seperti rumah, tanah dan kereta. Sebab kebiasaan dan adat manusia adalah menjadi bukti atau dalil yang jelas adanya persetujuan atau kerelaan. Ini tidak kira sama ada pertukaran perbuatan itu berlaku daripada dua belah pihak atau daripada sebelah pihak dan satu pihak lagi menggunakan lafaz. Pendapat ini adalah pendapat yang asah yang difatwakan. Juga tidak kira dalam masalah jual beli, sewa, pinjam, hibah ataupun raj’ah. Walau bagaimanapun, syarat yang mesti dipenuhi ialah harga barang itu adalah diketahui dengan jelas. Jika harga tidak diketahui dengan jelas, aqad itu dikira fasid. Syarat lain, pihak yang beraqad janganlah menyatakan yang dia tidak bersetuju dengan aqad itu.
Al-Imam Malik dan asal pandangan Al-Imam Ahmad serta pendokong mazhab mereka menyatakan bahawa aqad secara perbuatan atau mua’tah adalah sah jika terdapat dalil yang nyata menunjukkan adanya kerelaan, tidak kira sama ada ia telah menjadi ‘uruf yang diamalkan atau tidak. Pendapat ini adalah lebih luas daripada pendapat yang terdahulu, dan juga lebih memberi kemudahan kepada manusia. Jadi setiap perbuatan yang menunjukkan jual beli atau sewa, syarikat, wakalah atau aqad lain selain perkahwinan adalah sah dilakukan secara demikian; kerana asas pegangan ialah ada sesuatu yang menunjuk kepada kehendak dua pihak yang beraqad, iaitu pembentukan aqad dan kerelaan beraqad adalah wujud. Perbuatan atau aqad seperti ini telah lama diamalkan iaitu sejak zaman Rasulullah lagi dan selepasnya. Tiada hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah yang hanya membataskan kontrak dengan ijab dan qabul sahaja. Begitu juga tidak ada hadis yang menafikan sahnya jual beli secara unjuk mengunjuk. Lagipun, orang ramai sentiasa berjual-beli di pasar-pasar dengan cara saling unjuk-mengunjuk pada setiap masa. Tidak ada siapa yang mengingkarinyaOleh yang demikian, berlaku ijma’ tentang itu. Qarinah (tanda) itu sudah menjadi dalil yang cukup tentang adanya kerelaan
Yang demikian  kerana lafaz adalah tidak penting. Yang penting  adalah redha meredhai di antara penjual dan pembeli itu. Allah menghalalkan jual beli dan tidak menjelaskan cara-caranya. Maka wajib menurut kepada uruf masyarakat setempat itu. Sebagai contoh di Malaysia yang terbiasa dengan amalan jual beli Mu’atah ini tanpa menyebut lafaz ijab qabul.

Sepintas Berkenaan ‘Uruf ; Sandaran Ulama Dalam Menentukan Jual Beli Tanpa Lafaz Ijab Dan Qabul Atau Bai’ Al-Mua’tah
'Uruf  ialah sesuatu yang dibiasai oleh manusia, samada betbentuk perbuatan atau perkataan. Para ulama telah menjadikan `urf sebagai salah satu asas dalam pembinaan hukum. Ini jelas dapat difahami dari kata-kata dan fatwa yang dikeluarkan oleh mereka. Ada di antara mereka yang berdalil dengan firman Allah yang bermaksud:
Terimalah apa Yang mudah Engkau lakukan, dan suruhlah Dengan perkara Yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang Yang jahil (yang degil Dengan kejahilannya).
Al-Aaraf: 199
Walaupun ‘urf tetap diambil kira, diberi pertimbangan dan sah pembinaan hukum ke atasnya, tetapi ia pada hakikatnya bukan merupakan dalil yang berasingan atau sumber hukum yang tersendiri bahkan ia dirujuk kepada dalil-dalil Syarak yang mutabar, kerana ‘urf tidak boleh mencipta hukum bersama Allah dan tidak ada siapa pun yang mempunyai autoriti mentasyri’ hukum melainkan Allah sahaja. Sesungguhnya apabila beberapa hukum Syariat mengambil kira ‘urf maka itu merupakan suatu keringanan dan rahmat dari Allah yang menurunkan Syariat dan Dialah sumber hukum yang sebenarnya, bukan ‘urf yang hukum datang selari dengannya.Apabila Allah mengizinkan kita membina hukum-hukum berdasarkan ‘urf maka keizinan Allah itulah sumbernya bukan ‘urf. Maka ‘urf dalam dua keadaan ini tidak lebih dari kaedah fiqhiyyah yang dapat diambil faedah darinya ketika pelaksanaan hukum-hukum tidak akan meningkat kepada tahap sumber atau dalil.
para ulama usul fiqh merumuskan kaedah-kaedah fiqh yang berkaitan dengan ‘urf, di antaranya adalah:
1.      Adat kebiasaan itu boleh menjadi hukum(al-adah al-muhakkamah)
2.      Tidak diingkari perubahan hukum disebabkan perubahan zaman dan tempat.
3.      Yang baik itu menjadi ‘urf, sebagaimana yang disyaratkan itu menjadi syarat.
4.      Yang ditetapkan melalui ‘urf sama dengan yang ditetapkan melalui nash (ayat dan atau hadits)

Para ulama usul fiqh juga sepakat bahwa hukum-hukum yang didasarkan kepada ‘urf boleh berubah sesuai dengan perubahan masyarakat pada zaman tertentu dan tempat tertentu.

‘Uruf terbahagi kepada beberapa bahagian. Yang akan dibincangkan di sini adalah bahagian yang bersangkutan dan relevan dengan perbincangan aqad jual beli tanpa lafaz iaitu Urf perbuatan atau amali.
‘Urf amali ialah perbuatan atau amalan yang sudah menjadi kebiasaan manusia. Perbuatan atau amalan tersebut sama ada dari segi kegiatan biasa atau kegiatan kemasyarakatan. Maksud kegiatan biasa adalah kegiatan yang bersangkutan dengan kehidupan biasa tanpa melibatkan akad dan hak seperti makan, minum, pakaian,dan sebagainya. Maksud kegiatan kemasyarakatan pula ialah kegiatan yang bersangkutan dengan akad dan hak seperti nikah, jual beli, rampasan, dan lain-lain.
Contoh ’urf amali ialah dari segi kegiatan biasa ialah kebiasaan masyarakat Malaysia menjadikan nasi sebagai makanan asasi. Contoh bagi ’urf amali dari segi urusan kemasyarakatan ialah kebiasaan penjual di sesetengah tempat menghantar barangan jualan yang berat ke kediaman pembeli dan kebiasaan masyarakat berjual beli tanpa lafaz ijab dan qabul.
Perbuatan yang menjadi kebiasaan di kalangan manusia seperti jual beli Mu’atah (معاطاة) (proses jual beli tanpa ijab dan qabul), penggunaan tandas awam tanpa ditetapkan tempoh masa dan jumlah air yang digunakan, istisna’ (استصناع) (tempahan membuat barangan seperti kasut, pakaian, dan sebagainya), hidangan makanan kepada tetamu merupakan keizinan untuk makan dan sebagainya.

Pendapat penulis mengenai kesan kewujudan transaksi seumpama ini di dalam kehidupan seharian

Jual beli merupakan ibadah di dalam kehidupan seorang muslim. Ia juga merupakan  keperluan seharian. Seseorang yang sempurna kehidupannya pasti tidak akan dapat lari daripada terlibat dalam urusan jual beli. Kaedah hukum fiqh terutama yang melibatkan  muamalah sesama manusia adalah luas dan terbuka kepada perbincangan. Namun ia tetap terikat dengan hukum-hukum asas seperti halal haram dan sebagainya. Sistem jual beli semakin kompleks. Kini, jual beli secara bersemuka hanya salah satu daripada berpuluh-puluh kaedah pembelian yang ada sekarang. Ada yang menggunakan internet untuk memesan barang, pesanan melalui pos, tidak kurang juga melalui sms (sistem pesanan ringkas) dan kad kredit. Belum lagi dikira pembelian di peti-peti jualan yang tidak ada penjual.
Jika kita masih terikat dengan hukum wajib melafaz akad jual beli antara penjual dan pembeli, mana mungkin transaksi dapat dijalankan. Sedangkan fiqh tidak menghalang jual beli sebegitu. Kerana tidak ada dalil yang mewajibkan lafaz ijab dan qabul. Hanya dimestikan ada saling redha-meredhai antara penjual dan pembeli. Andai kata kita dapat berlapang dada terhadap jual beli tanpa akad secara lisan, ia pasti memberi pengaruh kepada perkembangan ekonomi setempat. Namun, saya lebih setuju dengan pandangan kedua yang hanya mensyaratkan barangan bernilai sahaja wajib dilafaz ijab dan qabul. Kesannya dapat dibahagi kepada dua bahagian; positif dan negatif. Dikatakan positif kerana…

Urusan jual beli menjadi mudah
Kuasa beli masyarakat semakin bertambah. Kebiasaannya masyarakat akan membeli barangan dalam kuantiti yang banyak di pasaraya-pasaraya. Dengan jumlah pelanggan yang ramai dan barangan yang dibeli setiap orang adalah banyak, maka adalah sesuatu yang relevan dan dapat diterima jika kita mengguna pakai jual beli secara bai’ al-mu’atah. Ianya memudahkan selari dengan prinsip Islam iaitu memudahkan bukan menyusahkan. Semua orang tahu pihak penjual ingin menjual barang. Setiap barangan pula dilekatkan tanda harga. Pelanggan tahu dan membayar dengan harga yang ditawarkan. Jadi sudah wujud suasana saling redha-meredhai dan tidak ada paksaan daripada mana-mana pihak.

Ekonomi berkembang
Sejalan dengan perkembangan semasa, terdapat banyak transaksi moden sebagaimana telah dinyatakan di atas. Urusan-urusan pembelian terkini terutamanya yang menggunakan internet atau khidmat pesanan ringkas sememangnya tidak ada akad jual beli. Namun masing memang mengetahui mereka sedang melakukan urusan jual beli. Jika kita dapat berlapang dada tentang keharusan tidak perlu lafaz sighah cukup sekadar aktiviti fizikal yang menunjukkan redha antara dua pihak maka ia akan memudah dan merancakkan aktiviti ekonomi.

Walaubagaimana pun ada juga sudut negatifnya sebagaimana yang akan dihurai nanti:

Mudarat jangka panjang
Mudarat ini hanya akan berlaku jika ianya melibatkan jual beli barangan berharga seperti tanah, rumah, kenderaan dan sebagainya yang dianggap bernilai tinggi. Untuk urusan pembelian barangan berharga, penjual dan pembeli mesti menunjukkan kesungguhan dan kerelaan sepenuhnya ketika aqad. Asas kepada hujah ini adalah untuk mengelakkan perasaan tidak puas hati antara kedua belah pihak sehingga menimbulkan perasaan was-was terhadap keabsahan urusan jual beli. Sama ada sah atau fasid. Jika fasid maka jual beli tidak sah dan barangan yang dibeli belum lagi menjadi milik mutlak pembeli. Dicadangkan agar kedua-dua pihak melakukan aqad jual beli dengan lafaz yang sarih agar tidak timbul rasa tidak puas hati di kemudian hari. Perkara sedemikian (perasaan ragu) tidak akan berlaku pada pembelian barangan murah seperti pen. Apa sangatlah sebatang pen atau sekilo gandum atau segenggam gula-gula. Rasa tidak puas hati tidak akan berlaku pada jual beli barangan ini.

Kesimpulan
Jual beli tanpa akad atau bai’ al-mu’atah bukanlah sesuatu yang asing dalam perbincangan ilmu fiqh. Di antara pandangan yang tidak membenarkannya sama sekali dengan pandangan yang memberi kebenaran seluas-luasnya, kita wajar memilih jalan tengah yang diakui oleh kebanyakan ulama’-ulama’ mutakhirin daripada mazhab-mazhab fiqh yang muktabar iaitu mengharuskannya dalam perkara-perkara mudah dan kecil. Sebaliknya mewajibkan aqad pada perkara-perkara besar. Ilmu fiqh tidak seperti ilmu tauhid yang bersifat qat’ie. Ianya masih terbuka kepada perbincangan tetapi terikat dengan hukum-hukum dasar. Allah dan Rasulnya telah meletakkan dasar yang utuh. Maka ulama’-ulama ini menggali dan mengkaji hingga dapat diistinbat hukum.



[1] Al-mu’jam al-Arabi al-Asasi m/s 853
[2] Fiqh Syafii, jilid 2, m/s 9
[3] Dr. Wahbah al-Zuhaili, Fiqhul Islam Wa Adillatuhu, m/s 366
[4] Mohd. Saleh B Haji Ahmad (Haji). Al-Qawaid Al-Fiqhiah
[5] Al-Nawawi. Raudhatu Al-Tolibin. Juzuk 3 m/s 5