Keputusan:
Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali
Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai
Parameter Pelaburan Emas. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
Setelah
mendengar taklimat dan penjelasan daripada Y. Bhg. Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim
dan Y. Bhg. Ustaz Lokmanulhakim bin Hussain daripada Akademi Penyelidikan
Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA), Muzakarah bersetuju menerima
dan memperakukan Parameter Pelaburan Emas seperti berikut:
Syarat
Umum Jual Beli
1. Transaksi
jual beli emas mestilah memenuhi semua rukun jual beli yang digariskan oleh
Syarak, iaitu pihak yang berakad, item pertukaran, dan sighah menurut ’uruf
yang diamalkan. Jika sekiranya suatu transaksi tidak memenuhi salah satu rukun
jual beli, transaksi tersebut dikira tidak sah.
PIHAK
YANG BERAKAD
2. Pihak
yang berakad mestilah orang yang mempunyai kelayakan melakukan kontrak
(Ahliyyah al-Ta’aqud) iaitu dengan memenuhi kriteria berikut:
i.
Baligh, berakal
dan rasyid
Jika
sekiranya pihak yang berakad seorang yang gila atau kanak-kanak samada mumayyiz
atau tidak mumayyiz, maka jual belinya adalah tidak sah. Akad oleh kanak-kanak
yang mumayyiz adalah tidak sah kerana jual beli ini melibatkan barang yang
tinggi nilainya.
ii. Keredhaan
Akad
jual beli mestilah dimeterai oleh dua pihak yang saling reda-meredhai, tanpa
ada unsur paksaan, tekanan dan eksploitasi.
HARGA
BELIAN (AL-THAMAN)
Harga
belian (al-Thaman) hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad
ketika sesi jual beli.
BARANG
BELIAN (AL-MUTHMAN)
3. Barang
belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang wujud, dan dimiliki sepenuhnya oleh
pihak yang menjual ketika berlangsungnya kontrak jual beli. Oleh itu, jual beli
suatu yang tidak wujud secara fizikalnya dan juga jual beli suatu yang tidak
dimiliki oleh pihak yang menjualnya adalah tidak sah.
4.
Barang belian (al-Muthman)
hendaklah suatu yang boleh diserahkan kepada pembeli atau wakilnya. Jika barang
belian tidak dapat diserahkan kepada pembeli, ataupun penjual mensyaratkan
tidak menyerahnya kepada pembeli, maka akad tersebut tidak sah.
5.
Barang belian (al-Muthman)
hendaklah suatu yang diketahui oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi
jual beli. Ia boleh terlaksana melalui kaedah-kaedah di bawah:
i.
Melihat sendiri
barangan yang hendak dibeli ketika akad jual beli, atau sebelum akad jual beli
dalam tempoh yang tidak menjejaskan sifat-sifatnya.
ii.
Melihat sampel
barangan yang hendak dijual beli. Ini biasanya berlaku semasa proses pemesanan
sebelum akad dilaksanakan.
iii.
Menentukan
sifat-sifat dan kadar barang belian secara terperinci yang secara urufnya tidak
menimbulkan pertikaian. Dalam konteks emas, penentuannya adalah dengan
mengenalpasti tahap ketulenan emas samada mengikut standard lama berasaskan
karat (seperti emas 24 karat), atau standard baru berasaskan peratusan (seperti
emas 999). Penentuan sifat juga mestilah mencakupi bentuk emas, samada dalam
bentuk syiling, wafer, jongkong dan sebagainya. Timbangan emas secara tepat
juga adalah suatu yang disyaratkan dalam penentuan sifat emas.
SIGHAH
6. Sighah
dalam jual beli adalah suatu yang menunjukkan kepada keredhaan kedua-dua pihak
untuk memetrai kontrak jual beli. Ia boleh berlaku samada melalui pertuturan,
atau suatu yang boleh mengambil hukum pertuturan seperti tulisan dan
seumpamanya. Manakala jual beli secara Mu’ataah (serah-hulur) juga adalah
dikira sebagai sighah yang muktabar oleh sebahagian fuqaha’.
7. Di
dalam sighah jual beli tidak boleh dimasukkan unsur penempohan. Contohnya,
seseorang mengatakan, ” Saya menjual barangan ini kepada kamu dengan harga
RM100 untuk selama tempoh setahun”.
8. Ijab
dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut
ciri-ciri dan kadarnya.
SYARAT
KHUSUS JUAL BELI EMAS YANG BERCIRIKAN ITEM RIBAWI
9. Oleh
kerana emas dan wang adalah dua item ribawi yang mempunyai illah yang sama,
maka syarat tambahan bagi transaksi pembelian atau penjualan emas mestilah
memenuhi syarat berikut:
i.
Berlaku taqabudh
(penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam transaksi sebelum
kedua-dua pihak bertransaksi berpisah daripada majlis akad.
ii.
Jual beli emas
hendaklah dijalankan secara lani, dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan.
Syarat-syarat
tersebut adalah khas bagi emas yang bercirikan item ribawi, seperti emas
jongkong dan syiling emas. Syarat ini tidak termasuk barang perhiasan emas
kerana ia telah terkeluar daripada illah ribawi.
Perincian
taqabudh dan URUSNIAGA LANI adalah seperti berikut:
SYARAT
PERTAMA: TAQABUDH
10.
Taqabudh
(penyerahan) hendaklah berlaku terhadap kedua-dua item jual beli iaitu harga
dan juga barang belian (emas), dan ia hendaklah terlaksana sebelum kedua-dua
pihak berpisah daripada majlis akad.
11.
Penyerahan harga
boleh dilakukan melalui kaedah-kaedah berikut:
a. Pembayaran
secara tunai
b. Pembayaran
secara cek yang diperakui (seperti banker’s cheque)
c. Pembayaran
secara cek peribadi
d. Pembayaran
secara kad debit
e. Pembayaran
secara kad kredit
f. Pemindahan
wang daripada akaun simpanan atau semasa.
12.
Secara urufnya,
kesemua bentuk bayaran di atas kecuali (c) adalah dianggap sebagai pembayaran
tunai oleh penjual. Pembayaran melalui kad kredit masih lagi dianggap tunai
kerana pihak penjual akan mendapatkan harga jualan secara penuh dari pihak yang
mengeluarkan kad kredit tersebut. Hutang yang berlaku, jika ada, adalah di
antara pemegang kad dengan pengeluar kad dan bukannya dengan penjual barangan.
13.
Status tunai ini
masih lagi diterima secara urufnya oleh penjual walaupun pada hakikatnya pihak
penjual akan menerima secara fizikal atau dimasukkan ke dalam akaunnya beberapa
hari selepas transaksi berlaku.
14.
Penyerahan
barang belian (emas) hendaklah berlaku secara penyerahan hakiki ataupun kaedah
muktabar yang boleh menggantikan penyerahan hakiki. Penyerahan barang belian
yang muktabar akan membawa kesan sama seperti penyerahan hakiki, iaitu:
a.
Berpindah dhaman
(tanggungjawab jaminan) daripada penjual kepada pembeli.
b.
Kemampuan
pembeli untuk mendapatkan barang beliannya pada bila-bila masa tanpa ada
halangan.
15.
Majlis akad di
dalam transaksi jual beli boleh berlaku dengan pertemuan secara fizikal,
ataupun secara maknawi. Contoh majlis akad secara maknawi ialah ijab dan qabul
melalui telefon, sistem pesanan ringkas (sms), emel, faksimili dan lain-lain.
Tetapi disyaratkan dalam semua bentuk majlis akad tersebut, hendaklah berlaku
taqabudh ketika majlis akad, contohnya melalui penyerahan secara wakalah.
16.
Perlu diberi
perhatian bahawa majlis akad secara bertulis akan hanya bermula apabila ianya
diterima oleh pihak yang berkontrak. Contohnya, pembeli menandatangani akad
jual beli dan kemudian menghantarnya melalui pos kepada penjual. Selepas tiga
hari, akad tersebut sampai ke tangan penjual. Maka majlis akad bermula pada
waktu tersebut, jika pihak penjual bersetuju, maka akad tersebut perlu
disempurnakan oleh penjual dengan menandatanganinya, dan barang belian
hendaklah diserahkan kepada pembeli secara hakiki atau hukmi.
SYARAT
KEDUA: SECARA LANI
17.
Transaksi jual
beli emas hendaklah berlaku secara lani dan tidak boleh dimasuki sebarang unsur
penangguhan, samada dalam penyerahan harga atau dalam penyerahan emas.
18.
Penangguhan
penyerahan harga yang tidak dibenarkan adalah meliputi pembelian secara hutang
secara keseluruhannya atau pembelian secara bayaran ansuran.
19.
Kelewatan
penyerahan emas yang melebihi tempoh tiga hari selepas akad jual beli dimeterai
adalah tidak dibenarkan sama sekali, kerana di dalam urusniaga emas, kelewatan
tiga hari bukanlah suatu uruf, berbeza dengan isu tukaran matawang asing.
20.
Di dalam
pertukaran mata wang asing, tempoh T+2 diperlukan kerana ianya melalui proses
tertentu yang melibatkan tempoh masa bekerja yang berbeza antara negara,
perpindahan wang elektronik, clearing house dan lain-lain lagi. Proses-proses
yang disebutkan ini tidak terdapat di dalam perniagaan jual beli emas fizikal.
Maka adalah tidak tepat untuk membuat qiyas ke atas proses pertukaran matawang
asing.
21.
Pihak pembeli
akan hanya membuat pesanan (order) kepada penjual dengan dinyatakan jenis dan
berat emas yang ingin dibelinya. Pesanan ini akan disertai dengan pengiriman
wang ke akaun penjual. Pada tahap ini, perkara berikut perlu diberi perhatian:
i.
Pada peringkat
ini, akad jual beli emas masih belum berlaku.
ii.
Wang yang berada
di dalam akaun penjual masih lagi bukan milik penjual tersebut. Ianya masih
milik pembeli dan disimpan sebagai amanah oleh penjual. Di dalam hal ini,
adalah lebih baik jika satu akaun khas yang bersifat amanah (trust account)
dibuka oleh penjual.
iii.
Emas masih lagi
kekal menjadi milik penjual dan ia bertanggungjawab penuh ke atas emas
milikannya itu.
iv.
Di dalam
peringkat ini, pembeli masih boleh membatalkan pesanan yang dibuat dan penjual
hendaklah memulangkan wang kepada pembeli. Namun, jika berlaku kerugian sebenar
disebabkan pembatalan tersebut, bolehlah dibuat syarat bahawa ia perlu
ditanggung oleh pembeli. Contohnya, pembeli membuat pesanan 100gm emas 999
dengan harga RM20,000. Ketika ini, pihak penjual telah menyimpan emas tersebut
dan tidak menjualkannya kepada pihak lain yang telah bersedia untuk membelinya.
Selepas tiga hari, apabila penjual bersedia untuk membuat akad jual beli dan
seterusnya menyerahkan emas tersebut kepada pembeli, pembeli membatalkan
pesanannya. Pada hari tersebut harga emas telah jatuh kepada RM19,000. Dengan
kata lain, penjual akan kerugian RM1,000 jika menjualnya kepada pihak lain. Di
dalam hal ini, kerugian sebenar adalah sebanyak RM1000.
22.
Apabila wang
pesanan sudah diberi clearance oleh bank, maka akad jual beli perlu dilakukan.
Wang di dalam trust account (jika ada) bolehlah dipindahkan ke akaun penjual
dan emas hendaklah diserahkan kepada pembeli.
AKAD
DAN UNSUR SAMPINGAN
23.
Penglibatan
hibah dalam transaksi jual beli samada hibah dalam bentuk barangan ataupun wang
tunai adalah dibenarkan jika mencukupi syarat-syarat hibah, dan tidak
melibatkan unsur-unsur yang bercanggah dengan syarak. Perlu diberi perhatian
bahawa hibah secara hakikatnya adalah akad sukarela dan ia bukanlah di dalam
bentuk lazim. Dengan kata lain, jika janji hibah ini tidak ditunaikan oleh
penjual, maka pembeli tidak boleh memaksanya memberi hibah tersebut.
24.
Penglibatan
wadiah dalam pelan pelaburan emas hendaklah menepati hukum hakam wadiah, yang
antara lain ialah pegangan wadiah adalah berasaskan kepada Yad Amanah.
25.
Seseorang yang
membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya, termasuklah memberi
pinjaman (qardh) kepada orang lain. Tetapi hendaklah memenuhi kriteria qardh
yang dibenarkan syarak, yang antara lain tidak boleh membawa unsur faedah,
tidak wujud unsur ”salaf wa bay” iaitu hutang yang diikat bersama dengan jual
beli.
26.
Seseorang yang
membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya termasuk menjadikannya
sebagai pajakan untuk wang secara hutang, selagi konsep al-Rahn yang digunakan
adalah bertepatan dengan hukum syarak. Namun secara teorinya, perkara ini
seharusnya tidak digalakkan kerana secara tidak langsung ia menggalakkan
aktiviti berhutang di dalam keadaan yang tidak perlu.
27.
Wa’d boleh
dimasukkan dalam pelaburan emas, selagi mana ia adalah wa’d dari sebelah pihak
dan bukannya muwa’adah dari kedua-dua belah pihak. Contoh aplikasi wa’d dalam
konteks ini ialah membuat purchase order, iaitu pelanggan membuat perjanjian
untuk membeli emas dengan harga tertentu. Perjanjian pembelian ini dinamakan
’kunci harga’. Sekiranya proses kunci harga adalah menyamai proses akad jual
beli, ia tidak dibenarkan kerana akan berlaku penangguhan.
28.
Transaksi jual
beli hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar yang
berlebihan, dan kezaliman. Jika sekiranya terdapat unsur-unsur tersebut,
transaksi jual beli adalah dikira tidak memenuhi kriteria syarak.
No comments:
Post a Comment