Saturday 22 June 2013

KENAN ; HAKIKAT DAN PENCERAHAN



Hari ni nak cerita lain sikit dari emas. Saja bersantai-santai. Di samping berkongsi pandangan. Iaitu suatu kejadian atau keadaan yang membimbangkan para suami. Khususnya ibu-ibu yang sedang mengandung. Ia adalah apa yang diistilahkan oleh orang-orang tua sebagai KENAN.


Kenan adalah satu istilah yang merujuk kepada keadaan fizikal bayi baru lahir yang mengalami kecacatan yang mirip dengan perlakuan si ibu atau si ayah semasa dirinya masih dalam kandungan. Selalunya akibat daripada perbuatan kejam ibu bapanya terhadap haiwan.

Sebagai contoh, di kampung saya ada anak yang dilahirkan sumbing bahagian mulut gara-gara si bapa memancing dapat ular bukannya ikan. Sakit hati punya pasal, bapa tadi main rentap je mata kail tu. Habih rabak mulut ular. Natijahnya… si anak lahir persis seperti fizikal mulut ular. Contoh kedua, berlaku kpd pembantu rumah aku. Masa ngandung… suaminya besit kelawar dengan kayu… akhirnya si anak lahir dengan telinga nipis macam telinga kelawar. Berdasarkan kedua-dua contoh ini (sebenarnya banyak), wajarkah kita mempercayai bahawa kejadian kenan ini benar-benar berlaku? Atau hanya sekadar kebetulan? Anak sedara saya pernah memancing semasa isterinya mengandung. Tapi tak ada apa-apa pun. Saya sendiri hampir setiap minggu menjalankan kursus sembelihan di Pusat Kokurikulum Negeri Perak Cawangan Kuala Kangsar. Tapi Alhamdu Li Allah… tiada apa yang berlaku.

Kalau hendak dikatakan ianya sebagai balasan kepada perlakuan kejam salah seorang ibu atau bapa bayi, mengapa ianya hanya dikenali dinusantara sahaja? Kat negeri omputeh tak pernah dengar pun. Tak percaya.. ianya macam pernah berlaku. Nak percaya, nanti jadi syirik. Jadi macam mana?

Hasil perbincangan dengan bidan-bidan lama.. sambil-sambil deme mengurut isteri saya yang baru lepas bersalin. Mereka kata kenan ni boleh berlaku kepada sesape saja. Lebih-lebih lagi semasa bulan-bulan kritikal iaitu semasa pembentukan janin. Lebih tepat antara bulan pertama hingga ketiga. Ia berlaku jika si suami atau isteri melakukan perbuatan kejam terhadap manusia atau haiwan sama ada sengaja atau tidak dalam keadaan pelaku itu tidak sedar yang isterinya sedang mengandung. Hiii… ngeri bunyinya.

Tapi bidan tu kata lagi.. tak payah risau… kenan ni boleh dialih. Kena jumpa bidan yang mahir mengalih kenan. Kena cepat. Ada la ritual yg perlu dibuat suami.

Beberapa kesimpulan tentang kenan yang dapat dikutip daripada keterangan di atas:

1.      Berlaku di kalangan orang melayu/nusantara
2.      Sengaja atau tidak tetap terkena
3.      Berlaku pada bulan-bulan terawal
4.      Terjadi jika suami lupa isteri mengandung
5.      Boleh dialih dengan ritual tertentu

Berdasarkan 5 dapatan tadi, bolehlah dikatakan kenan adalah salah satu bentuk SIHIR yang dikenakan oleh jin bagi menyesatkan manusia. Mana taknya.. kepercayaan kita terhadap qudrah dan iradah Allah telah goyah. Malah ia juga menafikan sifat Allah Al Badi’ dan Al Kholiq. Jin tidak ada kena mengena dengan haiwan yang dizalimi. Dia hanya mengambil kesempatan (tunggu sebab) untuk mengenakan sihirnya (dengan izin Allah jua semestinya sebagai sebahagian ujian hidup yang datang dengan pelbagai cara). Jin mampu meresap jauh ke dalam kandungan dan merosakkannya. Kehadirannya dapat dipesong atau dipujuk oleh bidan dengan cara berunding. Masa ni kita pulak yang melakukan ritual sihir.

LANGKAH-LANGKAH YANG PATUT DIBUAT

1.      Segala yang berlaku adalah dalam ilmu Allah. KepadaNyalah kita bermohon. Pohonlah yang baik-baik.
2.      Mohonlah perlindungan kepada Allah. Amalkan doa nabi Zakaria, rabbi habli min ladun ka zurriyyatan toyyibatan.. inna ka samii’u al du’a
3.      Jangan menzalimi makhluk Allah. Bukan kerana takut kenan. Tetapi kerana ia adalah perintah Allah dan Rasul.
4.      Yakinlah tidak akan berlaku sesuatu melainkan dengan izin Allah.
5.      Tetapi jangan mendabik dada mengatakan bahawa kejadian kenan adalah karut. Lalu mencabar dengan melakukan beberapa kezaliman untuk menguji. Tidak ada masalah kalau iman tuan-tuan tebal dan berat macam gunung. Tapi takut bila diuji begitu… kita bimbang jika iman kita pada ketika itu tidak sekuat ketika kita melafazkan ucapan mencabar tu. Al imaan  yazid wa yanqus. Masa tu asyik sebut, “isy kalau laa aku tak itu ini… kalau laa tak buat gitu gini..” dsb. Wa Allahu a’lam.

No comments:

Post a Comment