Selalu kita dengar ada orang yang diganggu saka hingga keluarga jadi porak peranda. kadang-kadang penyakit datang tak putus-putus. Berikut saya kongsikan pengalaman rohani seorang guru agama yang dipanggil Angah atau ustaz (Tok Awang Ngah) cucu kepada salah seorang ulama tersohor di Negeri Sembilan.... yang dikutip daripada salah sebuah novel yang mengungkap pengalaman beliau dalam siri Berkelahi Dengan Syaitan. Semoga tuan-tuan akan mendapat gambaran serba sedikit berkenaan saka yang diwarisi. Namun, jangan jadikan saka sebagai fokus yang membantutkan kehidupan anda. Percaya atau tidak.... itu terpulang kepada tuan-tuan.
SUMPAH PELESIT TURUN TEMURUN
SEHINGGA pukul 10 malam, Simah isteri Meon masih mengerang-ngerang sakit
kepala. Pada mulanya saya menyangkakan dia pening kepala biasa saja,
mungkin disebabkan hawa panas. Tetapi akhirnya Meon memberitahu Simah
akan diserang sakit kepala setiap kali saya datang ke situ. Bagaimanapun
sakit kepalanya itu akan beransur hilang bila saya meninggalkan
rumahnya. Sebenarnya Simah memang selalu diserang sakit kepala, cuma
sakitnya bertambah berat kalau saya datang menemui Meon. Setelah lima
tahun berkahwin dengan Meon rumahtangga mereka tidak begitu tenteram.
Simah sentiasa merasa tidak tenteram dengan sikap Meon.
Tetapi mengapa dia merasa tidak senang dengan Meon, dia sendiri tidak
tahu. Mujurlah Meon dapat bersabar dengan perangai Simah. Kalaulah tidak
bersabar memang sudah lama rumahtangga mereka runtuh. Meon dapat
memikirkan tentulah ada masalah lain menyebabkan Simah berperangai benci
saja melihat Meon. Bila hatinya senang SImah tetap menunjukkan kasih
sayangnya terhadap Meon. Sebab itulah Meon dapat memahami bahawa Simah
memang ada gangguan lain menyebabkan dia berperangai sentiasa benci saja
melihat dia apabila tiba masa hatinya tidak tenang. Memang Meon
berhajat untuk membawa isterinya menemui Ulung Bahar. Jadi, kedatangan
saya ke rumah Meon pun, memang ada kaitannya dengan cadangan Meon untuk
membawa Simah berubat kepada Ulung Bahar.
"Dah lama ke Simah sakit macam ni?" tanya saya bila Simah semakin kuat
mengerang-ngerang sebaik saja saya masuk ke biliknya. "Sejak saya kahwin
memang inilah sakit idapannya" ujar Meon lemah. "Sabar sungguh awak,
Meon..." kata saya. Meon terdiam. Terkejut juga dia bila saya kata
demikian. Pada anggapannya saya mengatakan sabar disebabkan dia boleh
bertahan demikian lama dengan Simah. Saya dapat menangkap akan perasaan
Meon bila saya memberitahu demikian tadi. Oleh itu cepat-cepat saya
menyambung, "Maksudnya, kau tak bawa Simah berubat. Lama sangat kau
bersabar membiarkan Simah macam ni..." jelas saya supaya Meon tidak
terkeliru dengan kata-kata saya itu. "Inilah saya nak bawa jumpa Ulung
Bahar nanti" keluh Meon memerhati isterinya mengerang-ngerang sakit
kepala.
Simah isteri Meon ini berasal dari Air Tawar, Perak. Sejak berkahwin
dengan Meon lima tahun dulu jarang mereka balik ke kampung Meon, di
Temerloh. Lagi pun memang Meon tidak menyangka Simah mengidap penyakit
demikian, sebab itulah dia tidak cepat-cepat membawa bertemu Ulung
Bahar. Baru kebelakangan inilah Meon menyedari Simah sebenarnya sakit.
Kadangkala bila sakit kepalanya menyerang dia akan memaki hamun Meon.
Mula -mula dulu terkejut juga Meon sampai hampir-hampir dia menceraikan
Simah. Apabila Simah pulih semula, dia sendiri tidak tahu apa yang telah
dicakapkannya kepada Meon. Kebetulan saya berhajat mahu bertemu dengan
Ulung Bahar, maka Meon bercadang membawa Simah berubat sekali dengan
Ulung Bahar.
"Cubalah ustaz tengokkan dulu..." kata Meon semakin rusuh melihat
isterinya mengerang-ngerang sakit kepala. "Sakit kepala lain ni Meon"
jelas saya merasakan bulu roma saya meremang seram sejuk. "Kalau dia
melawan tak terkawal dek kita. Cubalah kau telefon adik kau di Datuk
Keramat suruh dia datang. Kalau ramai nanti panjang juga ikhtiar
kita..." saya menyuruhnya menelefon adiknya Jamlus di Datuk Keramat.
Saya tahu Meon mempunyai adik di Kuala Lumpur tinggal di Datuk Keramat.
Sudah dua tiga kali kami bertemu di rumah Meon itu. Kalau ada saudara
mara Meon tidak segan jugalah saya mahu mencuba mengetahui punca
penyakitnya. Cepat-cepat Meon menelefon Jamlus adiknya. Di samping itu
dia juga memanggil jirannya. Dalam keadaan demikian masing-masing kelam
kabut juga melihat keadaan isteri Meon sambil menuduhnya mati pucuk
kerana sudah lima tahun berkahwin masih belum mendapat anak.
Bagi Meon maki hamun demikian sudah perkara biasa kepadanya. Dia tidak
tersinggung kalau Simah bercakap demikian. Tetapi bagi jiran-jiran yang
baru datang menjengah terkejut juga dia mendengar kata-kata Simah itu.
Tidak lama kemudian kira-kira jam 11.30 Jamlus datang bersama isterinya.
Terkejut juga dia apabila Meon menelefon fasal Simah sakit. Tentulah
sakit Simah berat menyebabkan abangnya menelefon dia suruh datang
segera. "Kita bawa hospital aje..." kata Jamlus sebaik saja melihat
kakak iparnya mengerang-ngerang kesakitan. "Boleh jadi migraine. Elok
cepat kita bawa ke hospital" gesanya tidak sabar lagi melihat Simah
menggelepar di atas katil. "Sabar dulu..." sahut Meon menahan kerusuhan
hatinya. Jiran-jiran yang lain juga mendesak supaya Simah dibawa ke
hospital memandangkan keadaannya menggelepar seperti ayam kena sembelih.
Saya masih berfikir apakah cara yang harus dilakukan dengan keadaan
yang demikian. Keadaan demikian begini bukanlah baru kali pertama saya
tempuhi, sebab itu saya tidak tergopoh-gopoh sangat melihat keadaan
Simah itu.
"Kak Simah ni kena migraine agaknya. Jangan sabar-sabar lagi, bawa aje
ke hospital" desak Jamlus lagi. Tetapi Meon yakin Simah bukan dihinggapi
sakit migraine. Kalaulah Simah kena sakit migraine masakan dia akan
memaki hamunnya. Menuduh dirinya yang bukan-bukan. Sehingga Simah
tergamak mengatakan dia mati pucuk kerana tidak mendapat seorang anak
pun setelah lima tahun berkahwin. Mujurlah dia dapat menahan sabar
apabila dituduh demikian. Memang dia sedar Simah sakit, tetapi tidak
dapat mempastikan sakit sebenarnya. Setelah ada ura-ura saya mahu
menemui Ulung Bahar, barulah dia bercadang mahu mencuba membawa Simah
berubat pada Ulung Bahar.
"Ada dukun di sini yang boleh kita cuba?" saya bertanya pada Meon. Meon
menggeleng kepala tidak tahu. Memang dia tidak tahu siapakah dukun di
kawasan perumahan itu. Maklumlah masing-masing sibuk dengan tugas
harian, kadang-kadang jiran sebelah rumah pun tidak kenal. Inikan pula
mahu tahu mengenai siapa menjadi dukun di situ. "Kita cari di Sungai
Pusu..." seorang jiran memberitahu. "Boleh juga kita panggil dukun tu"
kata saya berpaling pada jiran yang memberitahu itu. "Saya tak tau
rumahnya" sahut dia serba salah. "Tetapi saya dengar dia duduk di Sungai
Pusu. Kalau kena penyakit macam ni, selalunya orang panggil dia" jelas
jiran itu lagi. "Kalau tak tau rumah macam mana nak cari malam-malam
ni..." keluh Jamlus pula. Kata-kata Jamlus itu benar juga. Sekiranya
hari siang boleh juga bertanya pada siapa-siapa yang melintas di situ.
Tetapi bila hari malam masakan mahu mengetuk rumah orang mencari dukun
tersebut.
"Ah, Sungai Pusu tu bukannya besar sangat" seorang lagi jiran mencelah.
"Mari kita ke sana, kita carilah sampai dapat..." ujarnya mengajak
Jamlus mencari dukun berkenaan di Sungai Pusu. Setelah Jamlus dan jiran
itu pergi, keadaan Simah masih juga tidak berubah. Dia menggelepar ke
kiri ke kanan sambil mengerang sakit kepala. Jiran-jiran yang datang
menziarah tadi tidak keruan dengan keadaan tersebut. "Sebelum dukun tu
sampai, ustazlah cuba-cuba dulu..." Meon menepuk bahu saya. Saya tahu
Meon memang ikhlas meminta saya mendoakan supaya isterinya sembuh. Dalam
masa setahun dia mengenali saya, memang dia sudah mengagak mestilah ada
sebab mengapa saya berhajat sangat mahu menemui Ulung Bahar. Selalu
juga dia bila terasa sakit gigi mengusik-ngusik suruh saya ubatkan.
Tetapi tidak pernah saya penuhi permintaannya. Kalau dia mendesak juga
saya suruh dia ke klinik gigi.
Bagaimanapun Meon tidak pernah berkecil hati kalau saya bersikap
demikian. Pernah juga dia meminta saya doakan supaya tidak basah
terkena hujan, saya beritahu dia doa supaya tidak basah terkena hujan
pakailah payung. Semua ini adalah usik mengusik saja. Dia hanya mahu
berolok-olok dengan saya, seperti juga dia pernah berolok-olok dengan
Ulung Bahar. Tetapi kali ini saya sedar Meon bukanlah berolok-olok. Dia
meminta dengan ikhlas. Saya menjadi serba salah dengan permintaan Meon,
di samping keadaan Simah yang semakin membimbangkan. Dalam ingatan saya
sudah tergambar mungkin ada benda lain yang mengganggu menyebabkan Simah
cepat diserang penyakitnya apabila saya berada di rumah itu.
Hingga pukul 12.00 malam dukun dari Sungai Pusu yang dijemput oleh
Jamlus masih belum datang. Jamlus juga tidak nampak muka hidung.
Memandangkan keadaan Simah menggelepar-gelepar menahan sakit di
kepalanya, saya pun meminta izin dari Meon untuk memegang kepala Simah.
Kira-kira dua minit saya memegang kepalanya, tiba-tiba Simah bingkas
bangun lalu meludah saya. "Kau yang tukang kacau, laknat!" bentak Simah
macam mahu menerkam ke arah saya. "Buat apa kau datang selalu ke sini,
kau nak nikah dengan aku ke?" dia ketawa mengilai. "Kau harus sabar
Meon..." bisik saya perlahan. "Yang bercakap ni bukan Simah lagi, yang
lain bercakap ni" kata saya menerangkan pada Meon. "Saya tahu ustaz"
jelas Meon merapati saya. "Buatlah macam mana pun, memang saya tahu,
fasal saya selalu ikut Ulung Bahar" ujarnya. Simah terus berdiri dengan
tangannya mahu mencengkam leher saya. Cepat-cepat Meon memegang
pinggangnya membawa rebah semula ke katil.
"Meon, kau jangan jadi bodoh!" Simah meronta-ronta mahu melepaskan diri
dari Meon. "Inilah jantannya yang menggoda aku. Dia nak nikah dengan
aku, tapi aku tak mau. Aku sayangkan kau Meon" dia merintih-rintih
bagaikan merayu. "Siapa hendakkan kau, aku pun tak mau" bentak Meon.
"Kau tak mahu pada aku?" mata Simah terjengil memerhati Meon. "Aku tak
mau..!" sahut Meon keras. "Sekarang ceraikan aku..." Simah juga bersuara
keras. "Berambuslah kau" kata Meon. "Lepaskan aku...!" Simah
meronta-ronta sekuat tenaga. "Lepaskan aku, biar aku berambus" dia
membentak-bentak sambil menumbuk dada Meon. "Kalau kau nak berambus,
berambuslah" jerkah Meon semakin kuat memaut pinggang Simah. "Tapi,
tinggalkan Simah tau!" katanya memahami apa sebenarnya berlaku di
sebalik keadaan Simah demikian. "Kau gila, aku ni bukankah Simah" dia
tertawa mengejek. "Aku tau kau setan!" bentak Meon.
Dari cara Meon bercakap itu memang saya tahu dia juga menyedari akan
penyakit isterinya. Tetapi selama ini dia sengaja merahsiakan dari
pengetahuan saya. Dia bimbang kalau saya mengetahuinya, nanti akan
menyusahkan saya pula. Memang Meon tahu akan gangguan syaitan tersebut.
Tetapi apakah jenis gangguannya tidaklah diketahui. "Sekejap lagi dukun
Sungai Pusu datang, kau rasa nanti!" Meon cuba mengugut. "Ah, bapak
dukun Sungai Pusu aku tak takut" balas Simah termengah-mengah mahu
melepaskan diri dari Meon. Beberapa orang jiran wanita juga turut sama
membantu memegangkan kakinya. "Dukun Sungai Pusu tu takut pada aku,
takkan dia berani datang...!" dia tertawa macam menyindir Meon.
"Diam...!" herdik saya merenung muka Simah. Ketika ini saya tidak nampak
Simah lagi meronta-ronta di atas katil. Saya berada jauh dari rumah
Meon di Gombak di sebuah bukit dekat Air Tawar di Perak. "Diam, kata
aku. Sekarang kau datang ke sini, supaya aku bakar kau dengan Ayatul
Kursi...!" saya terus membaca Ayatul Kursi sebanyak 17 kali.
Selesai saja saya membaca Ayatul Kursi wajah Simah bertukar menjadi
seorang perempuan tua kurus dengan rambut menggerbang putih. Perempuan
tua itu mengilai ketawa mengejek-ngejek saya. Dia merenung saya bagaikan
mahu menerkam, tetapi tidak dapat mara. "Jangan nak sembunyi lagi!"
suara saya semakin keras. "Ah, merepeklah kau. Jangan cuba nak goda
aku..." perempuan tua itu terkekeh-kekeh ketawa. "Aku ni bini Meon, buat
apa kau goda. Mentang-mentang Meon mati pucuk, kau fikir aku mudah
tergoda dengan kau" dia cuba menyakitkan hati Meon yang mendengarnya.
"Kau fikir Meon bodoh" sahut saya sambil memerhatikan gerak gerinya yang
mencari tipu helah. "Kau dah tua, Meon tengok pun tak ada nafsu" saya
pula menyakitkan hatinya. Dia menjadi marah bila saya katakan dirinya
sudah tua. Dia tetap mengaku dirinya Simah, walaupun saya sudah melihat
akan rupa asalnya. "Jangan kau nak berdusta!" saya membaca Ayat Yassin
dan menghembuskan ke arahnya. Angin kencang bertiup menyebabkan dia
melayang-layang tidak jejak ke bumi. "Aku tau kau perempuan tua simpan
pelesit, tubuh kau kurus, rambut menggerbang putih macam pontianak,
siapa pun tengok tak naik nafsu" kata saya lagi.
Dia bertambah marah bila saya sudah mengetahui dirinya yang sebenar.
Pada sangkaannya saya hanya melihat Simah terbaring meronta-ronta
menggelepar di atas katil. Barulah disedarinya saya sudah melihat
dirinya yang sebenar dari kawasan hutan terbiar di sebuah bukit di
kampung Simah. Bila diketahuinya dirinya sudah dapat dikesan, dia
terpaksa menentang habis-habisan. Perempuan tua itu mengeluarkan botol
kecil dari ikatan pinggangnya, lalu mengeluarkan seekor belalang. "Anak
aku ini akan mengajar kau...!" gerutunya lalu melepaskan belalang
tersebut. Seekor belalang sebesar pohon kelapa menerpa ke arah saya.
Cepat-cepat saya melompat ke atas belalang tersebut. Saya menyebut
Allahu Akhbar tiga kali menyebabkan belalang itu kembali menjadi kecil
dan jatuh ke dalam genggaman saya. Perlahan-lahan saya memulas kepala
belalang itu dengan membacakan Ayatul Kursi 33 kali. Ketika ini
perempuan tua itu terjerit-jerit memegang tengkuknya menahan kesakitan.
Dia terkial-kial merebahkan badan ke bumi mahu melawan balik. Apabila
saya pulaskan kepala belalang itu sampai putus, tubuh perempuan itu
bertukar menjadi belalang lalu terbang berligar-ligar di kepala saya
mahu menyerang.
Bagaimanapun dia tidak dapat menghampiri saya. Kemudian saya membaca
lanarjumannakum dari
Surah Yassin menyebabkan dia terpelanting ke tanah. Berpuluh-puluh
panah api datang menerjah ke tubuhnya. Dia menggeliat menahan panahan
api itu, tetapi masih bertahan tidak mahu mengalah. Apabila tidak tahan
dengan panahan api, belalang berkenaan berkepul-kepul menjadi asap hitam
lalu membentuk satu lembaga manusia. Lama kelamaan dia menjelma di
depan saya. Dia lelaki tua bertubuh kurus memakai pakaian serba hitam.
Mukanya cengkung berkedut-kedut macam kulit gajah. "Aku sayang pada
Simah ni..." ujar lelaki bertubuh kurus itu. "Aku nak nikah dengan dia,
kenapa awak tak bagi?" suaranya lemah bagaikan meminta belas kesihan.
"Simah mahukah pada awak?" tanya saya. "Ada masa dia mau, ada masa tak
mau..." beritahunya perlahan berketar-ketar. "Apa fasal dia tak mau?"
saya mengujinya. "Dia kata saya mati pucuk..." ujarnya serba salah.
"Simah dah nikah dengan Meon" jerkah saya memberi amaran. "Kenapa awak
ganggu dia lagi?" tanya saya keras sambil mengejeknya. "Saya cintakan
dia" jelasnya menangis tersedu-sedu. "Buruk sangat rupa awak orang tua
menangis..." sindir saya.
Dalam masa saya berkata-kata dengan lelaki tua itu, tiba-tiba perempuan
tua bertubuh kurus itu menjelma semula. Dia terlalu marah kerana lelaki
itu cuba berbaik-baik dengan saya. "Dia inilah yang selalu kacau
kita...!" kata perempuan tua menjelirkan lidah kepada saya. Saya
mendiamkan diri. Saya mahu lihat sejauh mana tindakan seterusnya dari
mereka berdua. Tetapi mereka berdua tidak menyerang saya. Cuma perempuan
tua itu saja menyindir untuk menyakitkan hati, sementara lelaki tua itu
seolah-olah dalam ketakutan. "Dia nak pisahkan kita!" ujar perempuan
tua itu lagi. "Kalau dia datang dekat, aku rasa tubuh aku terbakar.
Sebab itu kita mesti jauhkan dia dari berkawan dengan Meon. Aku tak tau
apa ilmu yang dia pakai" perempuan tua itu menangis teresak-esak sambil
menggeliat-geliat seperti menanggung bahang kepanasan. Lelaki itu tetap
mendiamkan diri. Dia mengusap-ngusap rambut yang menggerbang putih.
Sekali sekala saya nampak muka perempuan tua itu berubah menjadi Simah.
Tetapi apabila saya hembuskan ayat
Hazihi jahannamullati kuntum tu 'adun, wajah tersebut tidak jadi bertukar.
Dari situ dapatlah saya fahamkan bahawa memanglah sukar mahu mengubati
Simah, kerana gangguan yang datang itu bukanlah datangnya dari luar.
Gangguan ini datang dari keluarganya turun temurun yang pernah menyimpan
pelesit. Apabila pelesit itu sudah tidak bertuan, maka dia mencari
keturunan tuannya sebagai sumpahan untuk mencari naungan. Simah yang
tidak tahu apa-apa tidaklah mahu menerima kedatangan pelesit yang
berasal dari datuk nenek moyangnya dulu. Inilah yang selalu mengganggu
dia kerana dirinya sudah terpisah jauh dari pelesit tersebut, sedangkan
pelesit berkenaan cuba mendekatkan dirinya. Sebab itulah pelesit
berkenaan menjadi seperti orang yang diganggang oleh api bila berdekatan
dengan orang-orang yang mengamalkan membaca Suratul Kursi setiap hari.
Mungkin Simah sendiri tidak tahu tentang asal usul datuk nenek moyangnya
dulu ada memelihara pelesit.
"Jauhkan dia dari sini" rayu perempuan tua itu kepada lelaki tua yang
berdiri di sampingnya. Lelaki tua itu menghentakkan kakinya ke tanah
tiga kali. Kemudian beribu-ribu belalang menerpa ke arah saya. Sebaik
saja belalang-belalang itu mahu menerpa saya hembuskan Fatihah,
menyebabkan semuanya gugur ke bumi seperti dibakar api. Terasa saya
seakan-akan lemas akibat bau hangit belalang terbakar. Merah padam muka
lelaki tersebut melihat semua belalangnya habis terbakar. Semua belalang
yang jatuh itu tengkuknya terpatah dan keluarlah seulas nasi dan
sehelai rambut dari tengkuk terpatah itu. "Aku datang mencari anak cucu
aku..." lelaki tua itu bersuara keras. "Tak patut awak putuskan hubungan
kasih sayang kami" katanya kesal dengan sikap saya menghalang tindakan
dia. "Simah tak perlukan awak lagi" sahut saya membentak. "Dia perlukan
Meon, biar Meon yang jaga dia. Awak tak perlu jaga dia" ujar saya
memarahinya.
Ketika saya menyahut kata-katanya dia menyimbahkan air ke atas
bangkai-bangkai belalang tadi. Sekaligus bangkai-bangkai terbakar itu
menjadi kepulan asap hitam yang berjurai-jurai seperti rambut. Juraian
rambut menyerkup ke kepala saya menyebabkan pandangan saya gelap tidak
kelihatan apa-apa lagi. Namun saya tetap bertenang menghadapi
tekanan-tekanan seperti ini. Semua yang saya hadapi itu adalah tipu daya
syaitan belaka. Beberapa ketika saya terperangkap dalam juraian rambut
itu, hingga hampir-hampir meliliti seluruh tubuh saya. Lalu saya
bacakan Surah Waddhuha sepuluh kali. Tiba-tiba juraian rambut itu
melayang ditiup angin. Lelaki tua itu semakin marah kerana rambut yang
menyerungkup ke kepala saya tadi diterbangkan angin. Itulah pertama kali
serangannya sampai ke tubuh saya. Memang kesilapan telah saya lakukan
membiarkan dia menyerang sambil melayani dia bercakap.
Tok Aji pernah mengingatkan saya supaya tidak melayani syaitan apabila
berhadapan dengannya. Kalau menentang syaitan mestilah digempur sampai
mereka kalah. Sekiranya kita melayaninya, sudah tentulah kita termasuk
ke dalam perangkap tipu dayanya untuk melalaikan kita. Setelah
teringatkan Tok Aji, saya pun menguatkan zikir saya. Saya membaca
beberapa ayat yang diajarkan oleh Tok Aji. Ketika ini seluruh kawasan
itu bergoncang kuat seperti gempa disambut oleh petir serta kilat. Orang
tua lelaki dan perempuan itu berlari-lari mahu menyelamatkan diri.
Batu-batu dari atas bukit juga gugur melayang menerjah ke arahnya.
Mereka berdua menjadi panik dengan gempa yang datang secara tiba-tiba.
Saya tetap berdiri di tengah-tengah gempa itu memerhatikan mereka berdua
berlari ke hujung ke pangkal mencari tempat selamat. Tetapi ke mana
saja mereka berlindung petir dan kilat menyambar. Mereka terpelanting
apabila disambar kilat dan petir bertalu-talu. Termengah-mengah mereka
mencari tempat perlindungan. Akhirnya mereka lesap di dalam kepulan asap
di tengah-tengah dentuman petir serta kilat menyambar. Setelah mereka
berdua hilang saya memberhentikan bacaan. Lama saya menunggu di situ,
namun dia tidak muncul-muncul lagi.
Saya rasa buat sementara itu dia tidak akan datang lagi mengganggu.
Bagaimanapun mereka tetap akan berusaha untuk meneruskan cita-citanya
untuk bernaung kepada Simah. Hal inilah yang mahu saya beritahu pada
Meon, supaya dia sendiri mesti mempunyai persediaan menghadapi
kemungkinan tersebut. Setelah yakin mereka tidak akan mengganggu lagi,
saya meninggalkan kawasan hutan di pinggir bukit itu, dan kembali
berdiri di dalam diri. Apabila saya membuka mata, saya dapati Simah
sudah pulih semula. Tetapi keadaannya masih letih lagi. Rupanya ketika
saya menghadapi suasana sengit tadi, Jamlus dan rakan yang pergi
menjemput dukun ke Sungai Pusu sudah balik. Mereka berdua hampa kerana
dukun berkenaan sudah pun dijemput oleh orang di Damansara. Sehingga
hampir pukul 2.00 pagi mereka menunggu, dukun itu tidak juga balik.
Akhirnya terpaksalah mereka mengambil keputusan balik semula ke rumah
Meon.
Jamlus bertanyakan kepada saya siapakah yang melakukan gangguan itu.
Saya hanya tersenyum dengan soalan demikian. Selalunya begitulah
pertanyaan yang diterima apabila menghadapi masalah demikian. Sepatutnya
mereka bersyukur kerana dapat menjauhkan diri dari gangguan syaitan.
Siapa yang membuat gangguan itu tidak harus difikirkan lagi. Apabila
saya tanyakan kepada Simah, sama ada terdapat di kalangan keluarganya di
masa lalu yang menjadi dukun atau bomoh, Simah memberitahu ayah kepada
moyangnya dulu memang dukun terkenal. Tetapi selepas peringkat
moyangnya, dia tidak lagi mahu menjadi dukun hinggalah sampai kepada
beberapa keturunan seterusnya. "Saya sedar apa yang berlaku ke atas diri
saya" ujar Simah dalam keletihan. "Tetapi saya tak dapat nak mengawal
diri, macam ada kuasa lain yang mengawal saya.." jelasnya bila
mengingatkan peristiwa sebentar tadi.
Memang saya akui cerita Simah itu. Memang mereka yang menerima gangguan
ini sedar apa yang sedang berlaku. Tetapi mereka tidak dapat mengawal
dirinya sama ada bercakap atau bertindak. Kejadian demikian memang aneh,
tetapi itulah hakikat yang sebenarnya. Apabila saya menerangkan kepada
Simah mengenai belalang pelesit, dia teringat aruah neneknya pernah
memberitahu tentang keluarganya dari keturunan dulu memang memelihara
pelesit. Semasa Tok Bani meninggal dunia dia tidak sempat menurunkan
pelesit peliharaannya itu kepada anak cucunya. Maka pelesitnya itu
sentiasalah mencari anak cucu Tok Bani untuk tempat bernaung. Apabila
pelesit itu tidak dapat bernaung maka anak cucu Tok Bani pun menjadi
mangsa. Adik nenek Simah itu pernah menjadi lumpuh dengan tidak
bersebab. Penyakit lumpuhnya itulah yang membawa maut kepadanya. Selepas
dia meninggal dunia akibat lumpuh, seorang lagi keluarganya mati
muntah-muntah darah seperti termakan racun. Hingga sampailah kepada bapa
saudara Simah bernama Jana, dengan tidak semena-mena diserang penyakit
lemah tenaga batin hingga menyebabkan dia menjadi tidak siuman. Ketika
mengubat Jana inilah Dukun Busu mendapat tahu tentang Tok Bani menyimpan
pelesit. Dukun Busu mencari punca-punca Jana hilang tenaga batin hingga
menjadikan dia tidak siuman. Dia mendapati pelesit Tok Bani yang sudah
tidak bertuan itu mencari perlindungan kepada Jana. Disebabkan Jana
tidak tahu bagaimana mahu memeliharanya, maka pelesit itu telah memakan
tuan sendiri.
Tidak siapa pun tahu Tok Bani memelihara pelesit. Malah isterinya
sendiri Yong Saenah tidak tahu mengenai pelesit yang dipelihara oleh Tok
Bani. Setelah berkahwin dengan Yong Saenah dia mendapat dua orang anak,
seorang lelaki dan seorang perempuan. Selepas itu Tok Bani jatuh
memanjat pokok menyebabkan dia patah pinggang. Akibat dari kecederaan
itulah Tok Bani hilang tenaga kelelakiannya. Bermula dari situlah
keretakan rumahtangganya bermula, bila Yong Saenah mula bermain gila
dengan anak muda. Tok Bani tidak boleh berbuat apa-apa, kerana kononnya
Yong Saenah telah menggunakan bomoh untuk menundukkan Tok Bani. Walaupun
Tok Bani tahu isterinya bermain gila dengan pemuda lain, dia tetap
membisu saja.
Satu hari telah berlaku pertengkaran di antara Tok Bani dengan isterinya
Yong Saenah, berpunca dari perbuatan Yong Saenah yang bermain gila itu.
"Kau dah tak ada jantan, buat apa nak cemburu" kata Yong Saenah
menyindir. "Kau dah mati pucuk, takkan boleh nak pandang alu sengkalan
aje sepanjang masa..." ujar Yong Saenah mencabarnya. Kata-kata Yong
Saenah itu benar-benar menghiris perasaan Tok Bani. Bagi mengubat
hatinya yang luka, Tok Bani selalu membawa diri bila terdengar ada anak
muda datang menemui Yong Saenah. Perasaan marahnya tetap membara setiap
kali terpandangkan wajah pemuda yang bermain gila dengan Yong Saenah.
Ada juga hatinya mahu bertindak, tetapi terpaksa dipendamkannya saja
bila teringatkan kata-kata Yong Saenah itu.
Satu malam, sebaik saja Tok Bani terlihat anak muda yang bermain gila
dengan isterinya masuk ke bilik, dia pun keluar merayau-rayau ke dalam
kampung dengan tidak ada tujuan. Ketika sampai berhampiran dengan
kawasan tanah perkuburan dia terdengar bunyi budak menangis. Terasalah
belas kesihan di hati Tok Bani mendengar tangisan bayi yang sangat
menusuk kalbu. Dia pun mencari arah bunyi tangisan bayi itu hingga
sampai ke kawasan tanah perkuburan. Semakin di hampirinya semakin kuat
bunyi tangisan bayi tadi. Tok Bani memberanikan hatinya untuk melihat
siapakah yang menangis itu. Sebaik saja sampai di tempat bunyi bayi
menangis itu Tok Bani melihat satu bungkusan di dalam kain putih
terselit pada perdu pokok mengkudu. Dia memegang bungkusan itu, terasa
lembik saja. Apabila hendak dibukanya bunyi tangisan itu menjadi kuat
dan menggerunkan.
"Aku hanya nak menolong kau..." satu suara halus menegurnya. Bila
diselidiki oleh Tok Bani ternyata bungkusan kain putih itulah yang
berkata-kata dengannya. "Siapa kau?" tanya Tok Bani keheranan. "Aku
pelesit" sahut suara itu. "Kau nak tolong aku?" dia merasa gembira bila
ada orang yang sanggup menolong dia. "Iya, aku akan menolong kau..."
pelesit itu memberi jaminan. Pelesit itu sanggup memulihkan semula
tenaga batinnya, dan menghapuskan siapa saja yang telah menodai Yong
Saenah dengan menghilangkan tenaga batin orang itu pula. Malah dia juga
berjanji akan menjaga harta benda Tok Bani dari diganggu oleh pencuri
dan sebagainya. Mendengarkan janji pelesit itu Tok Bani tidak berfikir
panjang terus menerima saja pertolongan tersebut.
"Tetapi dengan syarat, kita sama-sama berteguhan janji" tegas pelesit
itu selanjutnya. Tok Bani menerima juga syarat berteguhan janji itu.
"Syaratnya kau jangan buang aku, dan bila sampai masanya hendaklah kau
serahkan aku pada waris kau untuk menjaga aku..." kata pelesit itu lagi.
Tidak ada bantahan apa-apa dari Tok Bani. Dia menerima saja syarat
tersebut, kerana pada fikirannya syarat itu bukanlah susah sangat.
"Setiap kali bulan mengambang kau datanglah ke sini, dan siramkan aku
dengan darah ayam" pelesit itu mengingatkan dia. Itu juga diterima
dengan senang hati oleh Tok Bani. Setelah berteguhan janji Tok Bani pun
membuka bungkusan tersebut. Dilihatnya seorang bayi belum bersifat
sedang memegang botol kecil. Bayi itu menyuruhnya mengambil botol
seperti botol susu itu, dan di dalamnya ada seekor belalang. Tok Bani
pun mengambil botol itu dibawa balik ke rumah. Disimpannya baik-baik
botol berisi belalang tersebut.
Sejak itu siapa saja lelaki tidak berani lagi menggoda Yong Saenah.
Siapa saja berani main gila dengan Yong Saenah alamatnya kena lemah
tenaga batin seumur hidup. Puaslah mereka berubat ke mana-mana pun tidak
akan dapat disembuhkan. Sementara itu Yong Saenah pula selepas itu
sentiasa mahukan Tok Bani mendampinginya. Akhirnya dia sendiri tidak
mampu lagi mahu melayani Tok Bani. Terpaksa pula Yong Saenah meminangkan
ramai anak-anak gadis untuk menjadi isteri Tok Bani. Apabila Tok Bani
meninggal dunia, botol berisi belalang itu dibuang oleh anak cucunya ke
sungai, kerana pada sangkaan mereka belalang permainan Tok Bani saja.
Itulah cerita yang dapat diketahui oleh Dukun Busu, ketika dia mengubat
penyakit Jana. Bagaimanapun Jana tidak dapat diselamatkan juga. Dia
meninggal dunia setelah menderita sekian lama. "Macam itulah cerita dari
aruah nenek saya dulu" beritahu Simah termengah-mengah keletihan.
"Insya Allah..." kata saya perlahan dan merasa simpati dengan keadaan
yang dialami oleh keluarga Simah itu. "Sementara kita bertemu Ulung
Bahar, kita cuba buat lagi macam tadi. Moga-moga dia lari dari awak,
sebab ianya bukan penyakit tapi benda permainan turun temurun" ujar saya
menjelaskan kepadanya. Wallahu a'lam.