Monday 30 September 2013

Pantang-larang dalam budaya melayu

Ingat masa kita kecik-kecik dulu? Bila kena sergah dengan orang tua, “Jangan duduk atas bantal nanti tumbuh bisul!” kita pun tak jadi duduk atas bantal. Takut tumbuh bisul. Itulah dia sebahagian daripada pantang-larang orang-orang tua yang diwarisi turun temurun. Taatnya kita. Ikut je. Tak Tanya banyak dah. Tapi… lain pula dengan bebudak sekarang. Pandai deme tanya. Kita yang nak jawab pun pening kepala. Sebab, kita pun tak penah Tanya orang tua kita. Berani tanya? Sudahnya kita pun main kelentong juga. Pantang larang orang-orang melayu dapat dibahagikan kepada beberapa jenis:
 i ) Kesihatan – penjagaan badan, kelancaran darah dan ibu-ibu lepas bersalin. 
ii) Adab dan tatasusila – susun atur barang-barang rumah, perkahwinan dan yang berkaitan dengannya. 
iii) Amalan kebatinan dan saka – perdukunan dan kependekaran 
     Tidak dinafikan bahawa semua pantang-larang yang diwarisi oleh orang-orang melayu ada sebab musababnya. Cuma yang ada kena mengena dengan amalan kebatinan dan sumpahan turun temurun yang jarang diberitahu sebab kepada anak cucu. Ianya bertujuan untuk menjaga keturunan agar tidak terjebak dengan sumpahan turun temurun. Saya Cuma nak bercerita jenis ketiga sebab ia melibatkan akidah. Yang pertama dan kedua tuan-tuan dah tau kot? 
    Mungkin tuan-tuan pernah dengar pantang orang tak boleh tengok cermin, tak boleh pegang keranda, tak boleh pijak beting pasir tengah sungai, tak boleh lalu bawah penyidai dan sebagainya. Ada juga pantang larang yang berkaitan keluarga sahaja seperti keluarga dan keturunan si anu tak boleh makan ikan sekian-sekian, tak boleh biar anak pijak belakang, tak boleh makan buah daripada pokok yang bertopang dan banyak lagi. Semuanya ada kaitan dengan ilmu-ilmu kebatinan yang diamalkan. Bila amal ilmu-ilmu kebatinan pastinya ada jampi serapah. Bila ilmu dah masin barulah menjadi. Nak kekalkan ilmu tu mesti jaga pantang. Kalau langgar pantang…. habih la… tak menjadi ilmu tu. Orang kata dah tak masin ilmunya. Sebenarnya, itu semua pesona iblis. Pandai la bagi nama elok-elok kat ilmu-ilmu ni macam perisai besi (kebal), sapu angin (bergerak pantas), halimunan (ghaib), telapak besi (bisa tangan). Semuanya menggunakan bantuan jin. Bila guna bantuan jin, satu je namanya iaitu SIHIR. 
      Pengamal sihir melakukan amalan syirik. Dosa besar. Nak bagi Nampak lembut sikit, pandai laa orang-orang kita bagi nama elok-elok kat jin-jin yang terlibat. Nama-nama macam ni selalu meniti di bibir bomoh-bomoh. Contoh, sheikh serban kuning, tok kuning, tok selebor, rijalul ghaib, akuan, khadam dan banyak lagi. Ilmu sihir yang dipelajari akan menjadi bila ada peranan jin di situ. Jin akan datang membantu bila serapah yang dibaca sudah sampai ke tahap syirik atau murtad macam sihir ilmu kebal. Antara jampinya ialah, “selimut aku selimut Allah..baju aku baju Allah..”. Atau pun si pelaku sihir telah menyempurnakan syarat-syarat yang mengundang dosa besar seperti sembelih kambing hitam dengan niat agar diterima oleh jin (bukan kerana Allah), menyediakan kepala anak sulung yang lahir hari Selasa (membunuh), menoda sejumlah wanita (orang minyak), membongkar kubur (minyak dagu) dan banyak lagi. Lagi besar dosa … lagi ramai jin datang tolong. 
       Pantang larang yang dikenakan adalah perkara-perkara yang tidak disukai oleh jin tadi. Bila kita langgar pantang, jin pendamping akan meninggalkan kita. Ilmu pun tak menjadi. Kalau jin pendamping tu dari jenis bunian, anda masih bernasib baik. Dia blah gitu je sebab merajuk. Kalau jenis ifrit, siap la ngko. Memang dia akan bertindak balas sampai anak cucu. Pantang larang itu sememangnya perangkap yang sengaja dipasang supaya pengamal sihir akan terjebak. Selalunya yang agak mustahil diamalkan seperti tak boleh beli barang kedai cina, tak boleh berkahwin dan banyak lagi. 
     Jadi… bila anda menerima amalan beserta pantang larang, beringatlah. Barangkali ada saka yang mengikut. Tulisan ini bukan bermaksud mengajar anda tentang ilmu sihir. Tetapi ia lebih kepada peringatan agar tidak terjebak. Ia mengancam aqidah. Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment