Thursday 18 July 2013

Doa selepas tasyahhud sebelum salam



Berikut adalah sebahagian daripada doa-doa yang dianjurkan dibaca sebelum salam. Memang diajar oleh Rasululullah. Tak rugi mengikutnya. Perhatikan maksudnya... semua orang waras pasti akan mengharap agar doa-doa ini dimakbulkan.
1. Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu selesai bertasyahhud, maka hendaklah dia memohon perlindungan kepada Allah dari empat perkara, dengan mengucapkan:

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيْحِ الدَّجَّالِ.

Mafhumnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari siksaan neraka jahannam, dari siksaan kubur, dari fitnah (haru-biru) kehidupan dan kematian, serta dari kejahatan fitnah (huru-hara) al-Masih al-Dajjal.”
(HR al-Bukhari dan Muslim)

2. Daripada ‘Ali bin Abi Tolib, dalam sebuah hadis yang panjang berkata: “Bahawa Rasulullah SAW antara bacaan akhir yang baginda baca antara al-Tasyahhud dan memberi salam ialah:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِيْ مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، وَمَا أَسْرَفْتُ وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّيْ. أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ.

Mafhumnya: “Ya Allah! ampunilah daku dari segala (kesalahan dan dosa) yang telah aku lakukan mahupun yang akan datang, dan (ampunilah daku) apa-apa yang aku lakukan secara sembunyi dan apa-apa yang aku lakukan secara terang-terang, dan (ampunilah daku) apa-apa (kesalahan dan doa) yang aku lakukan secara melampau (menzalimi diri), serta apa yang Engkau lebih mengetahui daripadaku, Engkau yang mendahulukan (bantuan dan taufik kepada sesiapa yang Engkau kehendaki) dan Engkau yang mengakhirkan (bantuan dan taufik kepada sesiapa yang Engkau kehendaki), tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau.”
(HR Muslim)

No comments:

Post a Comment